"Untuk Respon Pantas, WASAP Je Kak Engku"

019 2077 643 (Nak Tanya Soalan)
019 366 7525 (Nak Order Barang)
KEPAKARAN Kak Engku adalah membantu Mama semua untuk mendalami dan mempratikkan ilmu Kehamilan, Berpantang, Penyusuan Dan Penjagaan Bayi secara online agar Mama lebih bersedia, sentiasa ceria dan teruja sebelum dan selepas kelahiran. Di samping menyediakan khidmat nasihat berkaitan barangan keperluan berpantang dan set bersalin yang pratikal digunakan dengan harga yang Murah dan Semestinya ORI.

02 September 2012

Panduan Berpisah Susu Ibu

Berpisah susu terjadi apabila anda menghentikan penyusuan setelah si manja mula mengambil makanan lain selain daripada susu ibu. Ia proses normal dalam perkembangannya. Keputusan berpisah susu adalah di tangan anda dan si dia, bukannya disebabkan orang sekeliling.

Menyusukan si manja merupakan momen istimewa buat anda yang mengaplikasikan amalan ini. Manakala, berdepan saat untuk menghentikan penyusuan pula menjadi pengalaman penuh emosi. Percayalah, berpisah susu sama sekali tidak menamatkan ikatan mesra yang telah anda dan anak jalinkan sepanjang tempoh menyusu.

Merujuk kepada American Academy of Pediatrics, pertubuhan ini mencadangkan penyusuan susu ibu dilangsungkan sehingga anak berusia 12 bulan. Walau bagaimanapun, bagi masyarakat Asia terutamanya Malaysia, penyusuan susu ibu lazimnya berlangsung sehingga dua ke empat tahun.

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan ada diantara anda yang mahu menghentikan penyusuan. Antaranya kehamilan, biarpun tiada kajian perubatan mengaitkan keguguran dengan penyusuan susu ibu, anda berasa letih untuk menyusu anak kecil dan lain-lain lagi. Namun, pakar laktasi seringkali mengesyorkan isu berpisah susu digerakkan sendiri oleh simanja. Ini bererti anda perlu membiarkan dia menentukan sendiri waktu yang sesuai untuk berhenti menyusu. Hal ini kerana, penyusuan susu bukan sekadar membolehkan dia mendapatkan khasiat pemakanan semata-mata. Lebih daripada itu, ia adalah cara untuk dirinya merapatkan hubungan dengan anda selain berasa selesa.

Biarpun begitu, jika anda masih mahu berpisah susu, adalah dicadangkan untuk berjumpa terlebih dengan pakar atau kaunselor laktasi bagi mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat. Ini terutamanya isu berpisah susu yang melibatkan bayi berusia di bawah setahun. Anda perlu mendapatkan nasihat bersesuaian mengenai keperluan pemakanannya setelah penyusuan susu ibu dihentikan.

Anda mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk menghentikan penyusuan susu ibu. Mungkin juga mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan, enam bulan atau lebih daripada itu. Kesemuanya bergantung kepada kerja sama yang diberikan sikecil. Berpisah susu akan mengambil masa lebih lama jika anda melakukanya sebelum dia bersedia.

Berikut 10 cara praktikal berpisah susu yang boleh membantu anda menghentikan penyusuan bayi anda.

1. Jangan Tawar Dan Jangan Tolak
Ia merupakan cara paling selamat dan efektif untuk berpisah susu. Berikan susu apabila anak minta dan jangan sesekali menolak jika anak mahu menyusu. Namun, konsep ini perlu diaplikasikan bersama beberapa cara di bawah untuk mempercepatkan proses berpisah susu.

2. Mengubah Rutin Harian
Anak anda pasti mempunyai rutin harian untuk menyusu. Contohnya dia akan menyusu jika anda berada di sofa yang selalu diduduki. Oleh itu, elakkan diri daripada duduk di sofa berkenaan agar dia lupa tentang rutin yang biasa dilakukan.

3. Pertolongan Daripada Ayah
Ayah perlu memainkan peranan dengan mengalihkan perhatian anak yang mahu menyusu dengan melakukan aktiviti lain seperti menonton televisyen kegemarannya, bermain alat permainan kesukaannya, membaca buku atau melakukan apa sahaja jenis aktiviti yang diingininya ketika itu.

4. Alihkan Perhatiannya
Kadang kala apabila si anak leka bermain, dia terlupa untuk meminta susu. Gantikan sesi penyusuan yang patut diterimanya dengan memberi snek berkhasiat seperti buahan atau roti. Anda juga boleh membawanya ke taman permainan pada waktu yang biasanya dia meminta susu.

5. Lengahkan Sesi Penyusuan
Melewatkan penyusuan adalah efektif jika anak anda lebih berusia dan boleh memahami penerangan anda. Tangguhkan waktu menyusu iaitu memberitahunya untuk menunggu sebentar. Gantikan dengan aktiviti lain juga boleh menjadi cara yang berkesan untuk menghentikan penyusuan.

6. Memendekkan Tempoh Penyusuan
Cara ini berkesan untuk anak berusia yang dua tahun ke atas. Memendekkan tempoh penyusuan dengan cara memberitahunya sedikit sahaja mama beri ya sebab abang/ kakak sudah besar. Sedkit demi sedikit akan mengurangkan kebergantungannya kepada susu ibu.

7. Memberitahu Secara Berhemah
Bagi yang si kecil berusia setahun ke atas sudah boleh memahami arahan yang diberikan. Jadi, tunjukkan contoh-conoh orang dewasa yang tidak minum susu ibu. Dia pasti teruja apabila diberi kesempatan menjadi orang dewasa.

8. Kurangkan Penyusuan
Dalam sehari mula kurangkan sesi penyusuan terutamanya di waktu malam. Ini membolehkan penghasilan susu ibu berkurangan secara semulajadi dan pada masa yang sama membolehkan anak anda menerima perubahan itu.

9. Adalah Baik Jika Anda Tidak Menghentikan Penyusuan Susu Secara Tiba-Tiba
Hal ini akan mengganggu emosi anak malah menjadikan diri anda tidak selesa. Anda sendiri berkemungkinan mengalami masalah seperti payudara bengkak atau mastitis berikutan susu ibu tidak dikosongkan dengan sebaik-baiknya. Pendekatan terbaik ialah tidak melakukannya secara tergesa-gesa.

10. Petua-Petua Lama
Terdapat juga petua-petua orang lama untuk membolehkan anak bercerai susu. Apapun, dapatkan pandangan pakar sama ada cara yang digunakan boleh meninggalkan kesan yang kurang baik kepada si kecil.

No comments:

Post a Comment