Tempoh berpantang selepas bersalin merupakan satu masa yang sungguh
penting untuk ibu dan bayi yang baru lahir, tetapi ia satu aspek yang
kurang diberi perhatian berbanding semasa kehamilan dan semasa bersalin.
Masalah
jangkitan selepas bersalin adalah satu hal yang boleh berlaku di mana
jangkitan boleh melibatkan paru-paru, rahim, saluran kencing atau buah
pinggang, luka bersalin sama ada luka pembedahan atau koyakan pada
faraj, jangkitan pada betis / kaki dan juga jangkitan pada payudara.
Wanita
yang baru lepas bersaln lebih mudah untuk mendapat masalah kencing
kotor dan ia adalah antara penyebab sakit dan demam selepas bersalin.
Kencing kotor bermaksud jangkitan kuman pada sistem saluran kencing
termasuk buah pinggang.
Kebanyakan kencing kotor adalah jangkitan
kuman pada pundi kencing (cystitis) dan jika jangkitan ini tidak
dirawat ia boleh merebak ke buah pinggang (pyelonephritis). Bila
seseorang itu mendapat masalah ini, biasanya dia akan mengalami rasa
sakit dan pedih semasa membuang air kecil, kerap kali kencing dan
kencing yang tidak lawas.
Jika jangkitan sudah merebak ke buah
pinggang seseorang itu akan mengalami demam yang tinggi dan sakit di
bahagian belakang. Kadang kala boleh rasa loya dan muntah-muntah.
Wanita Berisiko
Secara
umumnya wanita lebih senang dijangkiti masalah kencing kotor berbanding
lelaki kerana saluran air kencing mereka lebih pendek. Manakala, wanta
hamil dan wanita yang baru lepas bersalin lebih tinggi risiko untuk
mendapat masalah ini. Lebih kurang 5% wanita selepas bersalin mengalami
masalah ini dan ia lebih tinggi sekiranya seseorang itu ada kateter
iaitu air kencing dikeluarkan melalui tiub.
Kebanyakan masalah
kencing kotor adalah disebabkan oleh kuman yang merebak dari luar
(ascending infection) dan kencing tertahan (urine retention) atau suka
menahan kencing.
Perempuan secara umumnya lebih senang untuk
terkena jangkitan ini berbanding lelaki kerana salur kencing dari pundi
kencing ke luar (uretha) perempuan lebih pendek berbanding lelaki. Bila
jaraknya pendek, kuman dari luar akan lebih senang untuk masuk ke dalam
pundi kencing dan menyebabkan jangkitan.
Biasanya, jangkitan ini
berlaku dalam kalangan ibu hamil bahkan selepas bersalin, kerana semasa
hamil, saluran kencing uretha tertekan oleh bayi yang membesar
menyebabkan kencing tertahan, dan semasa proses bersalin mungkin berlaku
kecederaan atau trauma uretha menjadikannya bengkak dan lebam.
Dalam
masa yang sama, ibu mengalami sakit pada luka bersalin / episiotomi
menyebabkan dia menahan kencing (takut pedih atau sakit apabila buang
air kecil). Jika ibu ada mengambil ubat penahan sakit melalui epidural,
ia boleh menyebabkan rangsangan saraf ke pundi kencing terganggu
seterusnya ibu tidak terasa hendak kencing.
Urinary retention ini boleh mendedahkan seseorang itu kepada masalah kencing kotor.
Risiko Pesakit
Kebanyakan
masalah kencing kotor adalah jangkitan kepada pundi kencing. Jika
jangkitan di peringkat ini tidak dirawat dengan sempurna, jangkitan
boleh merebak ke buah pinggang yan boleh menyebabkan kegagalan buah
pinggang dalam masa yang panjang.
Oleh itu wanita yang hamil dan
selepas bersalin perlu mengambil berat mengenai masalah ini. Jika
dijangkiti masalah kencing kotor segeralah mendapatkan rawatan agar
tidak merebak lebih teruk.
Masalah jangkitan kencing kotor adalah
masalah jangkitan kuman terutamanya bakteria jenis Escherichia coli.
Jadi rawatannya adalah dengan mengambl antibiotik untuk membunuh kuman
tersebut.
Dalam masa yang sama, ubatan seperti ubat penahan
sakit, ubat untuk melawaskan kencing boleh diambil. Tidak kurang penting
juga seseorang itu mesti minum banyak air.
Jika seseorang itu
kerap mendapat masalah kencing kotor, satu ujian terhadap sistem saluran
kencing perlu dibuat untuk memastikan tiada masalah dengan saluran
kencing itu sendiri. Pesakit boleh menjalani ujian cystoscopy atau
intravenous urogram (ivu). Ini biasanya tidak melibatkan kemasukan ke
hospital atau pembedahan dan boleh dilakukan dalam tempoh satu hari.
Mencegah Masalah Kencing Kotor
Masalah
kencing kotor boleh dicegah dengan memastikan minum air yang cukup dan
jangan menahan kencing iaitu bila ada rasa untuk kencing terus ke tandas
untuk membuang air kecil.
Air minuman membantu mencairkan air
kencing anda dan memastikan bahawa anda akan membuang air kecil lebih
kerap serta membenarkan bakteria dibuang dari saluran kencing anda
sebelum jangkitan boleh mula.
Dalam masa yang sama, terutamanya
untuk ibu-ibu yang baru lepas bersalin, pastikan kebersihan bahagian
kemaluan / perineum dijaga dengan sempurna.
Jika anda mengelap
air kencing, mulakan dari depan ke belakang. Berbuat demikian selepas
membuang air kecil dan selepas pergerakan usus membantu mencegah
bakteria di bahagian dubur daripada merebak ke faraj dan uretha.
Kosongkan pundi kencing anda sejurus selepas persetubuhan. Juga minum segelas penuh air untuk membantu bakteria dikeluarkan.
Elakkan
produk feminin yang berpotensi untuk membawa mudarat seperti
menggunakan semburan deodoran atau lain-lain produk feminin, seperti
douches dan serbuk di kawasan kemaluan kerana ini boleh merengsakan
uretha.
No comments:
Post a Comment