Dalam Islam, usaha mendidik tidak hanya bermula setelah bayi lahir atau setelah kanak-kanak mumayyiz (berakal), tetapi bermula sejak bayi dalam kandungan lagi. Bahkan jika kita merujuk kepada panduan mencari pasangan hidup, pendidikan bermula lebih awal dari itu. Iaitu bermula daripada memilih pasangan dan mengadakan majlis walimah al 'urus (majlis perkahwinan) lagi. Ini disebabkan, semuanya mempengaruhi dan memberi kesan kepada bentuk syahsiah zuriat kita akan datang. Oleh sebab itu, syariat Islam menganjurkan agar lelaki mencari pasangan hidup (isteri) daripada kalangan orang yang beragama. Demikian juga di pihak wanita, waris atau walinya dilarang mengahwinkan anak perempuannya kepada lelaki fasik (jahat).
Dalam Al-Quran surah An-Nur ayat 3, terdapat keterangan bahawa Allah melarang lelaki atau perempuan yang berzina berkahwin kecuali sesama mereka (yang berzina). Ini menunjukkan Islam mengambil kira zuriat yang bakal dilahirkan, agar dari sulbi keturunan yang baik, semoga generasi kita akan datang terdiri daripada generasi yang baik-baik pula. Jadi bayi dan anak yang baik adalah datang daripada kedua-dua ibubapa yang baik.
Kalau kita lihat sejarah, salasilah keturunan para nabi dan rasul adalah daripada kalangan para nabi atau rasul, tapi daripada keturunan wali-wali atau orang soleh. Jadi sebelum Allah memilih untuk melahirkan orang yang baik dan penting selaku nabi dan rasul di muka bumi ini, lebih dahulu Allah memilih dan mendidik bermula sejak ibu bapanya lagi, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Pendidikan sejak dalam kandungan, telah dicontohkan oleh Allah kepada Nabi Zakaria. Ketika Nabi Zakaria merindui anak lelaki yang diharap dapat menyambung perjuangannya, beliau telah berdoa dan memohon agar dikurniakan seorang anak lelaki. Allah lalu mewahyukan kepada Nabi Zakaria bahawa doa yang dimohon sekian lama itu telah dimakbulkan. Bererti Allah akan kurniakan seorang anak yang bakal dilantik sebagai nabi dan rasul. Lalu Nabi Zakaria bertanyakan tandanya. Allah memberitahu bahawa tandanya ialah beliau dibisukan selama 3 hari. Menurut para ulamak tafsir, tujuan Allah membisukan Nabi Zakaria agar memelihara lidah daripada bercakap kecuali semata-mata berzikir, mengingati dan menyebut Allah.
Latihan itu dilakukan selama tiga hari sebagai persediaan menghantar gelombang kepada anaknya dalam kandungan isterinya, agar anaknya nanti menjadi orang yang kuat bergantung hati kepada Allah. Hasil daripada latihan itu, maka lahirlah anak yang dilantik oleh Allah menjadi nabi dan rasul, iaitu Nabi Yahya a.s. Peristiwa itu dirakamkan oleh Allah di dalam Al-Quran surah Ali Imran ayat 38 - 41 untuk panduan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w.
Dalam Islam, kaedah pendidikan yang bermula dari kandungan ibu, telah dipraktik dan dibuktikan kejayaannya sejak sekian lama.Tapi kaedah itu baru sahaja ditemui oleh pakar barat sepertimana yang didakwa oleh Dr. Rene Van De Carr pada tahun 1979, melalui percubaan membuat komunikasi dengan anak di dalam rahim (kandungan). Dalam ujiannya, didapati komunikasi memberi kesan terhadap pembentukan sikap dan emosi janin-janin (dalam kandungan) mengikut program yang disalurkan. Kesannya dapat dibuktikan oleh watak dan perwatakannya setelah lahir ke dunia.
Demikian betapa kesan pendidikan sejak dalam kandungan lagi. Oleh itu, para ibu bapa perlu mengambil perhatian terhadap pembentukan watak dan peribadi anak-anak mereka sejak dalam kandungan lagi.
No comments:
Post a Comment