Ibu dalam pantang bersalin perlu mempraktikkan rawatan berbengkung, berbarut, atau boleh juga mengenakan strap on binder. Pemakaiannya boleh dimulakan pada hari yang berikutnya selepas bersalin. Sapu minyak urut herba di bahagian perut, di bahagian pinggang serta pinggul sebelum berbengkung.
Selepas bersalin, Ibu-ibu boleh segera memakai bengkung ketika berada di dalam wad hospital. Selalunya bengkung yang sesuai diguakan ketika itu adalah bengkung moden (strap on binder). Ianya bagus untuk mengelakkan perut daripada dimasukki angin dan juga untuk mengurangkan rasa sakit ketika berlakunya proses pengecutan rahim selepas bersalin. Bengkung moden sangat sesuai dipakai ketika di dalam wad kerana ianya sangat mudah dipakai mahupun dibuka. Ini memudahkan ibu-ibu untuk ke tandas serta memudahkan jururawat atau doktor untuk memeriksa keadaan ibu kelak sepanjang berada di hospital.
Ketika di rumah, bengkung jenis ikat lebih digemari untuk digunakan kerana kesannya yang lebih optimum berbanding bengkung moden. Amalan berbengkung boleh dilakukan selama dua minggu hingga hari ke 44. Dan boleh juga dilanjutkan penggunaannya sehingga 100 hari. Ini terpulang kepada ibu-ibu untuk mengamalkannya.
Tujuan berbengkung adalah untuk membantu mempercepatkan proses mengecutkan rahim dan memecahkan angin lendir bertoksik. Selain itu, ketulan darah nifas dapat dikeluarkan dengan sempurna. Dengan cara ini, ibu akan dapat mengelakkan daripada terasa sengal-sengal tubuh, ketegangan pada bahagian pelvis dan ngilu atau sengal apabila berjimak selepas tempoh berpantang kelak.
Tanpa rawatan ini, ibu-ibu mudah mengalami keadaan perut buncit dan menggeleber serta berasa sakit atau lenguh di bahagian pinggang atau pinggul sehingga boleh melarat ke bahagian betis dan tumit. Jikalau dibiarkan dengan hanya rawatan moden, iaitu diberi suntikan dan ubat penahan sakit, lazimnya penyakit tersebut akan berulang kembali pada hari kemudian.
Ini mudah dijelaskan kerana suntikan dan ubat penahan sakit hanya menahan atau melegakan rasa sakit buat seketika atau merawat tanda-tanda penyakit, dan bukan merawat punca yang sebenarnya. Sebaliknya penyakit yang sedia ada itu akan melarat ke bahagian lutut serta pinggang, yang menandakan keadaan sudah menjadi lebih serius. Keadaan ini mengganggu pergerakan fizikal dan seterusnya mempercepat penuaan sebelum masa. Penyebab penyakit ini berpunca daripada ketegangan dan pembengkakan di bahagian urat peranak, ari-ari dan celahan paha.
No comments:
Post a Comment