20 May 2013
Penjagaan Bayi Pramatang
Perhatian ekstra perlu diberikan kepada bayi ini.
Suhu badan bayi hendaklah sentiasa berada di paras normal.Bayi juga lazimnya
dirawat di dalam inkubator atau diletakkan di bawah pemanas radian. Begitu juga
kandungan tahap gula dalam badan sentiasa dipantau untuk mengesan dan memberi
rawatan awal sekiranya kandungan gula tinggi atau rendah.
Langkah jimat dan produktif untuk merangsang
perkembangan bayi pramatang adalah dengan memberi penyusuan susu ibu secara
eksklusif. Cara ini boleh mengelakkan bayi daripada dijangkiti sebarang
penyakit. Bersihkan tangan anda terlebih dahulu sebelum memegang bayi kerana
metabolisme dan imunisasinya masih belum utuh menangkis sebarang jangkitan
kuman atau penyakit.
Dalam kes tertentu, sekiranya bayi terdedah kepada
sebarang komplikasi, mereka dinasihatkan mendapatkan rawatan fisioterapi,
terapi cara kerja dan lain-lain terapi. Kerjasama kedua-dua ibubapa amat
diperlukan bagi memastikan kesihatan bayi lebih baik dan membesar sihat seperti
bayi normal.
Ramai pasangan ibu bapa baru kekok dalam menguruskan
bayi baru lahir. Apatah lagi,badan, tangan dan kaki yang kecil serta kulit yang
nipis perlu dipegang dengan penuh berhati-hati. Hal ini lebih membebankan bagi
bayi baru lahir yang dilahirkan awal daripada tarikh jangkaan lahirnya. Bagi
bayi yang lahir tidak cukup bulan tentu lebih sukar untuk menjaganya kerana
keadaan anggota badannya lebih kecil dan pelbagai komplikasi yang mungkin
berlaku pada bayi ini. Ikuti panduan penjagaan bayi pra matang seperti berikut:
Persekitaran
Kulit bayi pramatang sangat nipis dan tidak mampu
menyimpan haba badan dengan baik. Jika suhu tidak stabil bayi mungkin mengalami
masalah paru-paru yang lebih teruk. Pastikan suhu sentiasa 27 darjah celcius
(suhu bilik) dan sekitarnya berkeadaan bersih. Pakaikan baju lengan panjang,
seluar panjang, sarung kaki dan topi untuk menutupi kepalanya kerana haba
banyak hilang melalui kepala. Jauhkannya daripada orang yang mungkin mempunyai
masalah kesihatan seperti batuk atau selesema.
Posisi Tidur
Posisi mengiring atau meniarap digalakkan untuk
memberi keselesaan kepada bayi. Pun begitu, posisi mengiring adalah pilihan
yang terbaik. Perlu diketahui, bayi pramatang mengeluarkan muntahnya lebih
banyak berbanding bayi normal lain. Bagi bayi yang tidur dalam posisi
terlentang, muntahnya mudah masuk dalam paru-paru dan telinga. Jadi, awasi
posisi tidur bayi anda.
Kolik (Kembung Perut)
Perut kembung atau kolik amat mudah menyerang bayi
yang baru lahir. Ini tidak terkecuali bayi pramatang. Hal inin berlaku kerana
bayi berasa tidak selesa dan menangis apabilakolik menyerang. Selain menyapu
ubat dan menuam pada bahagian perutnya, mendukung bayi dapat membantu melegakan
rasa ketidakselesaan. Anda boleh juga baringkan bayi pada bahagian dada,
pastikan perut anda bertemu perutnya. Gosok secara perlahan-lahan pada bahagian
belakangnya. Dengan cara sebegini, bayi anda pasti berasa selesa.
Mandi
Cara memandikan sama seperti bayi normal yang lain.
Namun, jangan terlalu lama dedahkan bayi ini tanpa baju. Setelah memandikannya
dengan air suam, lap dengan kapas atau kain bersih pada bahagian pelipat jari,
paha, kaki, leher dan belakang serta telinga. Sesudah itu, segera pakaikannya
baju untuk mengelakkan kesejukan.
Nota : Bayi pramatang biasanya agak lambat mencapai
perkembangan yang dicapai oleh bayi seusianya. Anda perlu mengambil kira berapa
minggu dia lebih awal dilahirkan.
Contohnya kalau bayi dilahirkan sebulan pramatang,
anda perlu menambah sebulan lagi untuk perkembangannya. Apa yang mampu dicapai
oleh bayi enam bulan, dia akan mencapainya dalam usianya tujuh bulan.
15 May 2013
Risiko Kematian Ibu Ketika Bersalin
Hasil
daripada perkembangan teknologi perubatan dan pengetahuan tentang pentingnya
menjaga kesihatan semasa hamil, kes kematian semasa bersalin semakin
berkurangan. Namun, untuk memastikan kejayaan tersebut berterusan, kerjasama
semua pihak sangat penting terutamanya daripada ibu hamil itu sendiri.
Untuk pengetahuan, ada banyak faktor yang boleh menjadi penyebab kematian semasa bersalin. Salah satu dariadanya ialah kurangnya kesedaran tentang pentingnya penjagaan diri semasa hamil. Sikap suka melengah-lengahkan pemeriksaan antenatal ketika awal kehamilan sebenarnya mengundang pelbagai risiko bukan sahaja pada ibu tetapi juga pada bayi yang dikandungi.
Ibu hamil perlu sedar bahawa mereka merupakan golongan yang terdedah kepada bermacam-macam komplikasi kesihatan. Oleh yang demikian, pemeriksaan awal dan rawatan susulan perlu dilakukan untuk memantau tahap kesihatan mereka sepanjang kehamilan bagi mengelakkan risiko kematian ibu ataupun bayi semasa proses kelahiran.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati, berjuta-juta bayi mati pada peringkat akhir kehamilan, kelahiran dan pada minggu pertama dilahirkan. Menyedari hakikat ini, WHO menggariskan empat komponen utama berhubung keibuan yang selamat iaitu amalan perancangan keluarga, penjagaan antenatal, kelahiran yang selamat serta bersih dan penyediaan penjagaan obstetrik asas.
Melalui perancangan keluarga, pasangan suami isteri akan dibekalkan dengan pengetahuan tentang cara untuk menjarakkan anak, bilangan anak yang dicadangkan dan masa yang sesuai untuk hamil. Semasa hamil pula, ibu-ibu akan diberikan penjagaan rapi sepanjang kehamilan agar sebarang risiko penyakit dapat dikesan dan dirawat segera. Faktor kelahiran yang bersih dan selamat pula bergantung pada pengetahuan dan kemahiran pembantu kelahiran selain daripada amalan penggunaan peralatan yang telah dibasmi kuman. Manakala, penyediaan penjagaan obstetrik asas amat penting untuk dinikmati oleh semua wanita yang memerlukan. Matlamat yang ingin dicapai di sini ialah setiap ibu hamil dapat melahirkan anak dengan selamat dan kedua-duanya sihat.
Tumpah Darah Penyebab Utama Kematian
Di Malaysia, penyebab utama kematian ibu semasa bersalin ialah pendarahan berlebihan atau tumpah darah selepas bersalin iaitu sekitar 23 peratus. Tumpah darah ini berlaku akibat kekenduran otot-otot rahim terutamanya di kalangan wanita yang terlalu kerap mengandung dan bersalin. Begitu juga dengan wanita yang telah lanjut usia ketika melahirkan anak. Jika tumpah darah berlaku di kalangan wanita yang mengalami masalah kurang darah, sudah tentulah ketahanan badannya menjadi lemah. Keadaan ini boleh membawa maut.
Ada banyak perkara yang menjadi punca kepada masalah kurang darah di kalangan wanita. Antaranya ialah pemakanan tidak seimbang yang menyebabkan kekurangan kandungan vitamin dan zat khususnya besi. Masalah ini juga mungkin berlaku disebabkan oleh kehamilan dan kelahiran yang terlalu kerap dan tidak diatur dengan betul.
Untuk membina darah, seseorang itu perlukan sumber makanan yang kaya protein dan zat besi seperti hati, daging, ayam, ikan, limpa dan sayur. Sebaiknya sebelum hamil seseorang wanita mesti menentukan tahap darahnya menerusi ujian menyukat paras hemoglobin.
Embolisme Paru-Paru Akut Boleh Membawa Maut
Di Malaysia, masalah embolisme paru-paru akut menjadi cabaran getir bagi para pengamal perubatan yang mengendalikan wanita hamil dan baru bersalin. Kajian menunjukkan bahawa lebih kurang 15 peratus kes kematian ibu hamil dan baru bersalin berpunca daripada masalah embolisme paru-paru akut disebabkan oleh dua punca.
Pertama ialah gumpalan darah beku atau deep vein thrombosis yang terbentuk pada betis atau pinggul ibu hamil. Gumpalan darah beku ini terjadi akibat pengaliran darah pada bahagian tersebut tidak lancar disebabkan oleh tekanan kandungan. Risiko ibu hamil mengalami masalah ini empat kali ganda berbanding wanita biasa.
Punca keduanya pula ialah air ketuban yang memasuki saluran darah ibu ketika bersalin atau amniotic fluid embolisme. Keadaan ini tidak menyebabkan salur darah tersumbat secara mutlak sebaliknya reaksi anafilaksis (tindak balas abnormal terhadap antigen tertentu) yang menjadi saluran paru-paru menyempit dan akhirnya tertutup. Kadar kematian akibat masalah ini sangat tinggi dan sehingga kini cara terbaik merawatnya belum dapat dikenal pasti.
Kedua-dua punca di atas menyebabkan ibu hamil yang mengalaminya sesak nafas, tekanan darah menurun, kadar nadi meningkat secara drastik, pucat, tidak bermaya dan tidak sedarkan diri. Atas alasan ini, individu atau suami yang mengiringi ibu hamil semasa bersalin perlu prihatin dan memantau keadaannya semasa dan selepas bersalin.
Jika hal ini berlaku, segeralah dimaklumkan kepada jururawat dan doktor yang bertugas agar rawatan segera dapat diberikan. Akan tetapi, sekiranya masalah ini berlaku di rumah, pastikan ibu tersebut diberikan bantuan pernafasan sementara menunggu bantuan dari hospital tiba.
Bagi ibu hamil, faktor seperti umur, bilangan kehamilan yang banyak, kandungan kembar dan kehadiran penyakit-penyakit lain seperti penyakit jantung akan menambah risiko. Kaedah merawat penyakit ini bergantung pada puncanya. Jika disebabkan oleh gumpalan darah beku, maka rawatan yang akan diberikan ialah dengan cara fibrinolysis iaitu menghancurkan gumpalan darah beku tersebut. Tahap kejayaan penggunaan kaedah ini amat tinggi tetapi perlu disusuli dengan ubat untuk mencairkan darah bagi mengelakkan masalah berulang. Sekiranya disebabkan air ketuban, ibu tersebut akan diberikan bantuan pernafasan ventilasi dan ubat untuk menyokong tekanan darah optimum.
Info
Berdasarkan Laporan Tabung kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pada tahun 2009, kira-kira 500,000 wanita di seluruh dunia maut akibat komplikasi mengandung dan melahirkan anak setiap tahun. Di Malaysia, risiko kematian ibu ialah satu dalam 560. Angka ini nyata lebih baik berbanding kebanyakan negara Asia Tenggara yang lain. Misalnya di Indonesia, kematian ibu adalah datu dalam 97, di Filipina, satu dalam 140 manakala di Thailand, satu dalam 500. Semua ini hasil kemudahan kesihatan negara ini yang semaikn baik dari masa ke semasa.
11 May 2013
Tip Meneran Ketika Bersalin
Meneran? Pasti yang terbayang di benak Ibu hamil adalah perjuangan
hidup dan mati di bilik bersalin. Bagaimanapun meneran ketika proses melahirkan
bayi tidaklah seseram yang digambarkan terutama jika ibu yang bersalin
menguasai cara meneran yang baik dan betul.
Waktu Mula Meneran
Sebaiknya dilakukan setelah pembukaan lengkap berlaku (10cm) iaitu
ketika kepala janin sudahpun turun ke dasar pinggul. Ia ditandakan dengan anus
(dubur) mula terbuka sewaktu kontraksi.
Posisi Meneran Yang Tepat
Berbaringlah dengan lutut berlipat dan kedua kaki dibuka.Kedua
tangan memeluk paha dengan cara melingkarkannya ke bawah paha. Meneran juga
dapat dilakukan dengan berbaring mengiring sama ada sebelah kiri ataupun kanan.
Cara Meneran
Sebaiknya dilakukan apabila kontraksi sampai ke puncaknya. Waktu ini
doktor akan meminta anda untuk menarik nafas panjang iaitu menahannya dengan
mulut tertutup kemudian meneran ke arah bawah dengan memastikan punggung tetap
berada di atas tempat tidur (katil). Ketika meneran dagu diletakkan di dada
supaya anda dapat melihat perut anda.
Bagaimanapun ramai juga ibu hamil yang melakukan kesilapan ketika
meneran. Ada yang meneran sebelum proses pembukaan sempurna. Ia akan
menyebabkan berlakunya Edema (pembengkakan di mulut rahim) yang seterusnya akan
menyukarkan proses bersalin selanjutnya.
Di samping itu ada juga ibu hamil yang silap meneran dengan meneran
‘di leher’ dan bukannya di perut. Mata akan nampak merah setelah bersalin dan
kadang-kadang disertai dengan kebutaan sementara kerana pembuluh darah kecil di
mata pecah akibat teranan di bahagian leher.
Diharap dengan sedikit tip ini para ibu hamil dapat mempraktikkannya
dirumah agar ketika bersalin nanti ibu hamil sudahpun bersedia
sepenuhnya….selamat bersalin.
07 May 2013
Bersalin Normal
Apabila anda tiba di hospital dalamkeadaan fasa pelahiran aktif, jururawat akan memasang alat ECG untuk memantau degupan jantung bayi sekarang tiba saat untuk dilahirkan. Apabila serviks anda sudah terbuka sebanyak 10cm dan kepala bayi juga mula kelihatan, proses pelahiran bermula. Proses bersalin begini bergantung pada kudrat anda sendiri untuk meneran keluar bayi dengan bantuan doktor. Peralatan seperti forsep atau vakum mungkin digunakan bagi membantu menarik bayi keluar jika si ibu sudah keletihan dan tidak mampu untuk meneran bayi.
Induksi
Kaedah ini digunakan jika anda mengalami masalah
pre-eklampsia, kelahiran kembar, proses bersalin terlalu perlahan, ketuban
pecah terlalu awal yang mendedahkan bayi kepada jangkitan atau bayi terlalu
besar.
Episiotomi
Jika laluan keluar bayi agak sempit, doktor akan
membuat insisi pada perineum bagi membuka laluan lebih luas. Bahagian yang akan
dipotong biasanya dibius terlebih dahulu, kecuali jika ibu sudah diberikan
epidural. Episiotomi dapat mengelakkan koyakan tidak seragam pda faraj yang
lebih sukar untuk dipulihkan.
Kaedah ini digunakan jika perimeum meregang terlalu
besar untuk bukaan faraj, si ibu tidak dapat mengawal teranan, bayi lemas atau
jika ibu perlu bersalin menggunakan forsep atau vakum.
Guntingan kecil di bahagian perineum iaitu kulit di
antara faraj dan anus akan dilakukan jika berlaku komplikasi seperti saiz bayi
besar. Dan kebanyakkan ibu yang pertama kali melahirkan perlu menjalani
episiotomi. Kesan daripada guntingan ini anda mungkin mengalami ketidakselesaan
untuk tempoh beberapa minggu sehinggalah luka jahitan benar-benar sembuh. Sakit
akan lebih terasa jika luka dijangkiti kuman. Masalah sembelit turut
menyukarkan keadaan apabila anda ingin membuang air besar. Jika kesakitan
berlarutan, segera dapatkan rawatan doktor.
Forsep
Alat ini digunakan untukmenarik keluar kepala bayi
terutamanya jika anda sudah keletihan untuk terus meneran. Sekiranya bayi
menunjukkan tanda-tanda murung, forsep akan digunakan. Sebelum alat ini
digunakan, anda perlu dibius.Setelah itu, alat tersebut akan diletakkan di
kepala bayi dan perlahan-lahan menariknya keluar. Anda boleh membantu
memudahkan proses ini dengan meneran.
Vakum
Alat bantuan kelahiran yang turut dikenali sebagai
ventouse ini juga popular. Ia melibatkan proses menyedut kepala bayi
menggunakan sejenis cawan logam yang bersambung pada sebuah vakum. Seharusnya
alat ini digunakan sebelum serviks sepenuhnya terbuka sedangkan forsep hanya
boleh digunakan setelah serviks terbuka 10cm. Kedua-dua alat bantuan ini boleh
menyebabkan kepala bayi membengkak dan lebam tetapi iaakan hilang dalam tempoh
yang singkat dan jarang mendatangkan mudarat kepada bayi.
Subscribe to:
Posts (Atom)









