Diet yang
sihat dan seimbang seharusnya menjadi amalan ibu hamil di sepanjang tempoh
kehamilan. Ini adalah kerana setiap makanan yang diambil oleh ibu juga
merupakan makanan untuk tumbesaran dan perkembangan bayi dalam kandungan. Pada
trimester kedua, perkembangan janin akan semakin cepat membesar, ini membuatkan
ibu hamil perlu membekalkan gizi yang seimbang bagi menampung perkembangan
tersebut.
Ibu hamil
yang tidak mengamalkan pemakanan yang sihat selalunya akan berdepan dengan
pelbagai masalah kesihatan. Ia juga akan melibatkan bayi anda secara langsung.
Bagi ibu, anda mungkin mengalami anemia serta kurang khasiat makanan. Manakala
kandungan anda pula, mungkin akan mengalami masalah kurang berat badan, lahir
sebelum masa (pramatang) dan lebih serius lagi berkemungkinan berlakunya
keguguran.
Ibu hamil
seharusnya mengerti bahawa bayi bergantung pada ibunya untuk menerima pelbagai
nutrien penting bagi menjamin perkembangan yang sihat. Janin akan menyerap
setiap khasiat yang diperlukannya melalui apa yang ibunya makan. Oleh itu,
pengamalan diet yang sihat dan seimbang serta lengkap adalah penting. Amalan
pemakanan sebegini mampu memberi perkembangan bayi yang sihat serta mempunyai
berat badan yang normal.
Kekurangan nutrien, zat dan mineral yang diperlukan oleh bayi sepanjang berada dalam kandungan ibu boleh menjejaskan tumbersarannya. Untuk melengkapkan pemakanan yang seimbang ibu hamil seharusnya mengambil aneka jenis diet yang lengkap seperti karbohidrat, lemak, mineral vitamin, kalsium, protein, dan sebagainya.
Di
samping itu, beberapa perkara yang boleh diamalkan adalah:
·
Tambah
pengambilan kalori harian. Disarankan antara 200 - 300 kalori.
·
Makan
sedikit tetapi makan lebih kerap (5 - 6 kali sehari).
·
Makan makanan
dari sumber protein dan karbohidrat.
·
Amalkan
pengambilan vitamin dan mineral seperti zat besi.
Buahan
Dan Sayuran
Buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar adalah sumber vitamin dan mineral yang baik untuk ibu hamil. Namun, pastikan ia dicuci sebersihnya sebelum dimakan. Sayur-sayuran yang berdaun amat baik sebagai diet untuk ibu hamil, kerana ia rendah lemak serta kaya dengan mineral, vitamin dan asid folik. Disamping itu, amalan memakan buah-buahan yang kaya serat amat penting untuk ibu hamil menghindari masalah sembelit ketika hamil.
Makanan
Tambahan
Supplemen sangat mudah diamalkan di samping dapat membekalkan nutrien yang diperlukan mengikut sukatan yang telah ditetapkan. Suplemen merupakan kaedah alternatif untuk ibu hamil bagi mendapatkan nutrien penting seperti kalsium, vitamin C, serat, asid folik, ferum, zat besi, asid lemak dan sebagainya. Pengambilan suplemen mampu melengkapkan nutrien yang diperlukan oleh ibu hamil.
Asid
folik sangat penting sebagai zat makanan tambahan bagi bayi dalam kandungan
pada awal kehamilan iaitu pada trimester yang pertama. Manakala ferum
diperlukan sebagai zat tambahan bagi ibu yang mengidap masalah kekurangan darah
semasa kehamilan. Zat makanan tambahan amat penting bagi ibu dan bayi. Namum
begitu, sekiranya ibu hamil mengamalkan pemakanan seimbang dan lengkap dari
pelbagai jenis makanan segar, maka zat makanan tambahan tidak lagi diperlukan.
Ini adalah kerana makanan yang telah diambil adalah sudah mencukupi untuk
membekalkan zat, nutrien dan mineral yang diperlukan oleh ibu dan bayi.
Snek Yang Sihat
Sepanjang
kehamilan, ibu hamil lebih mudah berasa lapar dari kebiasaan. Oleh itu,
makanlah apabila berasa lapar. Selain mengambil makanan yang agak berat, ibu
hamil juga boleh mengamalkan makan snek yang sihat seperti bijirin sarapan
bersama susu, buah-buahan kering, sandwich, salad, yogurt dan pelbagai lagi.
Jangan amalkan pengambilan snek yang mengandungi gula dan lemak yang tinggi
seperti coklat, kek, ais krim, biskut, puding, kerepek kentang serta air berkarbonat.
Makanan yang tidak sihat akan mengakibatkan berat badan bertambah disamping
berlakunya kerosakan gigi. Bagi mengelakkan berlakunya peningkatan kolesterol
dalam badan, cuba elakkan pengambilan makanan yang mengandungi lemak tepu yang
tinggi.
Tip
Pemakanan (Sediakan Bekalan)
Mudah dan kerap berasa lapar adalah perkara normal
buat ibu hamil. Jadi, anda disarankan untuk makan lebih kerap tetapi dalam
kuantiti yang sedikit bagi setiap pengambilan. Untuk memastikan ibu hamil
sentiasa mempunyai bekalan makanan, jom cuba cara ini :
Dalam Laci Meja Kerja
(Biskut atau roti yang tinggi kandungan serat,
buah-buahan kering, kekacang, susu ibu hamil)
Dalam Beg Tangan
(Biskut berserat tinggi,kismis, kacang, buah-buahan
segar, snek sayuran, sekotak susu)
Dalam Peti Ais Pejabat
(Air mineral, jus tanpa gula, yogurt asli tanpa
gula, keju Dutch atau Swiss, buahan segar, snek sayuran, roti berserat tinggi).
No comments:
Post a Comment