Bagi anak pertama, lambakan kasih sayang dan perhatian kedua-dua ibubapanya secara tidak langsung akan tergugat dengan kehadiran adik baru. Ada masanya tumpuan yang diberikan ibubapa terhadap bayi yang baru dilahirkan menyebabkan si kakak atau si abang berasa tersisih dan terpinggir.
Cara Menangani
Memarahi mereka bukanlah penyelesaian untuk mengatasi masalah cemburu di kalangan kanak-kanak. Mungkin agak sukar buat si kecil memahami yang dia sekarang sudah mempunyai seorang lagi saudara baru. Perasaan jauh hati mungkin terbit dalam sanubari si anak dan dia merasakan kedua-dua ibubapanya lebih sayangkan adik baru daripada dirinya.
Sebenarnya ibubapa boleh meredakan rasa cemburu si anak sejak si ibu mula disahkan hamil lagi. Libatkan anak anda dalam kehidupan bakal adiknya. Keraplah mengajak si abang atau si kakak berkomunikasi dengan adiknya di dalam perut anda dan jelaskan statusnya yang bakal bergelar abang atau kakak tidak lama lagi.
Terangkan kepada anak anda tanggungjawab ringkas sebagai abang dan kakak. Sekiranya anda membeli-belah barangan bayi, beri peluang kepada anak anda untuk memilih pakaian atau warna yang menarik untuk bakal adiknya. Apabila si adik lahir, libatkan anak anda sewaktu aktiviti memandikan adik atau menyiapkan si adik selepas mandi.
Jauhkan sifat suka membandingkan si abang atau si kakak dengan adik barunya. Kerjasama daripada suami amat perlu untuk membantu memadamkan api cemburu anak yang lebih dewasa.
Tindakan Ibubapa
Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan rasa cemburu anak anda iaitu:
1. Tetapkan peraturan.
Jangan menjerit, mengejek atau menghempas pintu.
2. Jangan samakan.
Setiap anak anda adalah unik dan istimewa, jangan jadikan mereka semua sama. Yang tua akan mempunyai hak istimewa seperti tidur lebih lewat daripada yang muda.
3. Masa istimewa untuk semua.
Luangkan masa bersendirian bersama setiap anak anda selama 10-15 minit setiap hari. Ini boleh membuatkan mereka rasa istimewa dan disayangi.
4. Jangan berpihak
Jangan sesekali membandingkan anak-anak anda kerana ini akan menimbulkan rasa marah dan dendam di kalangan adik-beradik. Ia juga akan menegangkan hubungan anda dan anak-anak anda.
Tanda Anak Cemburu
~ Seboleh-bolehnya anak yang lebih tua akan menarik perhatian anda dengan pelbagai tingkah laku yang ada masanya boleh menaikkan kemarahan anda.
~ Menangis tidak berhenti-henti tanpa semena-mena.
~ Memprotes apabila disuruh membuat aktiviti yang lazimnya boleh dilakukan sendirian.
~ Ada masanya bertindak mencederakan adiknya.
Punca Bergaduh
Selain cemburu, anak-anak anda juga mungkin bergaduh kerana:
1. Perhatian
Anda mungkin sibuk dengan kerja dan bayi baru. Bergaduh mungkin adalah satu cara untuk anak yang merasa terpinggir mendapatkan perhatian anda.
2. Perlu Berkongsi
Bila sudah ada adik-beradik, lazimnya ada barang yang perlu dikongsi. Selalunya yang lebih kecil mempunyai masalah untuk berkongsi dengan kakak atau abangnya.
3. Ragam Unik
Perangai, perasaan, daya penyesuaian dan keperibadian unik anak-anak memainkan peranan dalam keharmonian hubungan adik-beradik. Ragam yang jauh berbeza oleh mencetuskan pergaduhan.
4. Keadilan
Setiap anak mahukan anda bersikap saksama dengan mereka. Tidak ada yang dilebih-lebihkan. Abang atau kakak yang perlu menjaga adik mungkin tidak menyukai tanggungjawab ini manakala adiknya mungkin tidak suka apabila dia tidak boleh melakukan apa yang dilakukan oleh abang atau kakaknya.
No comments:
Post a Comment