Masalah
berat badan amat sensitif dalam kalangan wanita. Ramai wanita di luar sana yang
mencuba pelbagai produk pelangsing yang ditawarkan dan sanggup membelanjakan
wang yang banyak untuk masalah ini. Sudah menjadi lumrah, sebagai wanita dan
isteri, kita semua berharap agar dapat mengekalkan bentuk tubuh badan yang
menarik untuk menambat hati suami. Yang kurus nak gemuk dan yang gemuk pula nak
kurus.
Bukan tidak puas dengan apa
yang dikurniakan, tapi nak menjadi yang lebih baik. Tapi maklum sahajalah, bila
dah bersalin sekali dua, berat badan susah nak turun. Tambahan pula, bila
menyusukan anak sepenuhnya, bukan saja tak boleh mengambil ubat pelangsing sebarangan
tetapi nak berdiet berlebihan pun kurang digalakkan kerana dikhuatiri
menjejaskan pengeluaran susu atau membahayakan bayi.
Namun begitu, menurunkan
berat badan bagi ibu-ibu yang sedang menyusukan anak bukan satu perkara yang
mustahil, tetapi ia memerlukan kesabaran dan komitmen yang tinggi. Ini kerana,
proses menurunkan berat badan sewaktu menyusukan anak perlu dilakukan secara
perlahan-lahan bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada susu yang diberi
kepada bayi.
Secara asasnya, menyusukan
bayi tidak membuatkan berat badan bertambah. Malah menurut kajian, ibu-ibu yang
menyusukan anak lebih mudah menurunkan berat badan berbanding ibu-ibu yang
tidak menyusukan anak kerana menyusukan bayi menggunakan antara 200 hingga 500
kalori setiap hari. Bagaimanapun perlu diingat, kita masih perlu menjaga
pemakanan.
Ada beberapa panduan yang
mungkin berguna untuk ibu-ibu yang ingin menurunkan berat badan. Paling utama
ibu tersebut perlu minum air secukupnya. Air yang mencukupi dapat melancarkan
sistem badan termasuk mengekalkan metabolisme kita pada kadar yang sepatutnya.
Seelok-eloknya hanya minum air setengah jam selepas makan. Ibu juga
dinasihatkan untuk makan apabila perut berasa lapar. Mereka juga perlu ingat
pada wasiat Rasulullah "Makan apabila lapar, berhenti sebelum
kenyang". Paling baik sekali adalah makan empat ke enam kali sehari dengan
kuantiti yang kecil. Utamakan sarapan pagi. Sarapan pagi perlu diambil dalam
masa sejam selepas bangun tidur.
Makanan yang dimakan juga
perlu dikunyah secara perlahan-lahan. Paling baik sekali jika makanan tersebut
dikunyah 44 kali untuk mengurangkan beban penghadaman. Selain itu, otak akan
menerima isyarat kekenyangan pada waktu yang tepat. Kalau makan laju sangat,
otak tidak sempat memberi isyarat yang kita dah terlebih kenyang. Kurangkan
percakapan semasa makan untuk mengelakkan tidak perasan yang kita sudah
terlebih makan.
Makanan yang diambil perlu
seimbang. Kajian menunjukkan bahawa ramai orang yang terlebih berat badan
disebabkan zat yang tidak mencukupi. Kekurangan protein akan menyebabkan badan
tidak dapat menghasilkan enzim (enzim terbina daripada asid amino) yang
mencukupi untuk mencernakan makanan. Selain itu, orang yang kekurangan protein
biasanya mempunyai nafsu makan yang sangat tinggi. Protein biasanya membuatkan
kita rasa kenyang dalam jangka masa lebih panjang. Vitamin B6 adalah zat
penting dalam metabolisme lemak. Kalau berkurangan, lemak tidak dapat dibakar
dan berkumpul secara berlebihan.
Kesimpulannya, makanan yang
diambil perlu seimbang. Kurangkan pengambilan gula dan makanan rapu. Gula
membekalkan kalori yang tiada nilai zat. Gula juga menambah potensi seseorang
diserang penyakit diabetes mellitus apabila pengambilan tidak dikawal. Manakala
makanan rapu yang mengandungi garam yang tinggi bukan sahaja menyebabkan nafsu
makan sukar dikawal bahkan dikaitkan dengan risiko penyakit hipertensi (darah
tinggi).
Banyakkan aktiviti fizikal.
Pasti ibu-ibu tidak mengalami masalah untuk memperbanyakkan aktiviti fizikal.
Walaupun tidak dapat meluangkan masa ke gimnasium atau senamrobik, ibu-ibu akan
sentiasa sibuk dengan tugasan harian. Aktiviti senaman sekurang-kurangnya 15
minit, dua kali seminggu adalah sangat digalakkan. Bagaimanapun, bagi yang
tidak dapat meluangkan masa untuk bersenam, eloklah mengambil alternatif
seperti menggunakan jalan lebih jauh untuk sampai ke satu-satu tempat dengan
berjalan, berjalan sambil menghayunkan tangan, melakukan kerja rumah, aktiviti
santai bersama anak-anak dan banyak menggunakan tangga daripada lif.
Ibu juga hendaklah sentiasa
berfikiran positif dan banyak bersabar kerana pengurangan berat badan ini
adalah lebih kurang dua kilogram sahaja dalam masa sebulan. Teruskan dengan
penyusuan kerana ada banyak lagi keistimewaan yang anda akan kecapi.
No comments:
Post a Comment