"Untuk Respon Pantas, WASAP Je Kak Engku"

019 2077 643 (Nak Tanya Soalan)
019 366 7525 (Nak Order Barang)
KEPAKARAN Kak Engku adalah membantu Mama semua untuk mendalami dan mempratikkan ilmu Kehamilan, Berpantang, Penyusuan Dan Penjagaan Bayi secara online agar Mama lebih bersedia, sentiasa ceria dan teruja sebelum dan selepas kelahiran. Di samping menyediakan khidmat nasihat berkaitan barangan keperluan berpantang dan set bersalin yang pratikal digunakan dengan harga yang Murah dan Semestinya ORI.

30 June 2012

Kenali Hospital Rakan Bayi

Kementerian Kesihatan telah melaksanakan pelbagai rangka promosi bagi menggalakkan penyusuan susu ibu di kalangan para ibu di Malaysia. Salah satunya ialah melancarkan inisiatif Hospital Rakan Bayi (HRB).

Program HRB merupakan salah satu agenda antarabangsa yang dicetuskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF). Ia direalisasikan sejak tahun 1992 dengan tujuan menggalakkan semua hospital dan pusat bersalin melaksanakan polisi yang dinamakan sebagai 10 Langkah Ke Arah Penyusuan Susu Ibu Yang Berjaya. Dalam pada itu, HRB perlu mematuhi amalan Tata Etika Produk Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan dalam usaha mengekalkan pengiktirafannya.

Objektif umum pelaksanaan HRB adalah meningkatkan amalan penyusuan susu ibu secara eksklusif dan pemakanan terbaik untuk bayi. Melalui usaha ini, anda sebagai ibubapa akan diberi tunjuk ajar, nasihat dan bimbingan agar dapat menentukan penjagaan dan pemakanan yang terbaik untuk si manja.

Inisiatif ini dilaksanakan mengikut panduan yang ditetapkan oleh WHO dan UNICEF. Sesebuah hospital yang telah mendapat pengiktirafan HRB perlu menjalankan pemantauan dalaman pada setiap enam bulan. Selain itu, penilaian semula akan dibuat selepas dua tahun pertama pengiktirafan dan setiap tiga tahun bagi tahun-tahun seterusnya. Mekanisme pemantauan adalah menggunakan panduan standard WHO dan UNICEF.

Pelaksanaan ini diperkukuhkan lagi dengan aktiviti latihan, bengkel, orientasi dan taklimat dari semasa ke semasa kepada anggota kesihatan terlibat dalam inisiatif HRB.

Di Malaysia, HRB mula dilaksanakan sejak tahun 1993. Selepas lima tahun iaitu pada 3 Mac 1998, Malaysia diisytiharkan oleh WHO sebagai negara ketiga di dunia yang mempunyai kesemua hospital kerajaan diiktiraf sebagai HRB.


10 Garis Panduan

Semua ibu digalakkan menyusu anaknya dengan susu ibu sahaja selama enam bulan dan meneruskannya sehingga anaknya berumur dua tahun. Makanan tambahan hanya perlu dimulakan semasa anak berumur enam bulan.

Bagi menjayakan polisi penyusuan susu ibu, garis panduan tersebut disediakan bagi menjayakan usaha penyusuan susu ibu. Terdapat 10 langkah penting untuk menjadikan sesebuah hospital itu sebagai HRB.

1. Mempunyai polisi penyusuan susu ibu secara bertulis yang disampaikan kepada semua kakitangan kesihatan secara berkala.

2. Melatih semua kakitangan dengan kemahiran yang perlu untuk melaksanakan polisi ini.

3. Memberitahu semua ibu hamil tentang kebaikan dan pengurusan penyusuan susu ibu.

4. Membantu ibu memulakan penyusuan susu ibu dalam masa setengah hingga satu jam selepas kelahiran.

5. Menunjukkan kepada ibu cara menyusukan dan mengekalkan laktasi walaupun terpaksa dipisahkan daripada anak.

6. Tidak memberikan bayi baru lahir makanan atau minuman selain susu ibu kecuali atas sebab-sebab perubatan.

7. Mengamalkan penyusuan di sisi ibu (rooming in) dengan membenarkan ibu dan anak bersama-sama selama 24 jam sehari.

8. Menggalakkan penyusuan susu ibu mengikut kehendak bayi.

9. Tidak memberikan puting tiruan atau puting kosong kepada bayi yang menyusu susu ibu.

10. Menggalakkan penubuhan kumpulan sokongan penyusuan susu ibu dan merujuk ibu kepada kumpulan ini selepas keluar hospital atau klinik.

No comments:

Post a Comment