"Untuk Respon Pantas, WASAP Je Kak Engku"

019 2077 643 (Nak Tanya Soalan)
019 366 7525 (Nak Order Barang)
KEPAKARAN Kak Engku adalah membantu Mama semua untuk mendalami dan mempratikkan ilmu Kehamilan, Berpantang, Penyusuan Dan Penjagaan Bayi secara online agar Mama lebih bersedia, sentiasa ceria dan teruja sebelum dan selepas kelahiran. Di samping menyediakan khidmat nasihat berkaitan barangan keperluan berpantang dan set bersalin yang pratikal digunakan dengan harga yang Murah dan Semestinya ORI.

08 August 2014

Teknik Kurangkan Sakit Bersalin

Proses melahirkan bermula dengan kontraksi. Kontraksi yang berlaku menyebabkan anda berasa tidak selesa. Bagi mengurangkan ketidakselesaan, terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan.

TANPA BANTUAN UBAT

Berkedudukkan Tegak

Semasa kontraksi awal, sokong diri pada permukaan yang berhampiran. Contohnya dinding, kerusi atau katil hospital. Berlutut jika perlu.

Duduk Ke Hadapan

Duduk berhadapan belakang kerusi dan bersandar di atas dengan menggunakan kusyen atau bantal. Rehatkan kepala pada lengan yang disilangkan.

Melutut Ke Hadapan

Melutut dalam keadaan kaki anda terpisah dan rehat ke hadapan di atas himpunan bantal. Cuba berasa dalam keadaan seselesa mungkin.

Posisi Merangkak

Melutut dalam keadaan tangan dan lutut di lantai. Condongkan pelvik anda ke hadapan dan ke belakang. Namun, jangan lengkungkan badan.

Meniup

Jangan meneran jika jururawat mendapati rahim anda belum terbuka sepenuhnya. Sebut ‘huf..huf..’ seperti meniup untuk mengurangkan rasa sakit kontraksi. Berlutut dan bersandar ke hadapan, rehatkan kepala atas tangan dan arahkan punggung ke atas.


MENGGUNAKAN UBATAN

Suntikan Narkotik (Pethidine)

Kebiasaannya suntikan ini dilakukan di bahagian punggung. Suntikan pethidine yang digabungkan bersama maxalon (ubat lawan muntah) diberi ketika tahap pertama proses bersalin. Kelebihan penggunaan suntikan ini ialah ibu boleh beristirehat ataupun tidur. Ini kerana suntikan ini merupakan sedatif dan membuat rasa mengantuk. Suntikan ini paling bagus diberi jika anda terlalu cemas. Namun, anda boleh mengalami kesan sampingan jika menerima suntikan satu hingga empat jam sebelum melahirkan. Anda dan bayi akan mengantuk dan mengalami masalah pernafasan. Akibat terlalu mengantuk juga, anda mungkin gagal meneran dengan baik. Walau bagaimanapun, jika bayi mengantuk selepas dikeluarkan, antidot narcan akan digunakan untuk mengatasinya.

Kesan Sampingan:
Mengantuk, pening, loya dan muntah. Kesan kepada bayi

Kelebihan:
Dapat mengurangkan lebih banyak kesakitan berbanding penggunaan entonox.

Kekurangan:
Tidak dapat menghilangkan kesakitan 100 peratus.


Epidural

Suntikan yang dilakukan di bahagian tulang belakang ini baik jika anda tidak tahan sakit, melahirkan anak pertama, proses kelahiran mengambil masa yang panjang, mengalami tekanan darah tinggi dan pernah melahirkan kembar secara pembedahan. Suntikan ini diberi oleh doktor pakar bius setelah kontraksi yang dialami semakin kuat. Dengan menggunakannya, anda dapa bertenang dan tidak stress. Namun, akibat terlalu selesa, anda mungkin sukar untuk meneran dengan baik dan boleh meningkatkan risiko penggunaan vakum dan forsep untuk mengeluarkan bayi.

Kesan Sampingan:
Kebas di bahagian kaki akan hilang apabila dos ubat epidural dikurangkan. Anda juga mungkin mengalami kesukaran membuang air disebabkan kesan ubat epidural pada pundi kencing. Jangan khuatir kerana tiub kencing akan dimasukkan untuk mengatasi masalah ini. Tekanan darah juga boleh menurun walaupun keadaan ini hanya sementara.

Kelebihan:
Cara terbaik dan paling berkesan untuk menghilangkan kesakitan semasa bersalin. Amat disarankan kepada ibu bersalin buat kali pertama atau golongan yang mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi.

Kekurangan:
Kaedah paling berisiko tinggi kerana prosedur yang dilakukan adalah kompleks dan rumit. Turut melibatkan kos yang tinggi terutamanya di hospital swasta kerana alat yang digunakan serta khidmat kepakaran doktor bius yang melakukannya.


Entonox

Kaedah menahan sakit ini menggunakan topeng yang akan disalurkan dengan campuran gas nitrius oksida dan oksigen. Anda perlu menghidu gas menggunakan topeng ketika awal hingga lewat tahap pertama proses bersalin. Jika anda tidak menyedut dengan betul, rasa sakit tidak dapat dihilangkan. Sebetulnya topeng mesti dipekap ke bahagian muka sehingga tiada ruang rongga. Hidu gas sedalam-dalamnya dan kemudian tarik dan hembus seperti biasa. Jika dilakukan dengan betul kesannya dapat dirasai selepas 15 saat. Setiap kali kontraksi berlaku, lakukan langkah yang sama. Oleh kerana kesannya akan hilang dalam tempoh seminit selepas dihidu, jadi anda perlu kerap menghidu topeng entonox.

Kesan Sampingan:
Masalah loya, pening dan mengantuk

Kelebihan:
Kosnya murah, senang digunakan serta terbukti selamat kepada ibu dan bayi dalam kandungan.

Kekurangan:
Cara paling kurang efektif berbanding yang lain kerana proses bersalin adalah amat sakit.


Paling Efektif?

Sesungguhnya penggunaan epidural adalah paling efektif berbanding dua jenis ubat penahan sakit yang lain. Kenyataan ini adalah bersandarkan kepada pengalaman doktor, kajian ke atas ibu yang menerimanya dan kajian keberkesanannya di kebanyakan hospital di seluruh dunia.

Epidural telah terbukti berguna bukan sahaja mengurangkan kesakitan dan tekanan pada anda malah ia juga baik untuk kandungan jika dilihat daripada segi kesan positif fisiologi uri dan bayi di dalam kandungan.

Sementara itu, epidural sering disalahertikan oleh kebanyakan orang. Ia kerap kali dianggap sebagai penyebab sakit belakang berpanjangan selepas kelahiran dan menjadi punca penggunaan alat bantuan kelahiran serta kelahiran caesarean. Semuanya tidak benar! Kajian antarabangsa telah membuktikan bahawa pengambilan epidural tidak mempunyai kaitan dengan insiden-insiden sebegini. Oleh itu, pengambilan epidural amat digalakkan untuk mengurangkan kesakitan ketika bersalin.


No comments:

Post a Comment