"Untuk Respon Pantas, WASAP Je Kak Engku"

019 2077 643 (Nak Tanya Soalan)
019 366 7525 (Nak Order Barang)
KEPAKARAN Kak Engku adalah membantu Mama semua untuk mendalami dan mempratikkan ilmu Kehamilan, Berpantang, Penyusuan Dan Penjagaan Bayi secara online agar Mama lebih bersedia, sentiasa ceria dan teruja sebelum dan selepas kelahiran. Di samping menyediakan khidmat nasihat berkaitan barangan keperluan berpantang dan set bersalin yang pratikal digunakan dengan harga yang Murah dan Semestinya ORI.

14 October 2010

Listeriosis Dan Kehamilan

Memakan makanan yang tercemar sememangnya membahayakan kesihatan bukan sahaja kepada anda tetapi juga pada bayi dalam kandungan. Dan salah satu daripada masalah yang akan timbul ialah listeriosis.

Listeriosis terjadi akibat memakan makanan yang tercemar. Bakteria yang menyebabkan masalah ini dikenali sebagai listeria monocytogenes. Walaupun pada dasarnya listeriosis hanyalah jangkitan baketria biasa, ketahuilah bahawa masalah ini boleh menjadi kronik.

Diakui, setiap individu berpotensi untuk dijangkiti. Namum, jangkitan yang berlaku pada ibu hamil, bayi baru lahir dan orang dewasa yang mempunyai sistem ketahanan badan lemah adalah lebih berisiko. Untuk pengetahuan, ibu hamil berisiko 20 kali ganda daripada orang dewasa yang sihat untuk mendapat jangkitan. Dan daripada kes yang dilaporkan, satu pertiga daripadanya berlaku ketika hamil. Jangkitan yang berlaku semasa hamil adalah antara punca keguguran semasa trimester kedua dan ketiga kehamilan atau kematian dalam kandungan.

Ibu hamil biasanya akan mendapat listeriosis akibat makan makanan yang telah dicemari bakteria dan bayi yang dilahirkan berkemungkinan untuk turut menghidap masalah tersebut kerana mendapatnya daripada ibu yang makan makanan tercemar semasa hamil.

Berjaga-Jaga

Pada dasarnya, jangkitan listeriosis bukanlah seburuk yang disangkakan. namum, masalah ini boleh jadi serius jika langkah berjaga-jaga dan rawatan rapi tidak diberikan. Bagi ibu hamil, bakteria listeria monocytogenes boleh menjangkiti plasenta, cecair amniotik dan bayi itu sendiri.

Bayi yang dijangkiti tetapi dapat melawannya berkemungkinan lahir pra matang. Dan kebanyakan mereka akan lahir dengan penyakit yang kronik atau akan menghidapi pelbagai penyakit serius selepas dilahirkan seperti masalah jangkitan pada darah, kesukaran bernafas, demam, meningitis dan perubahan pada tubuh yang membahayakan. Lebih malang lagi apabila ada sesetengah di antara bayi ini mati akibat masalah yang dihidapinya.

Untuk pengetahuan, bakteria listeria monocytogenes boleh didapati dalam tanah dan air. Sayur-sayuran dan buah-buahan yang anda makan boleh dicemari oleh bakteria tersebut yang datangnya daripada tanah atau baja yang digunakan sebagai agen penyuburan.

Selain sayuran, haiwan turut menjadi mangsa bakteria ini. Haiwan boleh dijangkiti bakteria listeria monocytogenes, namum tidak akan menyebabkan kesakitan padanya. Akibat jangkitan, daging dan hasil makanan yang didapati daripadanya mungkin tercemar.

Bakteria ini juga wujud dalam makanan mentah seperti daging yang tidak dimasak dan sayuran. Selain itu, makanan yang sudah dimakan juga boleh tercemar dengan bakteria ini. Antaranya ialah keju dan makanan segar. Susu segar yang tidak berpasteur berkemungkinan mengandungi listeria monocytogenes. Bakteria ini boleh dihapuskan dengan pempasteuran dan memasak. Akan tetapi, bagi sesetengah makanan yang sedia untuk dimakan, seperti pizza, pau dan sosej, pencemaran mungkin berlaku selepas dimasak dan sebelum proses pembungkusan.

Demam

Anda berkemungkinan menghidap listeriosis jika anda mengalami demam, sakit otot, loya dan cirit-birit. Jangkitan kemudiannya akan menular ke sistem saraf lalu mengakibatkan sakit kepala, kebingungan, hilang keseimbangan dan leher menjadi tegang. Ibu hamil yang terkena jangkitan akan mengalami simptom selesema yang ringan. Untuk pengetahuan, jangkitan semasa hamil boleh menyebabkan kelahiran pramatang, kematian sebelum dilahirkan dan jangkitan pada bayi dalam kandungan.

Pun begitu, sehingga kini, masih belum ada ujian ataupun pemeriksaan khusus untuk mengesan masalah ini semasa hamil. Sekiranya anda ada simptom seperti demam atau leher tegang, segeralah berjumpa doktor. Ujian darah mampu menunjukkan kehadiran bakteria tersebut.

Risiko Untuk Berhadapan Dengan Listeriosis Boleh Dikurangkan Dengan:
  • Memasak semua jenis makanan mentah yang berasal dari haiwan.
  • Basuh bersih sayuran sebelum dimakan.
  • Pastikan daging haiwan yang belum dimasak diletakkan jauh daripada sayuran dan makanan yang sudah dimasak.
  • Elakkan daripada minum susu atau makan makanan yang dihasilkan daripada susu tidak dipasteur.
  • Cuci bersih tangan, peralatan memasak seperti pisau dan senduk selepas memasak atau selepas mengendalikan bahan mentah.
Sekiranya jangkitan berlaku ketika hamil, antibiotik akan diberikan untuk mengelakkan bakteria tersebut disebarkan kepada bayi dalam kandungan. bayi yang menghidapi listeriosis juga akan diberikan antibiotik sama seperti yang diberikan kepada orang dewasa. Selain itu, ultrasound akan dilakukan bagi memastikan bayi dalam kandungan berada dalam keadaan baik.

Walaupun dengan rawatan yang rapi, jangkitan listeria monocytogenes boleh membawa maut. Keadaan seperti ini selalunya berlaku pada orang tua dan individu yang menghidap penyakit kronik.

Info
  • Individu yang berisiko tinggi dijangkiti penyakit ini ialah ibu hamil. Selain itu, individu yang mempunyai sistem ketahanan badan yang rendah juga tidak terkecuali. Kepada mereka, ada tambahan, elakkan makan keju yang lembut seperti Mexican Style Cheese dan Camembert. Keju yang keras dan sudah diproses, keju krim dan yogurt boleh dimakan.
  • Jika ingin makan makanan yang tidak habis atau makan makanan yang sedia dimasak, pastikan anda kukusnya sehingga benar-benar panas atau panaskan sehingga mendidih sebelum dimakan.
  • Jangan makan sembarangan makanan terutamanya yang mungkin terdedah kepada jangkitan bakteria.

No comments:

Post a Comment