"Untuk Respon Pantas, WASAP Je Kak Engku"

019 2077 643 (Nak Tanya Soalan)
019 366 7525 (Nak Order Barang)
KEPAKARAN Kak Engku adalah membantu Mama semua untuk mendalami dan mempratikkan ilmu Kehamilan, Berpantang, Penyusuan Dan Penjagaan Bayi secara online agar Mama lebih bersedia, sentiasa ceria dan teruja sebelum dan selepas kelahiran. Di samping menyediakan khidmat nasihat berkaitan barangan keperluan berpantang dan set bersalin yang pratikal digunakan dengan harga yang Murah dan Semestinya ORI.

07 July 2010

Asma Dan Kehamilan

Asma yang dialami sewaktu kehamilan boleh menjadi kronik jika tidak dikawal. Lebih teruk lagi, apabila ia boleh meninggalkan kesan buruk kepada kandungan.

Asma akan memberi kesan kepada 1 hingga 4 peratus wanita mengandung. Secara umumnya, lebih kurang 1/3 wanita yang ada asma merasakan asma yang dihidapi menjadi semakin baik ketika hamil, kira-kira 1/3 lagi menjadi semakin teruk manakala 1/3 selebihnya tidak mengalami sebarang perubahan. Maklumat menarik untuk anda ketahui ialah asma biasanya menjadi teruk di antara trimester kedua dan ketiga. Kemudian menjadi bertambah baik beberapa minggu sebelum melahirkan.

Oleh kerana itulah, wanita yang sememangnya menghidap asma perlu mengawal asma terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk hamil. Ini dikhuatiri akan menimbulkan masalah jika asma menjadi lebih teruk apabila sah mengandung. Masalah ini biasanya berlaku disebabkan oleh sikap wanita itu sendiri yang takut untuk mengambil sebarang jenis ubat asma sepanjang kehamilannya. Alasannya, mereka bimbang ia akan memudaratkan bayi dalam kandungan.

Tanpa disedari, sikap sebegini sebenarnya menambahkan lagi masalah yang sedia ada. Diingatkan! Sekiranya mana-mana wanita hamil menghentikan pengambilan ubat tanpa nasihat doktor sewaktu hamil, ia lebih memudaratkan berbanding jika mereka mengambil ubat.

Perlu diketahui bahawa, asma ialah sejenis penyakit paru-paru yang kronik. Ia akan sentiasa ada. Yang membezakannya cuma tahap teruk ataupun sebaliknya. Asma akan jadi kronik jika paru-paru wanita terbabit terlebih respon terhadap apa-apa jenis perangsang seperti habuk, debunga, bulu binatang, asap, hama dan lain-lain lagi. Masalah ini dikenali sebagai hyper responsiveness.

Fakta menarik yang perlu anda ketahui ialah, anak yang lahir daripada ibu yang mengalami masalah asma berkemungkinannya turut menghidap penyakit yang sama. Peratusannya ialah antara 6 hingga 30 peratus.


Kesan Pada Kandungan

Asma yang tidak dikawal ketika hamil boleh memberi kesan kepada ibu dan kandungan. Bagi mana-mana wanita yang mengalami asma tahap teruk, dia berisiko untuk mengalami tekanan darah tinggi sekaligus mendorong dia melalui kelahiran pra matang.

Malah, bagi sesetengah wanita yang mengalami alahan mengandung yang teruk, dia akan terdedah kepada risiko pendarahan. Lebih buruk lagi jika masalah ini berlaku sewaktu dalam proses bersalin. Jika paru-parunya tidak berfungsi dengan baik, proses bersalin mungkin menjadi kurang lancar.

Kadang-kadang apabila oksigen yang sepatutnya diperoleh oleh bayi tidak mencukupi, tumbesarannya boleh terbantut. Walau bagaimanapun ia tidak melibatkan pembesaran otak, cuma pada fizikal. Keadaan seperti ini memungkinkan ibu melahirkan bayi dengan berat badannya yang rendah. Kadang kala ia juga boleh menjadi punca kematian bayi.


Nasihat Untuk Pesakit

1. Kaunseling Sebelum Hamil

Sebaik-baiknya, wanita yang menghidap asma digalakkan menjalani keunseling bagi mengurus asma sebelum mengambil keputusan untuk mengandung. Ini sedikit sebanyak akan meminimumkan risiko yang mungkin berlaku ketika hamil.

2. Ukur Tahap Asma

Bagi memastikan status asma terkawal, anda boleh meminta doktor mengukur tahap keseriusannya. Hal ini dapat dilakukan melalui peak expiratory flow rate (PEFR). Ia memerlukan anda menghembus nafas sedalam yang mungkin ke dalam tiub yang disediakan. Kemudian, tahap asma anda dapat diketahui dengan melihat bacaan ketika hembusan dibuat. Untuk pengetahuan tambahan, pesakit asma tidak boleh menghembus dengan baik.

3. Teknik Guna Inhaler

Inhaler memang sinonim dengan pesakit asma. Malah, penggunaannya dengan teknik yang betul dapat mengurangkan risiko yang mungkin berlaku. Perlu anda tahu, inhaler adalah lebih selamat daripada penggunaan ubat jika anda menghidap asma sewaktu mengandung. Oleh kerana itulah, anda perlu tahu menggunakan inhaler dengan betul. Hal ini perlu dipelajari sejak sebelum hamil lagi. Dalam pada itu, terdapat 2 jenis inhaler. Satu berfungsi untuk membesarkan ruang paru-paru manakala satu lagi ialah steroid (bagi yang mengalami asma yang teruk).

4. Ambil Ubat

Secara umumnya, ubat-ubat asma adalah selamat digunakan semasa mengandung termasuklah ubat steroid. Pengambilannya tidak mendatangkan masalah kerana penggunaannya hanyalah untuk jangka masa pendek. Ubat yang tidak boleh diambil ialah prostaglandin F2 alpha dan ergometrine (ubat untuk kecutkan rahim). Ini kerana penggunaannya boleh menyebabkan paru-paru mengecut.

5. Maklumkan Kepada Doktor

Sebelum bersalin, anda perlu maklumkan kepada doktor bahawa anda adalah pesakit asma. Ini kerana kadangkala, stres boleh menimbulkan asma. Jika berlaku asma, doktor akan menggunakan gas nebulizer yang dicampur dengan ubat untuk menolak ubat masuk ke paru-paru bagi meredakan asma.


Pengawalan

1. Kenal pasti penyebab asma. Jadi, seboleh-bolehnya elakkan daripada berhadapan dengan perangsang asma anda.

2. Gunakan inhaler atau salbutamol iaitu ubat untuk mengembangkan paru-paru bagi mengurangkan risiko asma menjadi lebih teruk.

3. Dapatkan nasihat doktor. Patuhi program kawalan asma yang telah disusun oleh doktor dan ambil ubat seperti yang diarahkan.

No comments:

Post a Comment