"Untuk Respon Pantas, WASAP Je Kak Engku"

019 2077 643 (Nak Tanya Soalan)
019 366 7525 (Nak Order Barang)
KEPAKARAN Kak Engku adalah membantu Mama semua untuk mendalami dan mempratikkan ilmu Kehamilan, Berpantang, Penyusuan Dan Penjagaan Bayi secara online agar Mama lebih bersedia, sentiasa ceria dan teruja sebelum dan selepas kelahiran. Di samping menyediakan khidmat nasihat berkaitan barangan keperluan berpantang dan set bersalin yang pratikal digunakan dengan harga yang Murah dan Semestinya ORI.

08 June 2014

Posisi Bersalin

Memasuki minggu 32, anda sudah boleh memilih dan mempraktikkan posisi bersalin. Latihan perlu dibuat terutama bagi ibu yang hamil anak sulung. Mengenali posisi ini dapat membantu anda terutama apabila tiba masa untuk bersalin. Tidak akan timbul masalah "tak tahu" dan "tak bersedia". Yang penting, persediaan awal ini boleh mengurangkan rasa gementar bila berada di bilik bersalin.

Lazimnya, kontraksi boleh berlaku dan berlanjutan sehingga 7 hingga 8 jam. Ada juga yang mengalami masalah tersebut sehingga setengah hari atau lebih. Oleh itu, anda tidak hanya perlu berlatih dan memilih posisi bersalin, tetapi anda juga perlu tahu bagaimana caranya untuk memberi keselesaan diri ketika mengalami kontraksi.


Posisi Berehat

Kedudukan Tegak. Pada awal kontraksi, anda boleh mengurangkan rasa tidak selesa itu degan menyokong diri anda pada permukaan berhampiran. Misalnya pada dinding, kerusi atau meja. Jika perlu, anda boleh berlutut sambil kepala disandarkan pada permukaan pilihan anda.

Duduk Bertentangan. Kaedah ini hanya menggunakan kerusi. Pastikan kerusi yang anda pilih mempunyai penyandar. Letakkan bantal di atas kerusi dan juga pada bahagian atas kayu penyandar. Duduk berpaling ke arah bertentangan kerusi.

Bantuan. Anda boleh bersandar pada pasangan. Paut bahu suami erat-erat dalam kedudukan 10 darjah condong. Pada masa yang sama, suami boleh mengurut belakang pinggang anda dengan perlahan.

Melutut Ke Hadapan. Melutut dengan keadaan kaki dibuka sedikit. Kepala, tangan dan badan diletakkan di atas himpunan bantal atau kusyen. Cuba berada dalam keadaan tegak yang mungkin agar sakit kontraksi dapat dikurangkan.

Merangkak. Posisi ini akan menyuruh anda berkeadaan seperti merangkak. Kaki, lutut dan tangan perlu mencecah lantai. Kemudian, goyangkan anggota bahagian atas yang tidak mencecah lantai ke hadapan dan belakang.


Bantu Diri Sendiri

Terus bergerak antara kontraksi. Selain dapat mengendalikan kesakitan dengan baik, cara ini dapat mengurangkan rasa gemuruh menanti kelahiran.

Cuba berdiri setegak mungkin supaya kepala bayi berada tetap di atas serviks. Keadaan ini menjadikan kontraksi lebih kuat dan berkesan.

Tumpuan perlu juga diberikan kepada cara pernafasan. Caranya adalah dengan bernafas secara tetap. Oksigen masuk dari mulut dan lepaskannya melalui mulut. Sekiranya kontraksi berada pada tahap kemuncak, cuba bernafas menggunakan mulut sahaja. Tetapi jangan lakukan terlalu lama, kerana ini boleh membuat anda sedikit pening.

Latihlah diri anda supaya tidak malu. Ketika berada di dalam bilik bersalin, anda boleh menyanyi, mengerang dan mengeluh kerana semua itu dapat memberi kelegaan kepada anda. Disamping itu banyakkan berzikir kepada Allah dan berdoalah agar dipermudahan proses kelahiran tersebut.

Pada usia kandungan ini, anda perlu tahu kemungkinan-kemungkinan yang anda bakal rasai sebelum bersalin.


Posisi Bersalin

Latihan mengurangkan sakit ketika kontraksi kemudian diikuti dengan latihan posisi bersalin. Di Malaysia, ramai di kalangan ibu hamil melalui kaedah bersalin secara konvensional iaitu berbaring pada katil khas dan kaki dibuka luas. Namum terdapat juga beberapa kaedah yang boleh dicuba. Walaupun ia nampak janggal tetapi sesetengah negara mempraktikkan posisi tersebut.


Duduk Tegak

Posisi ini adalah posisi popular dikalangan ibu hamil. Ia mudah. Anda hanya perlu duduk dengan kecondongan mengikut kehendak anda. Untuk lebih selesa, kecondongan itu diampu dengan beberapa biji bantal pada bahagian belakang badan. Kaki dibuka luas dan dagu dirapatkan pada dada.

Tangan pegang pada lipatan lutut sambil meneran. Ada sebilangan hospital, ibu hamil diberi katil khas. Katil ini mempunyai tiang keluli untuk ditolak menggunakan kaki. Pada tiang keluli itu juga, terdapat tali yang boleh dipegang dan ditarik. Jadi anda hanya perlu berbaring dan meletakkan kaki dalam keadaan terbuka ke atas rod keluli tersebut. Tangan pula berpaut pada tali. Apabila sampai masanya, anda dapat menyalurkan sepenuh tenaga untuk meneran. Kuasa tendangan kaki dan tarikan pada tangan ini dapat membantu ibu mengeluarkan anak dengan segera. Kaedah ini sangat elok untuk ibu hamil yang masih tidak ada pengalaman bersalin.


Mencangkung

Posisi ini adalah yang terbaik untuk kelahiran. Hal ini kerana, bukaan pelviks lebih lebar dan tarikan graviti dapat memudahkan anak keluar. Mungkin kaedah ini meletihkan. Tetapi jika membuat banyak latihan lebih awal, anda akan biasa yang rasa lebih mudah. Sekiranya anda merasakan tidak boleh mencangkung sendirian tanpa dibantu, ajak suami berlatih bersama anda. Caranya adalah dengan posisi suami duduk pada kerusi dan isteri mencangkung membelakangi iaitu dicelah bukaan kaki suami. Letakkan tangan pada paha suami dan mula meneran.


Melutut

Posisi ini mungkin tidak seletih mencangkung. Tetapi anda perlukan 2 orang teman untuk melakukan kaedah ini. 2 orang pembantu diperlukan. Seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri. Pada posisi ini, anda perlu melutut sambil kaki dibuka dengan luas. Tangan anda berpaut pada bahu pembantu di kiri dan kanan. Sebelum meneran, pastikan belakang anda berada dalam keadaan tegak.


Wheel Chair

Salah satu kaedah terkini proses kelahiran adalah menggunakan wheel chair. Sesetengah hospital swasta di negara ini sudah pun menggunakan kaedah tersebut. Penggunaan wheel chair ini bukan sahaja memudahkan ibu bersalin, tetapi dapat mengurangkan rasa sakit ketika berlaku kontraksi.


Dalam Air

Kaedah ini paling jarang atau tidak pernah langsung dilakukan di sini. Kaedah ini dikatakan paling ideal kerana ketika proses kelahiran, ibu tetap rasa selesa kerana hampir separuh badan ibu hamil ini ditenggelami air. Biasanya kaedah tersebut perlu dilakukan di dalam tab mandi atau apa saja alat yang boleh menakung air dan cukup ruang untuk ibu masuk ke dalamnya. Proses kelahiran ini berlaku dalam keadaan posisi ibu duduk tegak. Anda tidak perlu khuatir bayi yang dilahirkan akan lemas. Hal ini kerana, apabila proses kelahiran berjaya bayi dengan segera di bawa keluar dari dalam air.


Pembedahan

Proses ini tidak perlukan latihan. tetapi anda perlu bersedia dari sudut mental dan wang. Kaedah ini selalunya dilakukan akibat berlakunya komplikasi ketika hendak melahirkan atau posisi bayi dalam kandungan tidak normal. Misalnya kedudukan bayi songsang atau pintu rahim sukar membuka.

Jadi, untuk mengelakkan sebarang masalah pada ibu dan anak berlaku, pembedahan terpaksa dilakukan. Walau bagaimanapun, ada juga ibu hamil yang lebih suka memilih kaedah ini walaupun tidak mengalami sebarang komplikasi. Alasannya kerana takut untuk menempuhi ke semua posisi atau kaedah seperti yang diberikan di atas.

Walau apa pun pilihan anda, perkara utama yang perlu anda latih dan latih adalah persediaan minda anda untuk menghadapi situasi ketika bersalin. Walau sebanyak manapun latihan yang dilakukan, jika tidak ada keyakinan diri, sukar untuk anda menempuh pengalaman bersalin dengan cara menyeronokkan.


No comments:

Post a Comment