Perhatian ekstra perlu diberikan kepada bayi ini.
Suhu badan bayi hendaklah sentiasa berada di paras normal.Bayi juga lazimnya
dirawat di dalam inkubator atau diletakkan di bawah pemanas radian. Begitu juga
kandungan tahap gula dalam badan sentiasa dipantau untuk mengesan dan memberi
rawatan awal sekiranya kandungan gula tinggi atau rendah.
Langkah jimat dan produktif untuk merangsang
perkembangan bayi pramatang adalah dengan memberi penyusuan susu ibu secara
eksklusif. Cara ini boleh mengelakkan bayi daripada dijangkiti sebarang
penyakit. Bersihkan tangan anda terlebih dahulu sebelum memegang bayi kerana
metabolisme dan imunisasinya masih belum utuh menangkis sebarang jangkitan
kuman atau penyakit.
Dalam kes tertentu, sekiranya bayi terdedah kepada
sebarang komplikasi, mereka dinasihatkan mendapatkan rawatan fisioterapi,
terapi cara kerja dan lain-lain terapi. Kerjasama kedua-dua ibubapa amat
diperlukan bagi memastikan kesihatan bayi lebih baik dan membesar sihat seperti
bayi normal.
Ramai pasangan ibu bapa baru kekok dalam menguruskan
bayi baru lahir. Apatah lagi,badan, tangan dan kaki yang kecil serta kulit yang
nipis perlu dipegang dengan penuh berhati-hati. Hal ini lebih membebankan bagi
bayi baru lahir yang dilahirkan awal daripada tarikh jangkaan lahirnya. Bagi
bayi yang lahir tidak cukup bulan tentu lebih sukar untuk menjaganya kerana
keadaan anggota badannya lebih kecil dan pelbagai komplikasi yang mungkin
berlaku pada bayi ini. Ikuti panduan penjagaan bayi pra matang seperti berikut:
Persekitaran
Kulit bayi pramatang sangat nipis dan tidak mampu
menyimpan haba badan dengan baik. Jika suhu tidak stabil bayi mungkin mengalami
masalah paru-paru yang lebih teruk. Pastikan suhu sentiasa 27 darjah celcius
(suhu bilik) dan sekitarnya berkeadaan bersih. Pakaikan baju lengan panjang,
seluar panjang, sarung kaki dan topi untuk menutupi kepalanya kerana haba
banyak hilang melalui kepala. Jauhkannya daripada orang yang mungkin mempunyai
masalah kesihatan seperti batuk atau selesema.
Posisi Tidur
Posisi mengiring atau meniarap digalakkan untuk
memberi keselesaan kepada bayi. Pun begitu, posisi mengiring adalah pilihan
yang terbaik. Perlu diketahui, bayi pramatang mengeluarkan muntahnya lebih
banyak berbanding bayi normal lain. Bagi bayi yang tidur dalam posisi
terlentang, muntahnya mudah masuk dalam paru-paru dan telinga. Jadi, awasi
posisi tidur bayi anda.
Kolik (Kembung Perut)
Perut kembung atau kolik amat mudah menyerang bayi
yang baru lahir. Ini tidak terkecuali bayi pramatang. Hal inin berlaku kerana
bayi berasa tidak selesa dan menangis apabilakolik menyerang. Selain menyapu
ubat dan menuam pada bahagian perutnya, mendukung bayi dapat membantu melegakan
rasa ketidakselesaan. Anda boleh juga baringkan bayi pada bahagian dada,
pastikan perut anda bertemu perutnya. Gosok secara perlahan-lahan pada bahagian
belakangnya. Dengan cara sebegini, bayi anda pasti berasa selesa.
Mandi
Cara memandikan sama seperti bayi normal yang lain.
Namun, jangan terlalu lama dedahkan bayi ini tanpa baju. Setelah memandikannya
dengan air suam, lap dengan kapas atau kain bersih pada bahagian pelipat jari,
paha, kaki, leher dan belakang serta telinga. Sesudah itu, segera pakaikannya
baju untuk mengelakkan kesejukan.
Nota : Bayi pramatang biasanya agak lambat mencapai
perkembangan yang dicapai oleh bayi seusianya. Anda perlu mengambil kira berapa
minggu dia lebih awal dilahirkan.
Contohnya kalau bayi dilahirkan sebulan pramatang,
anda perlu menambah sebulan lagi untuk perkembangannya. Apa yang mampu dicapai
oleh bayi enam bulan, dia akan mencapainya dalam usianya tujuh bulan.
best info , boleh praktis ibu2 yang mempunyai bayi pramatang.
ReplyDelete