Kasihannya melihat si kecil anda tersedu-sedu.
Hik....hik....hik... bunyi sedu itu sentiasa dialami oleh si kecil anda. Tidak
perlu risau. Adalah perkara normal apabila bayi kerap tersedu terutama pada
bulan-bulan terawal selepas kelahirannya. Ia adalah perkara biasa malah bayi
boleh tersedu setiap kali terutamanya selepas menyusu.
Bila bayi tersedu, biasanya ia berlaku untuk tempoh
beberapa minit sebelum hilang dengan sendirinya. Keadaan ini akan semakin
berkurangan seiring dengan pertambahan usia bayi. Keadaan ini berlaku kerana
kontraksi yang berterusan tanpa dapat dikawal dari bahagian diafragma (otot
yang membantu untuk bernafas) yang menyebabkan pita suara di bahagian
kerongkong terganggu kerana proses kemasukan udara ke dalam paru-paru tidak
berjalan dengan normal seperti biasanya.
Sebenarnya, tidak banyak bukti yang menunjukkan
penyebab utama gejala tersedu ini berlaku. Namun, tahukah anda bahawa bayi
sebenarnya sudah mula tersedu sejak dari dalam rahim ibunya lagi sebagai salah
satu proses untuk membantu sistem pernafasannya.
Semua bayi akan tersedu. Gejala sedu yang dialami
bayi tidak berbahaya dan tidak menimbulkan kesakitan padanya. Dalam tempoh
beberapa minit ia akan hilang sendirinya. Anda masih boleh memberi bayi makan
atau minum dalam keadaan dia tersedu kerana gejala ini tidak akan membuat si
kecil tercekik.
Tiada sebarang ubat untuk mengatasi simptom ini
kerana ia bukanlah penyakit. Namun anda boleh cuba beberapa tip yang membantu
mengurangkan angin dari masuk ke tubuh si kecil bagi mengurangkan gejala
sedunya itu.
Sewaktu sedu, anda boleh cuba memberi si kecil minum
sedikit air suam. Atau anda boleh dukung bayi menegak dengan menyandarkannya
pada dada anda sambil menepuk-nepuk lembut punggungnya seperti mahu membuatnya
sendawa.
Selain itu, cuba perhatikan puting susu yang
digunakan oleh bayi. Puting yang tidak sesuai boleh menyebabkan banyak udara
masuk ke dalam perut bayi sewaktu menghisap puting tersebut.
Hanya satu perkara perlu anda perhatikan. Jika si
kecil anda terlalu kerap sedu yang berlaku untuk waktu yang agak lama dan tidak
berubah hingga usianya melepasi setahun malah turut diiringi dengan gejala lain
seperti sering batuk dan muntah, anda perlu membawanya berjumpa doktor kerana
dikhuatiri ia ada kaitan dengan masalah refluks gastroesofagal yang menjadi
penyebab kedaan tersebut.
No comments:
Post a Comment