Bukan mudah menyuruh anak terutamanya yang masih kecil melakukan kerja
rumah. Ini kerana mereka masih belum memahami soal tanggungjawab
terhadap keluarga.
Menurut pakar kanak-kanak, kerja rumah sangat
baik dilakukan oleh kanak-kanak kerana ia adalah langkah pendekatan
kasih sayang secara fizikal dan emosi antara seorang anak dengan ibu
atau bapanya. Justeru, kanak-kanak seharusnya diberi peluang melakukan
sesuatu bagi membuktikan peranan mereka diperlukan. Bagi ibu-ibu yang
ingin melatih anak mereka melakukan kerja rumah, ikuti beberapa tip
berikut:
Jangan Mengulangi Kerja Anak
Si kecil baru sahaja
selesai menyapu lantai. Namun lantai kelihatan masih kotor. Jika anda
ingin mengulangi kerja tersebut, pastikan dia tidak mengetahuinya. Ini
kerana dia mungkin berkecil hati dan menganggap apa yang dilakukannya
itu tidak dihargai. Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas
usahanya itu, tidak salah jika anda memberikan sedikit pujian meskipun
hasilnya tidak seperti yang diharapkan.
Lakukan Bersama-sama
Jika
anda meminta si kecil membersihkan kamarnya, pastikan anda turut sama
melakukannya. Perlu diingat, jangan anggap aktiviti membersihkan bilik
tidur sebagai hukuman kepada si kecil sebaliknya manfaatkan kegiatan ini
sebagai waktu berkualiti anda bersamanya.
Berikan Tugas Bersesuaian Mengikut Usia
Menetapkan
satu hari khusus untuk membersihkan rumah sering kali dilakukan oleh
kebanyakkan ibu. Bagaimanapun jangan memaksa anak-anak untuk
melakukannya sehari suntuk. Ini kerana mereka masih mempunyai keinginan
yang besar untuk bermain. Tambahan pula, konsentrasi mereka untuk
melakukan tugas tersebut biasanya tidak bertahan lama. Langkah terbaik
ialah melakukan pembahagian tugas dengan tempoh masa yang bersesuaian
dengan kudrat dan usia si kecil.
Elakkan Memberi Upah
Tidak
salah memberikan penghargaan kepada si kecil sekiranya mereka mahu
melakukan sesuatu. Pun begitu, jangan sekali-kali mengaburi mata mereka
dengan berjanji untuk memberikan upah dalam bentuk wang ringgit. Katakan
kepada mereka bahawa aktiviti membersihkan rumah bukan satu paksaan
tetapi ia merupakan satu tanggungjawab setiap ahli keluaga.
No comments:
Post a Comment