Kanak-kanak yang berlainan usia memerlukan jumlah tenaga dan nutrien
yang berbeza untuk menyokong pertumbuhan fizikal dan pertumbuhan mental
mereka. Nutrien berlainan mempunyai fungsi yang berbeza untuk menyokong
pertumbuhan. Tiada satupun makanan yang dengan sendirinya dapat
membekalkan segala nutrien yang diperlukan anak-anak anda. Oleh itu,
anda perlu sajikan pelbagai jenis makanan dalam jumlah sederhana, dengan
menggabungkan dan mengimbangkan makanan daripada 5 kumpulan makanan
yang berikut setiap hari.
Bijirin Dan Produknya
~ Sumber
tenaga, serat makanan, vitamin dan zat galian. Serat makanan membantu
melawaskan perut dan menjamin kesihatan sistem penghadaman.
~ Sumber : Beras, gandum, oat, barli dan produknya seperti m, roti, bijirin sarapan dan biskut.
~
Petua : Pilih produk bijirin penuh ( seperti roti mil penuh, beras
perang) kerana kandungan serat, vitamin dan zat galiannya lebih tinggi
daripada produk bijirin yang diproses (seperti roti putih, beras putih).
Sayur-Sayuran
~ Kaya dengan serat, fitokimia, vitamin dan zat galian.
~
Sumber : Sayuran berdaun hijau (bayam), sayuran berakar (lobak merah),
sayuran berbentuk buah (tomato), sayuran cruciferous (kubis) dan sayuran
kekacang (kacang panjang).
~ Petua : Sayur-sayuran yang ditumis
dengan sedikit minyak bukan sahaja melazatkan makanan, tetapi juga
mengurangkan kehilangan nutrien.
Buah-Buahan
~ Kaya dengan vitamin dan fitokimia untuk mengekalkan kesihatan.
~ Sumber : Betik, jambu batu, pisang, tembikai, epal, oren dan pear.
~
Petua : Buah-buahan yang berlainan warna mengandungi nutrien yang
berbeza. Jadi, galakkan si manja anda makan buah-buahan beraneka warna
setiap hari.
Ikan, Daging, Ayam, Telur dan Kekacang
~ Kaya dengan protein, yang membantu membina dan juga membaiki otot dan tisu.
~
Sumber : Ikan, ayam, itik, daging lembu dan kambing, telur, pelbagai
jenis kacang dan kekacang dan produknya seperti tauhu, taukua, fucuk.
~
Petua : Kombinasi protein haiwan (daging, ikan, ayam, itik dan telur)
dan tumbuhan (kekacang, kacang pis) dapat membekalkan protein yang
diperlukan oleh anak-anak anda.
Susu dan Produk Tenusu
~ Sumber penting protein dan kalsium. Kalsium membantu membina tulang dan gigi yang kuat.
~ Sumber : Susu, keju dan yogurt.
~
Petua : Susu pekat manis tidak dianggap sebagai produk tenusu dan nilai
pemakanannya juga rendah. Jika anda mahu menambahkan susu ke dalam
bijirin sarapan atau minuman malt si manja, gunakan susu biasa atau susu
ibu.
Minyak dan Lemak
Minyak dan lemak tidak dianggap
tergolong dalam kumpulan makanan utama, tetapi tetap memainkan peranan
penting. Lemak dan minyak daripada makanan membekalkan tenaga, vitamin
larut lemak dan asid lemak perlu. Asid lemak perlu adalah penting untuk
tumbesaran yang sihat, terutama sekali untuk perkembangan otak
kanak-kanak kecil dan juga untuk penglihatan mata mereka. Lemak
berlebihan atau tiada lemak langsung boleh menjejaskan kesihatan
kanak-kanak yang sedang membesar. Oleh itu, gunakan lemak dan minyak
dengan sewajarnya apabila memasak makanan untuk anak-anak dan keluarga
anda.
Jadi, sekarang anda sudah ketahui apa yang patut diberikan
kepada anak-anak anda tetapi cara dan jumlah yang perlu diberikan kepada
mereka harus dititikberatkan juga.
No comments:
Post a Comment