TAHNIAH,
puan hamil! Anda teruja membuat persiapan awal sambil memasang angan untuk
menyusui dan menukarkan lampin bayi. Tetapi, tiba-tiba sahaja, kehamilan anda
berakhir.
Tidak kiralah nama apa pun yang diberikan kepadanya – keguguran, mengandung luar rahim / kehamilan ektopik atau bayi mati dalam kandungan atau lahir mati (stillbirth) - anda kehilangannya.
Kehilangan kandungan, boleh menjadi satu pengalaman yang membingungkan. Harapan dan impian, musnah dan hancur lebur. Wanita mungkin tenggelam punca sekalipun hanya mengetahui tentang kehamilan tersebut beberapa hari cuma.
Anda mungkin berasa, hidup tidakkan sama lagi selepas ini. pendek kata, kehilangan bayi yang sedang dikandung mampu membawa perubahan mendalam.
Peringkat proses dukacita
Anda mungkin mengalami emosi yang pelbagai – dari marah ke kecewa dan putus harap. Ia mungkin mengambil masa beberapa minggu, berbulan-bulan atau lebih lama untuk pulih. Peringkat-peringkatnya.
Penafian. Pada mulanya, semacam mustahil bagi anda untuk menerima apa yang telah terjadi. Anda mungkin rasa bingung dan tidak percaya
Marah. Anda mungkin marah pada diri sendiri, pasangan atau pihak lain kerana membiarkan ia berlaku
Bersalah. Anda mungkin merasakan anda sebenarnya boleh mengelakkan musibah itu jika lebih berhati-hati
Murung. Kesakitan dan kesedihan yang anda alami boleh mendorong kepada gejala kemurungan. Perasaan ini selalunya akan pudar seiring masa. Jika kemurungan berpanjangan, anda mungkin perlu mendapatkan bantuan profesional
Penerimaan. Setiap langkah dalam proses bersedih ini akan membawa anda hampir kepada peringkat penerimaan. Anda tidak mungkin melupakan bayi anda, cahaya mata anda, tetapi penerimaan mampu mengurangkan kesakitan dialami.
Sepanjang fasa ini, anda mungkin berhadapan dengan beberapa halangan seperti rasa marah atau bersalah yang merayap semula ke dalam emosi anda setelah anda memikirkan, anda sudah pulih.
Pencetus tertentu seperti melihat anak orang lain yang baru dilahirkan, saat anda mengemas barang-barang si bayi, mungkin sukar untuk anda hadapinya. Tidak mengapa. Elakkan diri anda daripada situasi seumpama itu sehingga anda benar-benar bersedia.
Ke arah pemulihan
Buat keputusan anda sendiri. Pasangan atau rakan baik anda mungkin memberikan saranan agar anda menyimpan atau membuang (berikan pada orang lain) barang-barang yang boleh mencetuskan ingatan terhadap bayi seperti baju mengandung dan sebagainya. Bagaimanapun, keputusan di tangan anda. Jika anda tidak bersedia mengemaskannya, ambil sebanyak masa yang diperlukan
Ciptakan kenangan bayi anda. Anda mungkin mahu menamakan bayi dengan panggilan tertentu. Anda juga mungkin akan berasa selesa untuk mencipta satu memorial atau tanda peringatan bayi anda seperti barang kemas, tanaman atau lukisan. Sekiranya kehilangan berlaku menjelang saat-saat akhir kehamilan, anda mungkin mahu menyimpan gambar ultrasound bayi anda.
Lakukannya
perlahan-lahan. Hari demi hari akan bertambah baik daripada yang sebelumnya.
Jika anda rasa menderita memikirkan tentang masa depan, tumpukan perhatian
untuk melalui hari-hari anda satu per satu
Jaga diri anda. Dapat rehat secukupnya, makan makanan yang sihat sahaja. Luangkan masa untuk bersenam atau melalukan aktiviti fizikal lain
Tangguh keputusan besar. Sudah banyak perkara yang anda lalui, emosi mahupun fizikal. Jika boleh, tunggu dulu sebelum mengambil keputusan untuk membeli rumah baru atau bertukar kerja misalnya.
Bercakaplah dengan pasangan anda. Lelaki dan wanita bersedih dalam cara yang berbeza. Jangan harapkan pasangan anda menguruskan situasi itu sama seperti anda. Bersikap terbuka dan jujur di antara satu sama lain.
Simpan jurnal. Tulis pemikiran dan perasaan anda mungkin menjadi saluran yang berkesan untuk menyingkirkan bebanan anda.
Dapatkan bantuan. Rakan-rakan dan orang tersayang mungkin tidak tahu cara terbaik untuk membantu anda. Mungkin apa yang diucapkan tidak kena. Beritahu mereka bila anda perlukan sokongan mereka. Jika anda mahu bercakap tentang bayi anda atau mahu seseorang membantu menyimpan kenangan bayi anda, beritahu mereka apa yang anda rasa
Sertai kumpulan sokongan. Berkongsi dengan wanita lain yang mengalami nasib serupa – sama ada secara bersemuka ataupun online, dapat memberikan kelegaan. Jika tidak tahu mana hendak mula, hospital boleh menjadi tempat rujukan. Sumber lain adalah mereka yang arif dalam bab-bab agama.
Harapan Masa Depan
Kebanyakan wanita yang hilang kandungan mampu memperoleh kehamilan baru yang sihat. Sebaik kesakitan dan duka lara pergi dari hidup anda, anda dan pasangan boleh berbincang untuk mencuba lagi.
Kehamilan baru boleh menyebabkan perasaan sedih akibat kehilangan kehamilan terdahulu tetapi ia juga boleh memberikan harapan baru untuk hari muka.
No comments:
Post a Comment