"Untuk Respon Pantas, WASAP Je Kak Engku"

019 2077 643 (Nak Tanya Soalan)
019 366 7525 (Nak Order Barang)
KEPAKARAN Kak Engku adalah membantu Mama semua untuk mendalami dan mempratikkan ilmu Kehamilan, Berpantang, Penyusuan Dan Penjagaan Bayi secara online agar Mama lebih bersedia, sentiasa ceria dan teruja sebelum dan selepas kelahiran. Di samping menyediakan khidmat nasihat berkaitan barangan keperluan berpantang dan set bersalin yang pratikal digunakan dengan harga yang Murah dan Semestinya ORI.

31 May 2010

Apa Itu Caesarean?

Jenis-Jenis Pembedahan Caesarean

Jenis pembedahan caesarean merujuk kepada bagaimana potongan dibuat. Jenis Classical merujuk kepada pembedahan secara menegak, iaitu dari bawah pusat hingga ke tulang pelvis. Kaedah kedua ialah potongan secara melintang, dilakukan di bawah lipatan perut yang yang dinamakan funnesteil. Cara ini lebih popular kerana parutnya tidak ketara. Malah ia memberi keselesaan untuk bergerak, bangun dan duduk selepas pembedahan kerana selari dengan lipatan perut.


Sebab-Sebab Pembedahan Caesarean Dilakukan.


Pembedahan caesarean dilakukan kerana ibu tidak boleh melahirkan anak secara normal. Terdapat 2 keadaan kenapa pembedahan itu dijalankan. Sama ada elektif (dirancang) atau sewaktu kecemasan. Jika ibu menghidap darah tinggi dan diabetes semasa kehamilan, selain saiz bayi dalam kandungan terlalu besar, caesarean dilakukan secara elektif. Kaedah caesarean turut dilaksanakan bagi mengurangkan risiko ibu mengalami keguguran, mandul dan masalah uri rendah. Pembedahan caesarean akan dilakukan secara kecemasan jika bayi lemas dan ibu menanggung sakit bersalin yang terlalu lama.

Faktor Ibu
  • Tulang punggung ibu kecil manakala bayi terlalu besar, dan laluannya dikhuatiri tidak muat.
  • Ibu tidak boleh meneran atau tidak dapat mengatasi tekanan semasa kelahiran kerana sakit, koma atau pengsan dan sebagainya.
  • Ibu mengalami masalah ketumbuhan / tumor pada pangkal rahim dan menyebabkan tiada ruang untuk bayi keluar.
  • Pintu rahim tidak boleh terbuka (poor progress).
  • Ibu mempunyai komplikasi seperti darah tinggi dan sebagainya.

Faktor Bayi
  • Bayi songsang - dibimbangi semasa bersalin kepala bayi tidak dapat keluar.
  • Bayi terlalu besar dan tidak dapat keluar melalui tulang punggung ibu.
  • Bayi lemas - bayi berak dalam perut, lemas, jantung bayi berdegup terlalu laju atau terlalu perlahan. Apabila itu berlaku, pembedahan kecemasan perlu dibuat ketika itu juga bagi menyelamatkan bayi.
  • Failed vacuum atau forceps. Kelahiran secara bantuan vakum atau forsep yang tidak berjaya.
  • Bayi mempunyai komplikasi seperti badan terlalu lemah atau terlalu kecil (intra uterine growth retardation) atau lain-lain yang menyebabkan ia tidak mampu menghadapi tekanan kelahiran.
Ringkasan Cara-Cara Pembedahan Dilakukan

Doktor akan memberi nasihat kepada ibu sebelum pembedahan dan mengambil persetujuan ibu atau ahli keluarga terdekat. Selepas mendapat tandatangan, ibu akan diperiksa oleh doktor bius. Doktor bius akan mengambil kira pelbagai faktor dan menyatakan cadangan jenis bius yang terbaik untuk ibu.

Bius terbahagi kepada bius general (General Anesthesia) atau bius tidur dan bius separuh badan (Regional Anesthesia). Bius Regional boleh dikategorikan kepada 2 jenis iaitu spinal anesthesia dan epidural.

Selepas dibius ibu diminta bertenang dan pembedahan caesarean dimulakan.

Dua jenis torehan boleh dibuat iaitu menegak (longitudinal) atau melintang (transverse). Torehan melintang dikatakan amat sesuai kerana ia cepat sembuh, parutnya tidak jelas kelihatan dan kurang menyakitkan berbanding torehan menegak.

Komplikasi Caesarean Bagi Jangka Pendek Dan Jangka Panjang

Peringkat Awal - Masalah Penyembuhan Luka.
Penjagaan selepas pembedahan adalah sama seperti pantang bersalin secara normal. Dalam tempoh 2 minggu pertama bersalin, badan memerlukan sumber vitamin dan protein yang tinggi untuk proses penyembuhan.

Elakkan mengambil makanan yang kaya dengan minyak, lemak dan manis. Sebaliknya teruskan pengambilan pil-pil vitamin dan zat besi. Makanan yang kaya dengan kalsium harus ditambah bagi mendapatkan susu ibu yang berkualiti. Amalan meminum pati ikan haruan amat baik kerana ia mengandungi sumber kalsium yang tinggi.

Lazimnya, luka akan sembuh selepas 2 minggu. Secara kosmetiknya, parut boleh mencacatkan penampilan. Walaubagaimanapun kaedah funnesteil mampu mengurangkan kesan parut tersebut. Ibu yang bangun dan melakukan aktiviti akan pulih lebih cepat. Amalan menggunakan tungku dan berbengkung boleh dilakukan selepas luka sembuh sepenuhnya dan tidak mengganggu kesihatan. Lakukan jika anda rasa selesa. Anda juga boleh menjalani proses mengurut yang mampu mengembalikan semula bentuk badan dan kecergasan seperti sediakala.


Kesan Jangka Panjang


Hernia
Berlaku disebabkan oleh luka dinding perut yang nipis dan ada kalanya terbuka atau terkoyak di bahagian dalamnya. Usus akan terkeluar dan pusat membengkak. Pembedahan perlu dilakukan bagi menguatkan semula struktur perut ibu.

Adhesion Colic
Ini bermaksud usus melekat pada perut menyebabkan rasa sakit yang berpanjangan.


Bius Semasa Caesarean


General Anethesia - bermaksud bius seluruh tubuh. Ibu akan diberi ubat tidur dan tidak akan sedarkan diri.

Regional Anethesia - Hanya bahagian pinggang ke bawah dibius. Ibu akan sedar seperti biasa.


Bilangan Anak Selepas Caesarean


Tidak dapat dijangka dengan mudah kerana ia bergantung kepada rahim dan perut ibu selepas pembedahan. Biasanya kebenaran diberikan kepada kelahiran tiga hingga empat orang anak. Tetapi, ada juga ibu yang mendapat keluarga yang besar walaupun kesemua anaknya dilahirkan secara caesarean. Menurut undang-undang perubatan, sekiranya pembedahan caesarean dilakukan hanya sekali, kelahiran seterusnya boleh dibuat secara normal. Namum, jika 2 kali kelahiran sebelum ini melalui caesarean, kelahiran seterusnya harus menggunakan cara yang sama (caesarean).


BTL Bermaksud Bilateral Tubal Ligation (Mengikat Mati Kedua Belah Tiub Fallopian)


Jika doktor mendapati dinding perut ibu nipis dan berbahaya untuk mengandung buat sekian kalinya, kaedah BTL akan dicadangkan semasa caesarean. BTL merupakan cara merancang keluarga yang bersifat kekal.

24 May 2010

Masalah Kulit Semasa Kehamilan

Perubahan hormon semasa hamil menjadikan tubuh mengalami pelbagai gejala dan simptom kehamilan. Antaranya ialah masalah kulit. Berikut tip dan panduan yang boleh anda amalkan untuk mengurangkan masalah ini.
  • Wajah Berminyak - Ada wanita ketika hamil tiba-tiba mengalami masalah kulit berminyak dan menjadikan wajah dipenuhi jerawat. Amalkan membasuh wajah secara rutin 2 kali sehari menggunakan pembersih yang tidak mengandungi sebarang pewangi ataupun alkohol.
  • Pigmentasi - Ramai wanita menghadapi masalah ini ketika hamil dan selalunya ia akan hilang setelah anda melahirkan bayi. Anda boleh cuba menggunakan krim pelindung ultraviolet untuk membantu mengurangkan masalah ini.
  • Kulit Kering Dan Gatal - Masalah ini disebabkan oleh kulit yang meregang akibat kandungan yang semakin membesar. Jika terasa gatal, elakkan menggaru dengan kuku, sebaliknya usaplah dengan kain lembut hingga hilang rasa gatal. Sapukan minyak bayi pada bahagian kulit yang kering untuk mengekalkan kelembapannya.
  • Rekahan - Inilah masalah yang paling merisaukan wanita hamil kerana kesan rekahan ini tidak mudah hilang selepas melahirkan. Kawasan yang biasa berlaku rekahan adalah payudara, perut, paha dan pinggul. Rajinlah melakukan urutan menggunakan minyak atau pelembap yang sesuai di kawasan tersebut untuk membantu mengurangkan kesan rekahan ini.
  • Urat Bersimpul - Timbulnya urat-urat halus di permukaan kulit berlaku kerana tekanan yang berat pada urat darah akibat beban kandungan yang dibawa. Untuk mengatasinya, cuba elakkan berjalan kaki atau berdiri terlalu lama. Elakkan kaki berada dalam keadaan tergantung.

20 May 2010

Memandu Semasa Kehamilan

Bagi golongan ibu hamil yang memandu kereta, keadaan fizikal ibu hamil adakalanya menggangu keselesaan sewaktu memandu kenderaan. Sebenarnya tiada masalah untuk wanita memandu sewaktu hamil selagi ia menjaga segala risiko yang boleh mendatangkan bahaya terhadap dirinya dan kandungan.

Perlu juga anda ketahui bagaimana mengatasi masalah yang timbul ketika memandu berkaitan dengan kehamilan anda. Berikut antara tip yang boleh anda gunakan sewaktu memandu kenderaan ketika hamil.


Trimester Pertama


Selalunya pada peringkat awal kehamilan ini, anda mengalami gejala morning sickness. Keadaan tubuh yang tidak sihat ditambah dengan gejala mual, muntah dan pening, sebaiknya anda tidak memandu sendirian ketika ini.
  • Makan terlebih dahulu walaupun sedikit sebelum memandu. Jika tidak, perut yang kosong boleh menyebabkan anda mual ketika memandu tambahan pula apabila terkena penghawa dingin dalam kereta.
  • Sediakan air dan makanan ringan dalam kenderaan.
  • Anda boleh juga makan gula-gula atau chewing gum daripada halia ketika memandu untuk menghilangkan rasa mual.
  • Sediakan plastik beg dalam kenderaan untuk kecemasan jika anda muntah.
  • Sewaktu memandu jika tiba-tiba anada rasa pening atau mual ingin muntah, segera perlahan kenderaan dan berhenti di tepi jalan yang selamat. Berehat seketika sebelum memulakan perjalanan semula. Gunakan laluan tepi agar memudahkan anda untuk berhenti apabila perlu.
  • Jika keadaan anda teruk dan gejala yang dialami tidak hilang, jangan teruskan pemanduan. Hubungi keluarga atau kenalan untuk datang membantu anda.

Trimester Kedua
  • Jika anda bercadang mahu memandu untuk suatu perjalanan yang jauh dan memakan masa yang lama, sebaiknya dapatkan dahulu pemeriksaan kesihatan dan kandungan anda agar tiada sebarang masalah yang timbul.
  • Berhenti seketika jika terasa tulang belakang anda mula sakit.
  • Jika otot atau sendi anda mula terasa pegal dan ngilu, berhenti seketika dan bawalah berjalan atau lakukan sedikit senaman regangan yang membantu menenangkan tubuh.

Trimester Ketiga
  • Letaklah bantal kecil di belakang anda sewaktu memandu untuk mengelakkan atau mengurangkan rasa pegal dan sakit belakang.
  • Jika anda tersangkut dalam kesesakan lalu lintas dan anda mulai letih, carilah tempat perhentian. Jalan yang sesak boleh membuatkan anda letih, otot kekejangan dan stress.
  • Ketika memandu dan tiba-tiba anda mengalami kontraksi ringan, berhenti sebentar. Turunkan tempat duduk agar anda dapat berbaring dan berehat seketika hingga rasa kontraksi itu hilang sebelum menyambung semula pemanduan. Jika kontraksi tidak hilang, segera dapatkan bantuan orang lain untuk mengambil anda.
  • Elakkan perut terlalu rapat dengan stereng. Pastikan kaki boleh menekan pedal sepenuhnya.
  • Sebaiknya di akhir kehamilan anda dinasihatkan tidak memandu kerana ini mungkin boleh mendatangkan bahaya kepada anda dan kandungan. Mintalah suami menghantar dan mengambil anda di tempat kerja.

18 May 2010

Tip Sesak Nafas

Salah satu gejala yang kerap menyerang ibu hamil adalah sesak nafas. Gejala ini mudah berlaku setelah kehamilan memasukki usia 6 bulan ke atas terutamanya pada trimester terakhir kehamilan.

Keadaan ini disebabkan bayi yang semakin membesar dan menekan abdomen terutama di bahagian dada si ibu hingga mengurangkan ruang pada paru-paru yang menyebabkan anda sesak nafas atau adakalanya terasa sukar hendak bernafas.

Berikut tip yang boleh anda cuba amalkan bagi membantu mengatasi keadaan ini.
  • Banyakkan melakukan senaman olahraga kerana ia akan membuat tubuh sihat dan segar serta membantu mengurangkan masalah sesak nafas.
  • Duduk dalam keadaan tegak agar ruang pada bahagian paru-paru tidak tertekan dan mengganggu pernafasan anda.
  • Semasa tidur pastikan bahagian kepala dan bahu agak tinggi sedikit agar paru-paru tetap mempunyai ruang yang cukup untuk memudahkan pernafasan anda.
  • Jika anda berasa sukar bernafas, berhenti daripada aktiviti yang sedang anda lakukan, berehatlah dengan bersandar pada kerusi atau bantal.

Atasi Rasa Lelah

Rasa lelah sering dialami ibu hamil bermula daripada trimester pertama kehamilan hinggalah ke saat akhir. Kelelahan dan lemah tubuh badan yang dialami kerana perubahan hormon dalam tubuh ditambah dengan perubahan fizikal ibu hamil. Selain itu, penambahan jumlah darah membuat jantung bekerja lebih keras daripada biasa juga menjadi faktor kepada masalah ini.

Berikut antara cara yang boleh anda jadikan panduan untuk mengatasi keadaan ini.
  • Banyakkan berehat dan berbaring
  • Rajinlah melakukan olahraga ringan setiap hari walaupun hanya berjalan kaki.
  • Banyakkan minum air putih untuk membantu membuang bahan yang tidak diperlukan dalam tubuh yang juga boleh menyebabkan rasa lelah.
  • Banyakkan makan sayur dan buah-buahan. Kurangkan minuman berkafein dan manis.
  • Banyakkan ambil makanan zat besi.
  • Elakkan daripada stress.

17 May 2010

Penjagaan Payudara Semasa Kehamilan

Semasa hamil, anda juga memberi tumpuan terhadap penjagaan payudara sebagai persiapan untuk menyusui bayi kelak. Berikut antara tip penjagaan yang boleh anda lakukan untuk tujuan ini.
  • Apabila bra sudah mulai terasa sempit, tukarlah kepada bra baru yang berukuran lebih besar dan dapat memberi keselesaan kepada anda. Bra yang selesa dan tidak menimbulkan rasa sakit akan membantu sirkulasi di sekitar payudara untuk lebih mudah dalam proses penghasilan susu kerana kehamilan ini.
  • Sewaktu hampir menjelang saat kelahiran, anda sudah boleh menggunakan bra penyusuan. Pilih yang sesuai dengan ukuran payudara. Ukuran yang salah boleh menyebabkan jangkitan pada kelenjar susu.
  • Apabila memasuki trimester kedua hingga menjelang akhir kehamilan, amalkan memutar lembut puting payudara lebih kurang untuk tempoh 15 saat setiap sebelah sewaktu mandi. Ini bagi membantu sirkulasi di bahagian tersebut agar lebih mudah unruk anda menyusui bayi kelak.
  • Pada peringkat akhir kehamilan, rajinkanlah memicit atau mengurut lembut payudara terutama di sekitar aorela dan puting untuk membantu pembukaan saluran susu.
  • Elakkan membersihkan bahagian puting susu dengan sabun kerana ia boleh menyebabkan bahagian tersebut mengalami kekeringan.

Tangani Hidung Berdarah

Sesetengah ibu hamil mudah mengalami gejala hidung berdarah. Selalunya keadaan ini berlaku pada trimester kedua dan terakhir. Gejala hidung berdarah ini selalunya tidak serius. Ini berlaku kerana perubahan hormon kehamilan yang turut menimbulkan kesan keradangan pada hidung. Keadaan ini menyebabkan penghasilan lendir atau cecair dalam hidung berlebihan dan ditambah dengan pelebaran pembuluh darah yang menyebabkan gejala ini mudah menyerang ibu hamil.

Berikut tip yang boleh cuba diamalkan bagi mengatasi masalah ini.
  • Apabila hidung berdarah, elakkan mendongakkan kepala ke atas semata-mata tidak mahu darah mengalir keluar. Cara ini salah kerana darah boleh memasukki saluran pernafasan. Sebaliknya tegakkan kepala dengan pandangan lurus ke depan dan tekan kedua hidung agar darah tidak mengalir.
  • Bagi menghentikan pengaliran darah, tekan kedua hidung anda dengan jari selama 10 minit.
  • Apabila pendarahan sudah berhenti, berhati-hati agar tidak bersin terlalu kuat bagi mengelakkan pendarahan berlaku lagi.
  • Anda boleh cuba lekapkan ketulan ais (yang dibalut dengan kain) pada sekitar hidung agar pembuluh darah mengecut dan membantu menghentikan pendarahan.
  • Jaga kelembapan hidung. Minum air yang cukup dan hindari berada terlalu lama dalam udara yang kering.
  • Jika pendarahan serius atau terlalu kerap berlaku, anda perlu mendapatkan pemeriksaan doktor.

14 May 2010

Mengatasi Morning Sickness

Morning Sickness adalah perkara biasa dalam 3 bulan pertama kehamilan. Mual, loya, muntah dan pening adalah sinonim dengan keadaan ini. Berikut antara tip dan panduan yang boleh membantu anda berhadapan dengan masalah ini.
  • Makan dalam jumlah yang sedikit tetapi kerap. Elakkan makan dengan banyak kerana akan mudah membuatkan anda mual lalu muntah.
  • Makan makanan yang mengandungi karbohidrat untuk membantu mengatasi rasa mual, antaranya seperti roti dan kentang.
  • Sewaktu bangun dari tidur terutamanya pada waktu pagi, jangan terus bangun secara tiba-tiba. Bangun perlahan. Duduk terlebih dahulu untuk menstabilkan tubuh sebelum perlahan-lahan bangun dan berdiri.
  • Hindari makanan yang berlemak, berminyak dan pedas kerana ia hanya akan memburukkan lagi gejala morning sickness anda.
  • Pastikan anda minum air yang banyak walaupun sering muntah. Minum air putih ataupun jus buah-buahan. Ini penting untuk memastikan tubuh mendapat air secukupnya. Hindari minuman berkarbonat atau yang mengandungi kafein.
  • Jika anda mengalami mual dan muntah yang teruk hingga tidak boleh makan, berjumpalah dengan doktor. Ubat-ubatan seperti ubat tahan muntah mungkin dapat membantu anda.
  • Anda boleh cuba amalkan minuman halia. Ini kerana halia diakui secara tradisi membantu rasa mual.
  • Kurangkan berada di hadapan komputer. Papan monitor boleh menyebabkan morning sickness anda semakin menjadi.
  • Makan buah epal kerana ini boleh menghilangkan rasa mual. Anda boleh juga minum jus epal yang ditambah dengan sedikit madu.
  • Pakai baju yang longgar dan tidak ketat bagi mengurangkan rasa mual.

13 May 2010

Penjagaan Gigi

Wanita hamil mudah mengalami masalah gigi dan gusi. Kerana itu anda disarankan mendapatkan pemeriksaan gigi ketika hamil. Perubahan hormon dalam tubuh semasa hamil membuat anda mungkin mengalami gejala seperti gusi bengkak, atau mudah berdarah sewaktu memberus gigi.

Berikut apa yang perlu anda ketahui dan lakukan untk mengurangkan risiko sakit gigi ketika hamil.
  • Ada beberapa jenis komplikasi gigi yang mudah dialami ibu hamil. Pertama ialah 'pregnancy gingivitis' di mana gusi menjadi bengkak kerana kekurangan kalsium. Ini menjadikan gusi sensitif dan mudah berdarah. Yang kedua ialah 'periodonatal disease' iaitu jangkitan yang berpunca daripada gusi yang bengkak seperti pendarahan, gigi goyang atau struktur gigi berubah. Yang ketiga pula ialah 'pregnancy tumor' keadaan yang lebih teruk apabila bengkak pada gusi semakin membesar dan sakit serta berisi nanah. Ini menyebabkan anda sukar untuk makan ataupun bercakap.
  • Ibu hamil harus mengunjungi doktor gigi sekurang-kurangnya sekali sepanjang kehamilan. Titik beratkan penjagaan kebersihan gigi sebagai rutin harian. Sebarang rawatan pergigian seharusnya dilakukan pada kehamilan trimester kedua untuk mengurangkan risiko terhadap bayi.
  • Apabila anda menghadapi sebarang masalah gigi seperti gusi bengkak atau pendarahan, segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Pendarahan yang berlebihan daripada gusi boleh menyebabkan jangkitan malah juga membahayakan kehamilan.
  • Berus gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari agar gigi bebas daripada sisa makanan.
  • Gunakan berus gigi yang lembut atau yang direka khas untuk masalah gusi sensitif bagi mengelakkan pemberusan yang keras dan boleh menyebabkan pendarahan.
  • Dapatkan pemeriksaan doktor terhadap tahap kesihatan gigi anda. Jadi anda boleh melakukan untuk menjaga kesihatan gigi sepanjang kehamilan.
  • Jaga pemakanan dengan pengambilan makanan seimbang dan kaya kalsium untuk mengurangkan masalah gigi dan gusi berdarah.

12 May 2010

Tip Menukar Lampin Bayi

Menukar lampin bayi mungkin perkara mudah bagi anda. Namum, ada beberapa perkara perlu anda beri perhatian sewaktu menukar lampin bayi. Ini bagi mengelakkan risiko jangkitan apatah lagi ia berkait rapat dengan alat kelamin bayi iaitu salah satu bahagian yang sensitif dan mudah mendapat jangkitan.

Berikut antara perkara yang perlu anda perhatikan sewaktu menukar lampin bayi.
  • Pastikan anda membasuh tangan terlebih dahulu dan keringkan sebelum mula menukar lampin bayi bagi mengelakkan risiko jangkitan.
  • Lapkan sekitar alat kelamin bayi dengan tisu basah yang dirumus khas untuk kulit bayi. Lap dan bersihkan sekalipun bayi tidak membuang air besar. Ini bagi memastikan kesan urin pada kulit bayi benar-benar bersih. Jika tidak, ia boleh menimbulkan ruam.
  • Jika bayi anda bayi lelaki, tutup sedikit bahagian hujung zakarnya dengan kain sewaktu anda membersihkan kulit sekitar alat kelaminnya. Ini bagi mengelakkan urinnya berteraburan jika dia kencing sewaktu anda sedang menukar lampinnya.
  • Bagi bayi perempuan, pastikan anda lap bersih di celah-celah alat kelaminnya bagi mengelakkan jangkitan bakteria.
  • Jangan lupa bersihkan juga di bahagian punggung belakang bayi. Angkat sedikit kedua kakinya dan lap di bahagian belakang tersebut bagi membersihkan sisa urin yang masih melekat.
  • Bagi bayi yang baru lahir, elakkan dari tali pusatnya termasuk ke dalam lampinnya kerana ia boleh menyebabkan kesakitan pada bayi.
  • Untuk bayi lelaki, pastikan kedudukan zakarnya berada ke bawah sebelum memasang lampinnya. Ini bagi memudahkan pengaliran urin.

10 May 2010

Mengatasi Sakit Belakang Dan Pinggang

Sakit pinggang dan sakit belakang adalah gejala sinonim dengan ibu hamil. Ia seringkali menggangu dan membuat ibu hamil tidak selesa malah mengganggu kerja dan aktiviti yang sedang dilakukan. Tiada ubat khas untuk masalah ini melainkan kaedah pergerakan tubuh yang betul bagi mengurangkan kesan masalah ini. Berikut antara cara yang boleh anda jadikan panduan untuk mengatasi masalah tersebut.
  • Senaman khas untuk ibu mengandung baik untuk kesihatan pinggang dan membantu mengurangkan rasa sakit di bahagian tersebut.
  • Postur yang betul semasa mengambil barang di lantai juga memainkan peranan. Elakkan terus tunduk atau membongkok untuk mengangkat barang di lantai. Sebaliknya bengkokkan kaki dan pastikan bahagian belakang anda lurus. Elakkan juga mengangkat barang yang terlalu berat.
  • Pastikan anda duduk dengan posisi yang betul. Letakkan bantal kecil untuk menyokong bahagian belakang. Elakkan menyilang kaki ketika duduk dan jangan mencangkung.
  • Elakkan memakai kasut tumit tinggi. Pakai kasut yang rata dan ringkas.
  • Tidurlah di atas tilam yang tebal kerana ia membantu mengurangkan rasa sakit belakang.
  • Mintalah suami mengurut belakang anda perlahan-lahan menggunakan minyak bayi untuk melegakan kesakitan.
  • Elakkan berdiri terlalu lama.
  • Jaga-jaga dengan pertambahan berat badan anda. Pertambahan yang berlebihan juga mudah membuat anda sakit belakang.

Atasi Pedih Ulu Hati

Pedih ulu hati antara gejala yang sinonim menyerang golongan wanita hamil. Selain disebabkan oleh perubahan hormon dan fizikal, faktor lain yang mendorong keadaan ini ialah kerana refleksi asid dalam perut atau masalah penghadaman makanan.

Berikut tip yang boleh anda cuba bagi mengatasi keadaan ini.
  • Makan dalam kuantiti yang kecil tetapi kerap. Elakkan makan dalam jumlah yang banyak atau sehingga terlalu kenyang kerana ia mudah membuat anda mengalami pedih ulu hati.
  • Pastikan anda mengunyah makanan hingga benar-benar hancur sebelum menelannya.
  • Elakkan berbaring sejurus selepas makan.
  • Elakkan makanan yang pedas dan berminyak serta minuman bergas atau berkafein kerana ia mengambil waktu yang lama untuk hadam.
  • Elakkan makan berselang seli dengan minum air. Minum selepas menghabiskan makanan.
  • Bila terasa pedih ulu hati, cuba kaedah ini. Berada dalam keadaan posisi seperti mahu merangkak dengan kedua tapak tangan dan lutut berada di atas lantai. Biarkan seketika. Posisi ini dengan bantuan tarikan graviti akan memudahkan perjalanan makanan dalam perut dan mengurangkan rasa pedih tersebut.
  • Semasa tidur, gunakan bantal untuk menyokong bahagian kepala dan belakang agar bahagian badan dan kepala sedikit tinggi supaya makanan mudah dihadamkan. Elakkan tidur di atas permukaan yang rata begitu sahaja.
  • Jangan memakai pakaian yang ketat terutama pada bahagian perut dan dada.

Atasi Sakit Punggung

Selain sakit belakang, ibu hamil juga tidak terkecuali daripada masalah sakit punggung. Ramai ibu hamil yang mengalami masalah ini. Kesakitan tersebut biasanya muncul di bahagian bawah punggung semasa hamil. Kadangkala kesakitan itu datang sewaktu anda dalam posisi berdiri, duduk ataupun tidur.

Selalunya keadaan ini berpunca kerana anda banyak membongkok. Tambahan dengan keadaan perut yang membesar, anda cenderung berada dalam postur yang sedikit membongkok ke hadapan kerana tarikan aktiviti yang berat dari perut yang membesar. Berikut cara yang boleh anda cuba untuk mengatasi masalah ini.
  • Bila duduk, tegakkan badan. Elakkan membongkok ke hadapan.
  • Jika mahu mengangkat barang dari lantai, jangan membongkok. Bengkokkan kaki dan turunkan badan.
  • Tidurlah di atas permukaan yang tegap tetapi lembut dan dapat memberi terhadap punggung anda tidak membuat punggung tertekan.
  • Jika sakit punggung anda semakin teruk walaupun sudah pelbagai cara anda cuba, berjumpalah doktor. Dikhuatiri ia mungkin ada kaitan dengan masalah atau jangkitan lain.
  • Masalah ini mungkin berlaku kerana anda kurang minum air putih menyebabkan ginjal terpaksa bekerja lebih berat. Jadi, banyakkan minum air.

Masalah Bengkak Kaki

Kaki bengkak memang masalah biasa bagi wanita hamil. Kaki mudah bengkak kerana harus menanggung beban tubuh yang bertmabah kerana faktor kehamilan. Berikut antara tip yang boleh anda jadikan panduan untuk mengatasi masalah ini.
  • Manjakan kaki anda. Bagaimana? Siram kaki dengan air sejuk perlahan-lahan bermula dari tapak kaki kemudian ke lutut dan paha. Ulangi selama beberapa minit sambil menggerak-gerakkan jari kaki anda. Selepas itu, amalkan merendam kaki anda di dalam air suam yang dicampur sedikit garam atau limau nipis.
  • Rajin mengurut lembut kaki dengan cara menekan tapak kaki menggunakan minyak bayi atau losyen setiap pagi atau malam sebelum tidur. Cara ini membantu kaki daripada bengkak sekaligus menjaga kesihatan kaki sepanjang hamil.
  • Dapatkan pemeriksaan doktor jika masalah bengkak yang anda alami agak berlainan disamping peningkatan berat tubuh yang keterlaluan iaitu lebih 1 kg setiap minggu. Anda harus berhati-hati dengan keadaan ini kerana dikhuatiri ia disebabkan gejala lain yang mungkin membahayakan anda dan kandungan.
  • Letakkan kaki di atas bantal semasa berbaring atau berehat. Tidur dengan pelbagai posisi, elakkan kaki daripada berada dalam posisi yang sama untuk jangka waktu yang lama bagi mengurangkan tekanan pada pembuluh darah.
  • Jangan berdiri atau duduk dalam posisi yang sama untuk jangka waktu yang lama. Banyakkan bergerak supaya pengaliran darah tidak terganggu. Amalkan senaman secara teratur juga membantu.
  • Gunakan kasut tumit rendah bagi membantu keseimbangan tubuh dan kaki.
  • Banyakkan berehat terutama jika anda terlalu sibuk dengan kerja, seringlah berhenti untuk setiap 10 minit sekali bagi merehatkan tubuh untuk melancarkan sistem perjalanan darah.
  • Kurangkan pengambilan garam dalam makanan kerana ia boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan lebih mudah membuat kaki menjadi bengkak.

Boleh & Tidak Boleh

Melalui fasa kehamilan, banyak perkara perlu anda beri perhatian demi kesihatan anda dan juga kandungan. Berikut antara perkara yang boleh atau tidak boleh anda lakukan sepanjang hamil.

  • Kenal pasti gejala kehamilan yang anda hadapi seperti pedih ulu hati, kram, sakit belakang dan sebagainya. Jangan anggap mudah gejala yang dialami. Tangani dengan cara yang betul agar ia tidak mengganggu kehamilan anda.
  • Jika memandu atau duduk dalam kenderaan, pastikan anda memakai tali pinggang keledar untuk keselamatan anda dan juga bayi jika berlaku kemalangan. Elakkan memakai tali pinggang melintang di atas perut. Letakkan satu di bawah perut dan satu lagi di atas perut untuk keselesaan anda.
  • Jangan pandang remeh jika anda terkena selesema terutama jika usia kandungan kurang dari 14 minggu kerana ia boleh membahayakan kehamilan anda. Segera berjumpa doktor.
  • Patuhi jadual pemeriksaan antenatal. Dengan ini, anda akan mengetahui perkembangan bayi dari masa ke semasa dan sebarang masalah yang dikesan boleh diatasi lebih awal.
  • Jika anda menghadapi masalah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi atau kandungan gula dalam darah berada pada paras rendah, sentiasa pantau tahap kesihatan anda. ikuti segala nasihat doktor.
  • Tidak salah untuk bergerak aktif selagi ia tidak membahayakan anda. Ia baik untuk kehamilan anda. Tanyakan pada doktor apakah aktiviti atau senaman yang sesuai boleh anda lakukan.
  • Jika boleh, cuba larikan diri daripada keadaan yang boleh menimbulkan stress dalam diri anda.
  • Pastikan anda tidur secukupnya antara 7 hingga 9 jam setiap hari. Cuba cari cara yang boleh membuat anda selesa semasa tidur.
  • Sentiasa pantau kenaikan berat badan anda sepanjang tempoh kehamilan. Wanita hamil memang mudah mengalami kenaikan berat badan. Pastikan kenaikan itu normal dan tidak terlalu berlebihan demi untuk kesihatan anda juga.
  • Amalkan pemakanan yang sihat. Banyakkan pengambilan buah dan sayuran serta makanan yang berserat. Dapatkan kalsium yang mencukupi untuk keperluan kehamilan anda. Elakkan makanan yang tinggi kandungan lemak.
  • Asid Folik penting untuk wanita hamil. Kekurangannya boleh menjejaskan tumbesaran anda. Pastikan anda mengambil 400 gram asid folik setiap hari.
  • Jangan lupakan pengambilan vitamin dan mineral tambahan yang diperlukan untuk kehamilan anda. Tanyakan pada doktor vitamin yang sesuai untuk keperluan anda.
  • Anda boleh dapatkan bekalan protein daripada ikan, namum pastikan anda memakan ikan yang bebas kandungan merkuri. Sesetengah ikan terutama yang bersaiz besar mempunyai kandungan merkuri yang tinggi yang boleh membahayakan kehamilan anda.
  • Elakkan memegang atau menggunakan bahan-bahan kimia seperti racun, semburan serangga atau bahan perosak, cat, peluntur dan sebagainya. Jika perlu, ambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan sarung tangan sebelum memegang barangan tersebut.
  • Elakkan memegang, memandikan atau menukar pasir najis kucing peliharaan. Ia berisiko mendedahkan anda dan bayi terhadap jangkitan tixoplasmosis yang disebabkan parasit daripada haiwan tersebut.
  • Jangan amalkan bersauna semasa hamil atau berendam dala air panas. Ia boleh menyebabkan bayi anda tidak selesa dan mengganggu kehamilan anda.
  • Jangan asal guna pencuci vagina kerana ada antaranya yang mengandungi bahan yang berbahaya untuk wanita hamil dan boleh menyebabkan alahan, jangkitan kulat dan jangkitan saluran kencing.
  • Elakkan merokok, pengambilan dadah mahupun alkohol. Semua bahan ini berisiko menyebabkan kanser kepada bayi anda selain kelahiran pramatang.

12 Perkara Perlu Anda Elak

Tanpa anda sedari, ada beberapa perkara yang sering anda lakukan sebelum hamil tidak sesuai untuk diteruskan apabila anda sedang hamil. Berikut antara perkara yang perlu anda beri perhatian.

Manicure, pedicure - Anda sering mendapatkan rawatan kuku di salun sebelum ini. Jika boleh elakkan melakukannya semasa hamil terutama pada 3 bulan pertama usia kandungan anda, ini kerana produk kecantikan yang digunakan mengandungi bahan kimia. Lebih baik anda mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghindarinya.

Facial - Jika sekadar facial biasa yang menggunakan produk yang bebas daripada bahan kimia, tidak mengapa. Namum, pastikan anda produk yang digunakan itu benar-benar bersih dan tidak mengandungi bahan yang berbahaya? Elakkan juga facial yang bertujuan untuk pengelupasan atau pemutihan kerana kulit sangat sensitif semasa hamil.

Mewarnakan Rambut - Sebolehnya elakkan terutama pada trimester pertama kehamilan kerana dikhuatiri bahan kimia dalam pewarna akan meresap ke dalam kulit dan boleh menimbulkan risiko jangkitan terhadap kandungan anda.

Kasut Bertumit - Tak perlu nak bergaya dengan kasut bertumit semasa hamil. Semakin bertambah usia kehamilan, semakin bertambah berat badan yang mempengaruhi graviti tubuh dan mudah membuat ibu hamil hilang keseimbangan dan mudah membuat anda terjatuh.

Ubat Nyamuk - Elakkan daripada apa saja jenis ubat nyamuk tidak kira jenis semburan, yang dibakar atau sapuan sekalipun. Ubat nyamuk mengandungi bahan kimia yang amat berbahaya dan boleh menjejaskan kandungan anda.

Derma Darah - Ibu hamil tidak digalakkan untuk menderma darah kerana mudah mengalami anemia (kekurangan darah) sedangkan anda perlukan darah yang banyak untuk kehamilan anda.

Membawa Barang - Elakkan membawa barang berat apatah lagi setelah kehamilan memasukki trimester yang terakhir.

Durian - Elakkan makan durian terutama pada trimester pertama kehamilan kerana ia boleh merangsang kontraksi yang akhirnya menyebabkan keguguran.

Kapal Terbang - Elakkan menaiki kapal terbang pada trimester terakhir kehamilan apatah lagi jika anda tergolong dalam kehamilan berisiko atau menghadapi sebarang masalah kesihatan. Tekanan di udara boleh menambahkan lagi risiko terhadap kehamilan anda.

Gincu Bibir - Jika anda suka memakai gincu semasa hamil, elakkan tabiat suka menjilat bibir. Bahan pengawet dan pewarna di dalam gincu jika tertelan boleh membahayakan janin.

Krim Pemutih - Lupakan krim pemutih ketika ini. Kandungannya boleh menjejaskan kesihatan anda dan janin.

Ubat Jerawat - Wajah anda dipenuhi jerawat setelah mula hamil? Ia adalah perkara biasa kerana faktor perubahan hormon untuk proses kehamilan. Lupakan seketika penggunaan ubat jerawat kerana ia mungkin membahayakan pertumbuhan janin anda. Cara lebih selamat, kerap mencuci muka untuk mengurangkan penghasilan minyak yang menyebabkan jerawat. Atasi jerawat setelah setelah melahirkan nanti.

07 May 2010

Makanan Penurun Darah Tinggi

Hipertensi atau tekanan darah tinggi memang menyerang ibu hamil jika dibiarkan. Keadaan ini boleh membahayakan kesihatan ibu dan juga bayi. Kerana itu penting untuk anda memantau agar tekanan darah sentiasa stabil sepanjang kehamilan. Dalam pada itu, ada kajian mendapati beberapa jenis makanan sesuai diamalkan bagi membantu menurunkan kadar tekanan darah tinggi. Mungkin anda boleh mecubanya bagi mengatasi masalah hipertensi anda. Berikut antara jenis makanannya.
  • Coklat - Coklat memang enak dimakan. Hanya sedikit coklat sudah cukup mengandungi magnesium yang membantu melancarkan pengaliran darah dan menurunkan tekanan darah. jika tidak suka makan coklat, anda boleh cari makanan lain yang turut mengandungi magnesium seperti bayam, avokado, gandum dan sebagainya.
  • Pisang - Buah ini membekalkan sumber zat pottasium yang membantu menurunkan tekanan darah dan mengurangkan pembekuan cecair dalam tubuh. Kandungan yang sama boleh anda jumpai dalam kismis, bayam dan yogurt.
  • Ikan - Kandungan omega 3 dalam ikan membantu melancarkan aliran darah dan mengurangkan risiko tekanan darah tinggi. Namum, hindari ikan yang mengandungi kadar merkuri yang tinggi seperti tuna dan makarel.
  • Oren - Kaya dengan vitamin C yang membantu mengurangkan penyempitan arteri dan menurunkan tekanan darah. Anda boleh juga dapatkan sumber vitamin C daripada anggur, kiwi dan strawberi.

10 Perkara Perlu Anda Tahu

Kehamilan merupakan satu pengalaman yang amat bermakna dan luar biasa dalam kehidupan wanita. Pelbagai perasaan yang timbul ketika ini ditambah dengan pengalaman membawa satu nyawa untuk dilahirkan ke dunia ini. Seorang wanita yang sudah bersedia menjadi ibu untuk menjalani proses kehamilan ini perlu mengambil tahu banyak perkara berkaitan dengan kehamilan. Berikut antara perkara yang perlu anda ketahui berkaitan persoalan tentang dunia kehamilan.
  • Waktu Wanita Mula Hamil, Masa Subur Dan Pusingan Haid - Persenyawaan berlaku apabila sel telur yang sudah matang bertemu sperma. Melalui proses ovulasi, sel telur matang akan dilepaskan dan mempunyai hanya beberapa hari saja untuk disenyawakan dan peluang berlakunya kehamilan. Terdapat beberapa tanda yang menentukan bilakah wanita sedang mengalami proses ovulasi atau waktu suburnya. Antaranya perubahan kekentalan cecair vagina dan suhu badan yang berubah ketika bangun tidur. Ketika ovulasi cairan vagina lebih jernih dan tidak mudah pecah apabila diregangkan. Perubahan suhu badan pula cenderung lebih tinggi daripada kebiasaannya. Tidak banyak perubahan yang dapat dirasakan pada awal kehamilan berlaku. Ia boleh dikenali melalui tanda tidak lagi datang haid, payudara terasa sakit dan menegang, keletihan, peningkatan kekerapan membuang air kecil atau gejala morning sickness seperti mual dan muntah.
  • Pengambilan Vitamin Tambahan - Untuk wanita hamil, vitamin prenatal (vitamin khas untuk ibu hamil) lebih baik daripada vitamin biasa kerana ia khas untuk memenuhi keperluan gizi untuk proses kehamilan. Apabila hamil, anda perlu mengambil tahu vitamin dan gizi penting yang diperlukan tubuh. Kekurangan gizi tertentu boleh menjejaskan kehamilan. Pada masa kini, terdapat pelbagai pilihan vitamin untuk wanita hamil yang ada di pasaran. Doktor juga selalunya akan membekalkan anda dengan vitamin penting untuk kesihatan kehamilan anda. Jangan merancang sendiri pengambilan vitamin tertentu. Kesihatan kehamilan bukan bergantung lebih banyak vitamin yang anda ambil akan menjadi lebih sihat, sebaliknya hanya dos yang diperlukan oleh tubuh sahaja. Sesetengah vitamin jika diambil secara berlebihan boleh memberi kesan buruk terhadap bayi dalam kandungan. Kerana itu adalah penting untuk anda sentiasa mendapatkan pandangan doktor bagi mengetahui dos yang sesuai dengan keperluan tubuh mengikut keadaan dan kesihatan anda.
  • Kepentingan Asid Folik - Selalunya wanita yang merancang ingin hamil akan disarankan mula mengambil asid folik sebelum kehamilan bermula dan diteruskan sepanjang tempoh kehamilan. Asid folik amat penting untuk wanita terutama pada saat awal kehamilan. Fungsi utamanya adalah untuk mencegah kecacatan bayi seperti kesumbingan pada bibir, mulut dan lelangit selain mengelakkan perkembangan otak janin yang tidak normal. Beberapa makanan seperti hati dan sayuran hijau mengandungi asid folik namum ia tidak mencukupi bagi wanita hamil yang amat memerlukannya untuk perkembangan bayi dalam kandungan. Kerana itu pengambilannya amat penting sejak awal kehamilan. Malah asid folik turut disarankan pengambilannya oleh wanita yang tidak hamil kerana kebaikannya dari sudut kesihatan.
  • Pertambahan Berat Badan Normal Ketika Hamil - Pertambahan berat badan semasa hamil secara purata lebih kurang 13kg. Jumlah ini termasuk berat janin, plasenta, cecair ketuban, rahim yang membesar, pembesaran payudara dan peningkatan cecair dalam tubuh ibu hamil. Selebihnya adalah pertambahan lemak pada tubuh si ibu. Cadangan pertambahan berat yang sesuai sepanjang kehamilan ialah antara 7 - 18kg untuk mereka yang berat badan di bawah paras normal (terlalu kurus) sebelum kehamilan, 7 - 16kg untuk wanita dengan berat normal sebelum kehamilan dan 7 - 12 kg untuk wanita dengan berat badan berlebihan sebelum kehamilan. Kenaikan berat yang keterlaluan ketika hamil berisiko membuat anda melahirkan bayi yang besar selain mengalami masalah obesiti selepas melahirkan anak. Manakala jika pertambahan berat terlalu sedikit pula, ia berisiko melahirkan bayi pramatang atau bayi mengalami masalah kekurangan berat badan.
  • Stress Semasa Hamil - Stress atau tekanan ketika hamil mudah dialami oleh wanita hamil dan ada kaitan dengan faktor hubungan di sekelilingnya seperti dengan keluarga dan teman-teman. Sesuatu kejadian yang tidak terduga seperti berita buruk dan tuntutan pekerjaan turut menjadi punca utama wanita hamil mudah stress. Gejala stress seperti rasa cemas, lelah, takut, sedih, marah atau berduka boleh menyebabkan kelahiran pramatang dan tekanan darah tinggi yang juga berisiko menyebabkan bayi bermasalah. Tambahan pula dengan keadaan tubuh wanita yang dalam proses kehamilan, memang agak sukar menangani stress dalam waktu ini. Beberapa cara seperti mendekatkan diri kepada tuhan, kaunseling, berhibur dengan orang tersayang antara cara untuk membantu wanita hamil menangani stress. Paling penting adalah sokongan daripada orang-orang yang disayanginya seperti suami dan ahli keluarga untuk membantu mengatasi stress yang timbul.
  • Makanan Mentah - Penting untuk diketahui bahawa pengambilan makanan mentah atau separuh mentah seperti sushi dan telur separuh masak haruslah dielakkan oleh wanita hamil. Tambahan pula ikan mentah adakalanya mengandungi parasit seperti cacing pita yang boleh menyebabkan penyakit. Makanan seperti ikan dan daging haruslah dimasak hingga benar-benar masak agar segala parasit di dalamnya mati.
  • Urutan Ketika Hamil - Urutan lembut ketika hamil banyak membantu untuk menenangkan dan memberi kelegaan kepada wanita hamil. tetapi bukan bermakna anda boleh mendapatkan urutan begitu saja kerana untuk wanita hamil, ada teknik urutan tertentu yang sesuai dengan perubahan fizikal ibu hamil. Oleh itu dapatkan mereka yang benar-benar arif tentang urutan untuk wanita hamil. Selain itu pasangan juga digalakkan mengurut lembut tubuh isteri terutama bahagian yang sakit seperti kaki dan pinggang. Selain membantu melgekan kesakitan, ia juga mengeratkan lagi hubungan suami isteri.
  • Elakkan Kucing - Kucing memang haiwan peliharaan yang comel. Namum semasa hamil elakkan dari mendekati haiwan ini. Kuman yang ada pada kucing boleh mencacatkan janin malah boleh menyebabkan keguguran.
  • Elakkan Alkohol - Elakkan makanan atau minuman mengandungi alkohol. Ia boleh memasukki darah.
Ketahui Tanda, Gejala Yang Membahayakan Kehamilan
Perlu anda ketahui tanda-tanda yang mungkin membahayakan kehamilan anda. Segera berjumpa doktor sekiranya anda mendapati tanda-tanda berikut:
  • Tanda kelahiran pramatang - sakit kontraksi 4 kali atau lebih dalam masa sejam. Kadangkala rasa sakit itu seperti sakit pada perut, terasa berdenyut-denyut, ngilu, kekejangan atau sakit pada pinggul hingga ke vagina.
  • Perubahan cecair vagina - pendarahan melalui vagina
  • Perubahan dehidrasi atau sesuatu penyakit
  • Muntah yang berterusan
  • Sakit seluruh badan
  • Menggigil atau demam untuk jangka waktu yang lama
  • Tanda jangkitan saluran pembuangan air besar atau kecil - rasa sakit atau seperti terbakar ketika membuang air.
  • Tanda tekanan darah tinggi - sakit kepala yang teruk dan berlarutan serta tidak hilang walaupun sudah memakan ubat.
  • Gangguan penglihatan, contohnya penglihatan tiba-tiba kabur.
  • Pedih ulu hati di bahagian atas kanan perut
  • Pembengkakan serius pada tangan, kaki atau wajah.
  • Berat tubuh meningkat mendadak
  • Tanda janin terancam - perubahan pada frekunsi gerakan janin.

Bahaya Mual Dan Muntah

Rasa mual dan muntah sememangnya sinonim dengan wanita hamil. Ia dikaitkan dengan faktor perubahan hormon dalam tubuh untuk proses kehamilan. Sewaktu hamil, hormon HCG (Chorionic Gonadotropin) yang berasal dari ari-ari (plasenta) akan meningkatkan pengeluarannya. Fungsinya untuk menjaga keperluan produksi hormon agar proses kehamilan berjalan lancar.

Namum, ia turut memberi kesan lain iaitu menimbulkan rasa mual dan muntah pada trimester pertama kehamilan. Mual dan muntah ini adalah keadaan normal ketika ini. Namum adakalanya pada sesetengah kes berlaku mual dan muntah yang amat teruk yang disebut sebagai " hiperemesis gravidarum". Tanda-tandanya seperti berikut:
  • Berat badan turun 3 kg atau lebih dalam trimester pertama ( 3 bulan pertama kehamilan)
  • Tidak mampu menelan makanan atau minuman selama 24 jam
  • Air kencing berwarna kuning gelap
  • Tidak kencing hingga selama 8 jam
  • Muntah terlalu kerap, setiap jam atau lebih
  • Mual yang keterlaluan hingga terus muntah saat makanan masuk ke mulut
Jika keadaan ini berlaku, anda tidak boleh memandang ringan begitu sahaja dan menganggapnya hanya gejala kehamilan biasa. Mual dan muntah yang berterusan dan semakin memburuk tidak boleh dibiarkan kerana berisiko menyebabkan kematian pada ibu dan bayi atau bayi yang dilahirkan kelak akan menghadapi masalah berat badan tidak mencukupi.

Anda perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Selalunya jika keadaan anda serius dan tubuh mula mengalami dehidrasi (kekurangan cecair) anda akan ditahan di dalam wad bagi mengatasi masalah dehidrasi tersebut.

Selain daripada rawatan doktor, panduan berikut juga boleh anda ikuti untuk membantu anda melalui keadaan tersebut.
  • Hindari makanan berbau tajam, asap rokok, wangian atau apa saja bau disekeliling anda.
  • Dapatkan bantuan supplimen tambahan yang membantu mengurangkan rasa mual dan muntah.
  • Makan makanan yang mampu ditelan kerongkong
  • Elakkan terus berbaring setelah makan. Duduk tegak dahulu beberapa minit sebelum berbaring.
  • Jangan minum banyak air ketika makan. Minumlah setelah selesai makan.
  • Banyakkan berehat daripada bergerak.

Benar Atau Tidak?

Kehamilan juga sering dikaitkan dengan pelbagai mitos dan larangan tertentu. Soalnya adakah ia benar dan boleh anda percayai atau hanya sekadar mitos semata-mata. Ketahui jawapannya.
  • Garam Menyebabkan Kaki Bengkak - Tidak benar. Pada kehamilan biasa tiada masalah dengan pengambilan garam. Kaki bengkak disebabkan oleh aliran darah pada pembuluh darah yang tidak lancar. Tetapi jika anda ibu hamil yang menghidap darah tinggi, anda dinasihatkan kurangkan pengambilan garam kerana ia akan menambahkan lagi tekanan darah anda.
  • Banyak Minum Air Batu Membuat Bayi Jadi Besar Dan Sukar Dilahirkan - Tidak ada kaitan langsung. Bayi besar selalunya berlaku pada ibu hamil yang menghidap kencing manis, kerana itu disarankan tidak mengambil banyak gula dalam pemakanan.
  • Susu Soya Membuat Kulit Bayi Jadi Putih - Tiada kaitan. Warna kulit bayi ditentukan melalui pigmen yang membentuk kulit dimana pigmen ini berkait rapat dengan faktor genetik si ibu dan ayah. Susu soya tidak membuat kulit bayi menjadi putih, namum ia mengandungi pelbagai khasiat yang baik untuk perkembangan bayi.
  • Hubungan Intim Semasa Hamil Memudahkan Untuk Bersalin - Ada benarnya kandungan sperma membantu proses kontraksi sewaktu bersalin. Tetapi pastikan kehamilan anda tidak bermasalah. Jika anda menghadapi masalah seperti uri di bawah atau penyakit lain, anda perlu mendapatkan pemeriksaan dokor kerana dikhuatiri hubungan intim boleh membahayakan kandungan. Serta pelajari teknik atau posisi yang sesuai bagi hubungan seks ketika kehamilan. Klik sini untuk info lanjut.

Bahaya Hubungan Intim Semasa Hamil

Secara normal, walaupun hamil, anda masih boleh menikmati hubungan intim dengan pasangan seperti biasa. Cuma, ia perlu dilakukan mengikut kesesuaian fizikal anda kerana faktor kehamilan. Malah, hubungan intim sebenarnya digalakkan semasa hamil kerana membantu mempercepatkan kontraksi semasa bersalin nanti.

Namum, apabila anda tergolong dalam kehamilan berisiko dan mengalami masalah tertentu berkaitan dengan kehamilan, anda mungkin dinasihatkan untuk mengelakkan hubungan kelamin. Berikut antara sebab mengapa hubungan kelamin tidak digalakkan jika ibu hamil mengalami situasi berikut.
  • Jika ibu hamil mengalami masalah turun darah pada peringkat awal kehamilan.
  • Jika mempunyai masalah fibroid yang boleh mengganggu kandungan.
  • Wanita hamil yang mempunyai penyakit darah tinggi yang serius tidak digalakkan bersama suami sebelum usia kandungan empat bulan ke atas.
  • Ada risiko ancaman keguguran
  • Kedudukan plasenta yang terletak di bawah
  • Pernah mempunyai sejarah kelahiran pramatang atau tidak cukup bulan
  • Berlaku pendarahan vagina atau keluar cecair yang tidak diketahui puncanya.
  • Pasangan mempunyai jangkitan penyakit kelamin.
Disamping itu anda dan pasangan digalakkan mempelajari teknik atau posisi yang sesuai untuk melakukan hubungan seks semasa kehamilan supaya tidak mendatangkan kemudaratan kepada anda dan kandungan, disamping dapat menikmati kenikmatan hubungan seperti yang diingini. Klik sini untuk info lanjut.

06 May 2010

8 Tanda Kehamilan

Anda hamil? Atau anda tidak pasti anda hamil ataupun tidak. Sememangnya kita lebih mudah tahu kita hamil jika mempunyai pusingan haid yang teratur. Namum bukan semua wanita begitu. Ramai juga antaranya mempunyai kitaran haid yang tidak teratur.

Ada beberapa tanda lain yang boleh anda perhatikan yang memberitahu bahawa janin sedang mula berkembang dalam rahim anda. Bagaimana? Cuba perhatikan tanda-tanda ini.

Keletihan
Tiba-tiba anda mudah berasa letih dan lelah serta kurang bersemangat. Kadangkala mungkin anda menganggap ia tanda-tanda kedatangan haid, tapi ia juga merupakan salah satu tanda awal kehamilan. Ini kerana kadar hormon progestoren yang meningkat di awal kehamilan menyebabkan anda selalu rasa mengantuk dan tidak bertenaga seperti selalunya.

Payudara Bengkak
Tiba-tiba payudara anda seperti membengkak dan amat sensitif. Mudah terasa sakit apabila disentuh. Ini juga berlaku kerana faktor hormon dan biasanya terjadi setelah haid mulai lambat. Gejala ini agak serupa dengan gejala yang dialami ketika hampir datang haid.

Mual Muntah
Juga salah satu simptom "morning sickness". Gejala ini muncul bila-bila masa. Ada yang mengalami tanda ini lebih cepat dan ada juga yang lambat. Apabila anda mula mengalami tanda ini sedangkan haid masih belum kunjung tiba, bolehlah anda membuat ujian kehamilan sendiri di rumah.

Pendarahan
Antara 10 - 13 hari setelah benih disenyawakan, mungkin anda perasan ada titisan darah kecil pada seluar dalam. Jika jumlahnya sedikit dan warnanya juga sedikit pudar berbanding darah haid. Pendarahan kecil ini berlaku kerana proses benih tertanam pada rahim. Jangan anda keliru dan menyangka ia adalah haid pula.

Deria Rasa
Anda lebih sensitif terhadap segala bau di sekeliling anda berbanding sebelum ini. Kadangkala bau tersebut membuat anda berasa loya dan mual. Keadaan ini disebabkan peningkatan hormon dalam tubuh.

Kerap Buang Air
Anda semakin kerap ke bilik air untuk membuang air. Ini kerana peningkatan pusingan darah dan cecair dalam tubuh selain proses uterus yang mula membesar untuk kehamilan.

Suhu Tubuh
Selalunya pada awal kehamilan, suhu tubuh anda akan meningkat daripada biasanya. Anda mungkin mudah berasa panas dan cepat berpeluh. Keadaan ini membuat anda tidak selesa dan selalu ingin berada di depan kipas atau suasana yang berhawa dingin.

Tidak Haid
Apabila haid anda tidak lagi kunjung tiba mengikut waktu sepatutnya, tibalah masa untuk anda melakukan ujian kehamilan bagi mengesahkan keadaan tersebut.

Jom Lihat Zodiak Si Kecil...

Kita selalu membaca tentang personaliti yang digambarkan melalui zodiak kelahiran. Gambaran Zodiak ini bukan hanya untuk orang dewasa tetapi juga mengambarkan personaliti bayi anda. Nak tahu bagaimana sifat si kecil anda? Jom kita lihat Zodiaknya.

AQUARIUS (20 JANUARI - 18 FEBRUARI)


Si Comel Aquarius mempunyai sifat kepimpinan, bijak dan cergas. Namun dia kurang pandai memulakan pergaulan. Anda boleh membantunya dengan sentiasa mendedahkannya pada persekitaran yang ceria dengan teman-teman seusianya untuk membantu dalam meningkatkan kemampuan bersosialnya.


PISCES ( 19 FEBRUARI - 20 MAC)
Si Kecil Pisces kena dapat perhatian lebih kerana mudah stress dengan faktor sekelilingnya. Kerana itu dia amat sensitif dan mudah menangis. Emosinya mudah tersentuh. Walaupun begitu Si Comel Pisces seorang yang mudah memberi dan menerima selain suka membantu.


ARIES ( 21 MAC - 19 APRIL)
Seorang yang aktif dan kerana itu anda perlu memberi perhatian pada Si Kecil Aries. Dia sukar duduk diam, ada saja yang ingin dilakukannya menyebabkan anda juga harus sentiasa mengawasinya. Keinginannya untuk meneroka ruang sekelilingnya amat tinggi dan ini mungkin menyebabkan dia sukar mendengar arahan anda. Kerana itu Si Kecil Aries mudah menonjol di kalangan rakan-rakannya kerana sikap yang selalu ingin menunjukkan kelebihan dan kepandainya.

TAURUS (20 APRIL - 20 MEI)
Si Kecil Taurus seorang yang berdikari namun agak degil dan suka melakukan sesuatu mengikut kehendaknya sendiri. Dia sentiasa mahukan perhatian dan belaian anda dan sukakan persekitaran yang tenang untuk melakukan aktivitinya.


GEMINI (21 MEI - 21 JUNE)

Si Kecil Gemini memang seorang yang aktif dan suka bergerak. Sifat ingin tahunya tinggi. Kerana itu dia suka meneroka ruang persekitarannya apatah lagi jika ia suasana yang baru baginya. Sikapnya yang suka menjelajah membuatnya tidak kenal rasa takut. Kerana itu Si Kecil Gemini tergolong pintar dan kreatif. Anda harus sentiasa memberi sokongan dan rangsangan agar dia tidak cepat bosan.


CANCER (22 JUN - 22 JULAI)


Mood Si Kecil Cancer sering berubah dan sering membuat kejutan. Kerana itu tidak hairanlah emosinya mudah terganggu dan mudah menangis. Dia sentiasa mahukan perhatian anda. Namun begitu Si Kecil Cancer mempunyai daya ingatan yang tinggi berdasarkan pengalaman yang dilaluinya.


LEO (23 JULAI - 22 OGOS)
Cerewetnya Si Kecil Leo. Dia mahu anda sentiasa menuruti kemahuannya. Dia sukakan perhatian orang sekelilingnya namun sukar berkongsi. Kerana itu dia mudah bertengkar kerana tidak mahu berkongsi permainan. Apa yang didapatinya mahu dikuasai olehnya sendiri.


VIRGO (23 OGOS - 22 SEPTEMBER)
Si Kecil yang aktif dan suka membantu. Tidak banyak karenah dan sukakan apa sahaja yang disediakan untuknya. Si Comel ini juga suka aktiviti yang bersifat rutin dan suka beriadah dengan rakan-rakannya.


LIBRA (23 SEPTEMBER - 22 OKTOBER)
Si Kecil Libra pandai memujuk dan membuat anda cair dengannya. Dia sukakan perhatian dari orang di sekelilingnya. Sekalipun emosinya mudah terganggu namun dia suka jika mempunyai rakan-rakan di persekitarannya kerana sikapnya yang pandai bersosial.


SCORPIO (23 OKTOBER - 21 NOVEMBER)
Bijak dan berusaha untuk mendapatkan apa yang diingininya adalah sikap Si Kecil Scorpio. Tetapi ada kalanya dia suka mengambil kesempatan daripada orang di sekelilingnya.


SAGITTARIUS (22 NOVEMBER - 21 DISEMBER)
Si Kecil Sagittarius mudah dibawa kemana sahaja kerana sikapnya yang pandai membawa diri. Semangatnya tinggi dan sukakan kebebasan serta cabaran di sekelilingnya.


CAPRICORN (22 DISEMBER - 19 JANUARI)
Si Kecil Capricorn seorang yang berdisiplin dan melakukan sesuatu dengan tujuan yang jelas. Malah dia sukakan penghargaan atas apa yang telah dilakukannya. Dia juga tidak suka terburu-buru dan jika melakukan sesuatu, dia akan lakukan sekadar yang termampu dan tidak suka memaksa dirinya.

04 May 2010

10 Perkara Tentang Bayi Perlu Ibubapa Ketahui

Susu ibu makanan terbaik untuk bayi yang berusia hingga 6 bulan
Jika bayi anda mengalami cirit birit, susu ibu adalah antibiotik terbaik untuknya. Oleh itu, berikan susu ibu kepada bayi anda kecauli anda tidak ada pilihan lain lagi.

Perlukah bayi diberi air masak mati?
Sebenarnya tidak begitu perlu kerana dalam susu ibu atau susu formula yang anda berikan itu sememangnya sudah ada kandungan air.

Pemakaian lampin pakai buang sering dikaitkan ruam
Sebenarnya bukan hanya ruam, pemakaian lampin pakai buang juga mendedahkan bayi kepada risiko berlakunya infeksi pada saluran kencing dan ruam di bahagian punggung bayi.

Buang air besar
Bayi yang menghisap susu ibu akan membuang air besar beberapa kali dalam sehari, bila usia semakin meningkat, buang air besar selang sehari masih normal. Najisnya juga tidak keras dan sukar untuk mengeluarkannya.

Bayi yang sering menghisap jari sering dikaitkan dengan tidak puas susu
Jika ini berlaku pada bayi anda, pastikan bahawa dia mendapat susu secukupnya. Jika sudah mendapat secukupnya susu tapi masih menghisap jari, kenal pasti puncanya.

Tumbuh gigi pada usia berbeza adalah normal
Ada yang tumbuh seawal usia 3 bulan dan ada yang belum tumbuh sampai usia 1 tahun. Kedua-dua keadaan ini adalah normal dan sihat. Bagaimanapun kebanyakkan bayi tumbuh gigi pada usia tujuh bulan. Ibubapa sering mengaitkan tumbuh gigi dengan demam, selsema dan cirit birit. Sedangkan ia tidak ada kaitan, sebaliknya ia berpunca daripada jangkitan bakteria atau vitus. Bagaimanapun, pertumbuhan gigi tersebut boleh menyebabkan daya tahan tubuh bayi menurun sehingga memudahkannya mendapat infeksi (jangkitan). Jika demamnya sampai 38 darjah celcius ketika giginya tumbuh, bawa berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Anak hanya akan bersedia ke tandas untuk buang air bergantung pada usia dan kesediaannya untuk ke tandas.
Umumnya, si kecil anda akan secara beransur-ansur dapat mengawal untuk buang air kecil dan besar apabila usianya semakin meningkat. Ibu yang bijaksana akan memerhatikan perkembangan anaknya dan tahu bila waktunya anak perlu ke tandas. Sambil itu, sentiasalah memberikan galakkan.

Menggigit kuku tanda si kecil mengalami tekanan
Hal ini lebih sering terjadi pada anak yang mudah cemas, takut dan tidak pandai bersosial dengan kawan-kawannya yang lain. Dia mula menggigit kalau merasa tertekan. Misalnya ketika mula masuk ke sekolah, menonton filem yang menakutkan. Memarah atau menghukum anak yang menggigit kuku tidak akan menghentikan tabiatnya itu, sebaliknya menambahkan lagi tekanan yang dialaminya. Cara terbaik, membantunya cari punca tekanan dan cubalah membantunya.

Bayi menjatuhkan dan membuang sesuatu
Sekitar usia setahun bayi belajar menjatuhkan sesuatu (mainan, makanan dan lain-lain). Mereka menangis bila tidak mendapatkannya kembali. Bila anda membantunya dengan cara mengembalikan barang tersebut, ia akan menjatuhkannya kembali. Ia menyebabkan si manja anda berfikir hal itu adalah permainan yang menarik. Penyelesaiannya, bawa dia duduk di lantai kalau berkelakuan demikian supaya dia bebas bermain. Jika dia mula membuang makanannya, jauhkan makanan dan ajaknya bermain. Tunggu hingga dia ingin makan semula baru beri kerana memarahi anak kerana membuang makanan tidak menyelesaikan masalah.

Bila sebaiknya anda membawa anak berjumpa doktor?
Biasanya anda disarankan untuk segera menghubungi doktor bila bayi anda menunjukkan sebarang perubahan seperti tiba-tiba menjadi pucat, meragam, menangis, tidak mahu tidur dan kelihatan letih dan mengantuk atau tidak aktif secara tiba-tiba.

Keperluan Bayi Sebelum Keluar Rumah

Pertama kali keluar atau balik kampung dengan si kecil, pastinya barang keperluan bayi perlu dibawa banyak. Walaupun penuh kereta namum masih bimbang jika ada barang bayi yang tertinggal sehingga boleh mengganggu perjalanan anda. Berikut senarai keperluan boleh dijadikan panduan kepada anda untuk menyiapkan keperluan si kecil yang disesuaikan dengan keperluan dan tujuan balik kampung atau bercuti.

Peralatan Mandi
  • Mandian dan syampu bayi (gunakan pek mudah bawa yang mengandungi syampu, mandian, losyen dan bedak) terdapat pelbagai jenis di pasaran.
  • Tuala mandi
  • Minyak telon atau kayu putih
  • Bedak (jika perlu)
  • Minyak bayi
Keperluan Khusus
  • Pasport dan tiket (jika bercuti ke luar negara)
  • Salinan kad imunisasi (jika keluar negara, pastikan imunisasi yang diperlukan telah diambil sebelum masuk ke negara anda lawati)
  • Termometer digital (ia lebih mudah digunakan semasa dalam perjalanan)
  • Ubat untuk bantuan pertolongan kecemasan segera seperti parasetamol (ubat menurunkan panas badan), ubat batuk, selesema (titisan hidung), ubat cirit birit dan krim ruam lampin.
Keperluan Umum
  • Tempat duduk anak dalam kereta (sesuaikan dengan berat badan dan usia bayi)
  • Kereta sorong bayi
  • Tisu basah
  • Selimut
  • Botol susu, puting kosong dan termos air panas
  • Baju sejuk, sarung tangan dan topi bayi
  • Lampin pakai buang (untuk kegunaan hari-hari pertama sebelum sempat membeli yang lain di tempat bercuti)
  • Mainan kesukaan bayi (yang ringan dan kecil)
  • Beg plastik untuk mengisi kekotoran
  • Beg keperluan bayi
  • Topi dan payung
Makanan Dan Minuman
  • Makanan dan minuman sepanjang perjalanan (letakkan dalam beg berasingan yang mudah dibawa)
  • Alat makanan seperti senduk, susu, garfu, piring dan gelas
  • Makanan (bubur dan biskut), minuman (susu dan jus buah-buahan dalam kotak untuk keperluan beberapa hari pertama sebelum ada kesempatan membeli yang lain).

Persekitaran Bising Punca Anak Lambat Bercakap

Bila si kecil anda memerlukan masa lebih lama untuk bercakap, ia mungkin dipengaruhi oleh faktor persekitaran yang bising seperti suara dari TV terlalu kuat atau suasana di nurseri agak bising menyebabkan dia lambat bercakap.

Ia disebabkan anak tidak mendengar apa yang diperkatakan dalam keadaan bising tersebut kecuali apa yang dituturkannya itu lebih kuat dari kebisingan di persekitarannya. Kajian yang dilakukan oleh pakar dari University Maryland ke atas 100 bayi kecil berusia 5, 9 dan 13 bulan untuk melihat bagaimana reaksi bayi terhadap suara seorang wanita yang memanggil nama mereka atau nama yang tidak dikenali dalam suasana bising tersebut.

Hasilnya bayi memberi perhatian lebih lama bila nama mereka dipanggil ketika suara tersebut lebih kuat dibandingkan kebisingan persekitaran. Bagi bayi berusia 5 bulan, mereka hanya memberi perhatian bila suara memanggil nama mereka sama dengan bunyi muzik romantis yang sering dipasangkan di restoren. Bila suasana persekitaran 2 kali ganda bising bayi ini tidak boleh mencapai tindak balas.

Apabila usia mencapai 13 bulan, anak sudah boleh membezakan suara yang memanggil namanya dengan kebisingan di persekitarannya. Jelasnya jika si kecil menghabiskan banyak waktu di persekitaran bising akan menyebabkannya lambat bercakap.

7 Cara Tenangkan Bayi Menangis

Perkara penting perlu anda lakukan apabila bayi menangis adalah bertindak cepat, membiarkan dan menangis akan menggalakkannya lebih kuat menangis. Berikut tujuh tips menenangkannya.

Berikannya Satu Penyusuan
Pada bulan pertama kelaparan adalah sebab utama bayi anda menangis. Memberinya satu penyusuan cara paling berkesan menenangkannya, walaupun ini bermakna penyusuan yang kerap pada waktu siang dan malam. Jika bayi anda menghisap botol dan menghisapnya dengan lahap selang masa singkat antara penyusuan tersebut, cuba berinya air sejuk yang boleh dididihkan di dalam botol steril. Dia mungkin dahaga.

Membelainya
Ini hubungan mesra yang diperlukan oleh bayi untuk bertenang dan berhenti menangis. Jika dia lebih tenang apabila anda mendukungnya tegak pada bahu, atau dengan keadaan mukanya ke bawah, mungkin ada angin dalam badannya menyebabkan dia menangis.

Ayunkan Secara Berirama
Pergerakkan biasanya menenangkan bayi dan mungkin boleh menidurkannya. Ayunkan dalam lengan anda. Jika dia masih tidak tenang cuba ayun lebih cepat, mungkin 60-70 ayunan seminit atau ayun ke atas dan bawah. Jika perlu bawa dia berjalan-jalan di sekeliling rumah.

Membedungnya
Balut bayi agak dalam sehelai selimut bayi dengan menyelitkan hujung selimut ke bawah untuk membuat satu bungkusan kemas. Ini mungkin menenangkannya kerana dia berasa selamat. Bawa dia keliling dalam lengan anda dalam keadaan berbalut sehingga dia tenang dan berhenti menangis. Letakkannya ke bawah dan tidur terlentang tanpa menanggalkan balutannya.

Menepuk
Menepuk, mengusap belakang atau perut secara berirama akan menenangkan bayi dan membantunya sendawa. Rasa sentuhan tangan anda juga memberikannya ketenangan ketika anda mula melatakkannya ke bawah untuk menukar lampin.

Memberi Sesuatu Untuk Dihisap
Hampir semua bayi tenang apabila menghisap. Jari anda yang bersih mungkin dapat mententeramkannya dan kadangkala menidurkannya. Sebab itulah dia akan menghisap genggaman tangannya sendiri seawal usia bayi. Jika anda ingin memberikan puting kosong, berikan yang berbentuk semulajadi dan sterilkan sebelum digunakan.

Mengalihkan Perhatian
Adakalanya, melihat sesuatu membuat bayi anda lupa sebab dia menangis, sekurang-kurangnya untuk seketika. Corak yang terang dan warna-warni mungkin mempesonakannya. Dia mungkin merenung kertas dinding atau pakaian anda, mendukungnya ke sekeliling rumah untuk melihat gambar dan wajahnya di cermin boleh menenangkannya.