"Untuk Respon Pantas, WASAP Je Kak Engku"

019 2077 643 (Nak Tanya Soalan)
019 366 7525 (Nak Order Barang)
KEPAKARAN Kak Engku adalah membantu Mama semua untuk mendalami dan mempratikkan ilmu Kehamilan, Berpantang, Penyusuan Dan Penjagaan Bayi secara online agar Mama lebih bersedia, sentiasa ceria dan teruja sebelum dan selepas kelahiran. Di samping menyediakan khidmat nasihat berkaitan barangan keperluan berpantang dan set bersalin yang pratikal digunakan dengan harga yang Murah dan Semestinya ORI.

15 May 2013

Risiko Kematian Ibu Ketika Bersalin



Hasil daripada perkembangan teknologi perubatan dan pengetahuan tentang pentingnya menjaga kesihatan semasa hamil, kes kematian semasa bersalin semakin berkurangan. Namun, untuk memastikan kejayaan tersebut berterusan, kerjasama semua pihak sangat penting terutamanya daripada ibu hamil itu sendiri.

Untuk pengetahuan, ada banyak faktor yang boleh menjadi penyebab kematian semasa bersalin. Salah satu dariadanya ialah kurangnya kesedaran tentang pentingnya penjagaan diri semasa hamil. Sikap suka melengah-lengahkan pemeriksaan antenatal ketika awal kehamilan sebenarnya mengundang pelbagai risiko bukan sahaja pada ibu tetapi juga pada bayi yang dikandungi.

Ibu hamil perlu sedar bahawa mereka merupakan golongan yang terdedah kepada bermacam-macam komplikasi kesihatan. Oleh yang demikian, pemeriksaan awal dan rawatan susulan perlu dilakukan untuk memantau tahap kesihatan mereka sepanjang kehamilan bagi mengelakkan risiko kematian ibu ataupun bayi semasa proses kelahiran.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati, berjuta-juta bayi mati pada peringkat akhir kehamilan, kelahiran dan pada minggu pertama dilahirkan. Menyedari hakikat ini, WHO menggariskan empat komponen utama berhubung keibuan yang selamat iaitu amalan perancangan keluarga, penjagaan antenatal, kelahiran yang selamat serta bersih dan penyediaan penjagaan obstetrik asas.

Melalui perancangan keluarga, pasangan suami isteri akan dibekalkan dengan pengetahuan tentang cara untuk menjarakkan anak, bilangan anak yang dicadangkan dan masa yang sesuai untuk hamil. Semasa hamil pula, ibu-ibu akan diberikan penjagaan rapi sepanjang kehamilan agar sebarang risiko penyakit dapat dikesan dan dirawat segera. Faktor kelahiran yang bersih dan selamat pula bergantung pada pengetahuan dan kemahiran pembantu kelahiran selain daripada amalan penggunaan peralatan yang telah dibasmi kuman. Manakala, penyediaan penjagaan obstetrik asas amat penting untuk dinikmati oleh semua wanita yang memerlukan. Matlamat yang ingin dicapai di sini ialah setiap ibu hamil dapat melahirkan anak dengan selamat dan kedua-duanya sihat.


Tumpah Darah Penyebab Utama Kematian

Di Malaysia, penyebab utama kematian ibu semasa bersalin ialah pendarahan berlebihan atau tumpah darah selepas bersalin iaitu sekitar 23 peratus. Tumpah darah ini berlaku akibat kekenduran otot-otot rahim terutamanya di kalangan wanita yang terlalu kerap mengandung dan bersalin. Begitu juga dengan wanita yang telah lanjut usia ketika melahirkan anak. Jika tumpah darah berlaku di kalangan wanita yang mengalami masalah kurang darah, sudah tentulah ketahanan badannya menjadi lemah. Keadaan ini boleh membawa maut.

Ada banyak perkara yang menjadi punca kepada masalah kurang darah di kalangan wanita. Antaranya ialah pemakanan tidak seimbang yang menyebabkan kekurangan kandungan vitamin dan zat khususnya besi. Masalah ini juga mungkin berlaku disebabkan oleh kehamilan dan kelahiran yang terlalu kerap dan tidak diatur dengan betul.

Untuk membina darah, seseorang itu perlukan sumber makanan yang kaya protein dan zat besi seperti hati, daging, ayam, ikan, limpa dan sayur. Sebaiknya sebelum hamil seseorang wanita mesti menentukan tahap darahnya menerusi ujian menyukat paras hemoglobin.


Embolisme Paru-Paru Akut Boleh Membawa Maut

Di Malaysia, masalah embolisme paru-paru akut menjadi cabaran getir bagi para pengamal perubatan yang mengendalikan wanita hamil dan baru bersalin. Kajian menunjukkan bahawa lebih kurang 15 peratus kes kematian ibu hamil dan baru bersalin berpunca daripada masalah embolisme paru-paru akut disebabkan oleh dua punca.

Pertama ialah gumpalan darah beku atau deep vein thrombosis yang terbentuk pada betis atau pinggul ibu hamil. Gumpalan darah beku ini terjadi akibat pengaliran darah pada bahagian tersebut tidak lancar disebabkan oleh tekanan kandungan. Risiko ibu hamil mengalami masalah ini empat kali ganda berbanding wanita biasa.

Punca keduanya pula ialah air ketuban yang memasuki saluran darah ibu ketika bersalin atau amniotic fluid embolisme. Keadaan ini tidak menyebabkan salur darah tersumbat secara mutlak sebaliknya reaksi anafilaksis (tindak balas abnormal terhadap antigen tertentu) yang menjadi saluran paru-paru menyempit dan akhirnya tertutup. Kadar kematian akibat masalah ini sangat tinggi dan sehingga kini cara terbaik merawatnya belum dapat dikenal pasti.

Kedua-dua punca di atas menyebabkan ibu hamil yang mengalaminya sesak nafas, tekanan darah menurun, kadar nadi meningkat secara drastik, pucat, tidak bermaya dan tidak sedarkan diri. Atas alasan ini, individu atau suami yang mengiringi ibu hamil semasa bersalin perlu prihatin dan memantau keadaannya semasa dan selepas bersalin.

Jika hal ini berlaku, segeralah dimaklumkan kepada jururawat dan doktor yang bertugas agar rawatan segera dapat diberikan. Akan tetapi, sekiranya masalah ini berlaku di rumah, pastikan ibu tersebut diberikan bantuan pernafasan sementara menunggu bantuan dari hospital tiba.

Bagi ibu hamil, faktor seperti umur, bilangan kehamilan yang banyak, kandungan kembar dan kehadiran penyakit-penyakit lain seperti penyakit jantung akan menambah risiko. Kaedah merawat penyakit ini bergantung pada puncanya. Jika disebabkan oleh gumpalan darah beku, maka rawatan yang akan diberikan ialah dengan cara fibrinolysis iaitu menghancurkan gumpalan darah beku tersebut. Tahap kejayaan penggunaan kaedah ini amat tinggi tetapi perlu disusuli dengan ubat untuk mencairkan darah bagi mengelakkan masalah berulang. Sekiranya disebabkan air ketuban, ibu tersebut akan diberikan bantuan pernafasan ventilasi dan ubat untuk menyokong tekanan darah optimum.


Info

Berdasarkan Laporan Tabung kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pada tahun 2009, kira-kira 500,000 wanita di seluruh dunia maut akibat komplikasi mengandung dan melahirkan anak setiap tahun. Di Malaysia, risiko kematian ibu ialah satu dalam 560. Angka ini nyata lebih baik berbanding kebanyakan negara Asia Tenggara yang lain. Misalnya di Indonesia, kematian ibu adalah datu dalam 97, di Filipina, satu dalam 140 manakala di Thailand, satu dalam 500. Semua ini hasil kemudahan kesihatan negara ini yang semaikn baik dari masa ke semasa.

No comments:

Post a Comment