"Untuk Respon Pantas, WASAP Je Kak Engku"

019 2077 643 (Nak Tanya Soalan)
019 366 7525 (Nak Order Barang)
KEPAKARAN Kak Engku adalah membantu Mama semua untuk mendalami dan mempratikkan ilmu Kehamilan, Berpantang, Penyusuan Dan Penjagaan Bayi secara online agar Mama lebih bersedia, sentiasa ceria dan teruja sebelum dan selepas kelahiran. Di samping menyediakan khidmat nasihat berkaitan barangan keperluan berpantang dan set bersalin yang pratikal digunakan dengan harga yang Murah dan Semestinya ORI.

27 July 2010

Hepatitis B Dan Kehamilan

Mengesan jangkitan virus hepatitis B sangat penting untuk mencegahnya daripada merebak kepada bayi dalam kandungan khususnya, dan orang lain amnya. Adalah rutin bagi ibu hamil untuk menjalani ujian darah pada peringkat awal pemeriksaan kehamilan mereka. Salah satu tujuan ujian tersebut ialah untuk mengesan virus hepatitis B (HBV). Kehadiran virus ini dalam darah boleh menimbulkan banyak masalah kesihatan.

Virus yang mengambil masa di antara 6 minggu hingga 6 bulan untuk mula menampakkan simptomnya ini paling banyak ditemui dalam darah berbanding cecair badan yang lain seperti air mani ataupun rembesan vagina.

Diakui, kebanyakan penghidap hepatitis B tidak menunjukkan sebarang simptom. Jadi, tidak hairanlah jika mereka tidak sedar yang mereka sebenarnya pembawa. Sekiranya anda adalah salah seorang daripada mereka, anda berpotensi untuk menyebarkannya kepada bayi semasa proses kelahiran.

Menentukan sama ada anda pembawa atau tidak, membolehkan anda mendapatkan rawatan yang sewajarnya secepat mungkin. Selain itu, cara ini memudahkan pakar perubatan memantau terus kesihatan bayi anda sebaik sahaja dia dilahirkan bagi mengelakkan jangkitan.

Umumnya, virus hepatitis B boleh disebarkan menerusi darah, air mani dan cecair badan lain. Jika anda disahkan sebagai pembawa, mungkin virus itu anda dapati daripada:
  • Hubungan kelamin dengan pasangan yang menghidap hepatitis B.
  • Ibu, semasa proses kelahiran.
  • Berkongsi jarum suntikan sama ada secara sedar ataupun tidak.
  • Menggunakan berus gigi ataupun pisau cukur yang terdapat kesan darah pembawa.
  • Melalui tatu atau semasa proses menindik telinga atau bahagian lain tubuh.
  • Pemindahan darah.
  • Mengamalkan aktiviti seks yang tidak selamat.

Rawatan

Sekiranya dijangkiti hepatitis B, anda akan rasa letih, sakit badan, loya dan muntah, hilang selera makan, sakit sendi atau menghidap jaundis. Pada peringkat permulaan, iaitu setelah seseorang itu disahkan menghidap hepatitis B, dia akan diberikan suntikan hepatitis B immunoglobulin (Hblg), sejenis antibodi yang akan membantu anda menghidari daripada simptom yang teruk.

Disahkan menghidap hepatitis B menyebabkan anda perlu mendapatkan rawatan rapi termasuklah pemeriksaan berkala terhadap hati anda. Pada masa yang sama, seluruh ahli keluarga anda dinasihatkan agar turut melakukan pemeriksaan kesihatan bagi mengenal pasti adakah mereka pembawa ataupun tidak. Jika tidak, mereka perlu mendapatkan vaksin sebagai langkah pencegahan.

Pelindungan Pada Bayi

Sebaik sahaja dilahirkan, bayi kepada pembawa hepatitis B akan diberikan suntikan antibodi untuk mengelakkan berlakunya sebarang jangkitan dalam masa terdekat. Selain itu, dalam tempoh 12 jam selepas dilahirkan, bayi tersebut akan diberikan suntikan vaksin pencegahan hepatitis B. Bayi tersebut kemudiannya akan diberikan vaksin kali kedua ketika pemeriksaan kesihatan yang dilakukan dari masa ke semasa.

Dengan tiga kali suntikan vaksin, diyakini sudah cukup untuk memberikan perlindungan kepada bayi seumur hidupnya. Oleh yang demikian, semua bayi baru lahir sangat digalakkan untuk mendapatkan vaksin seperti yang disarankan itu. Diakui antibodi dan vaksin tersebut berkesan sehingga 90 peratus dalam usaha unuk mengahalang jangkitan hepatitis B di kalangan bayi.

Sekiranya anda penghidap hepatitis, anda disarankan agar melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala selepas bersalin. Hal ini penting untuk memastikan kesihatan anda berada pada tahap yang memuaskan. Ketahuilah bahawa penghidap hepatitis B yang kronik berisiko untuk berhadapan dengan penyakit hati yang serius.

Jika setelah ujian darah dilakukan dan didapati anda bukan pembawa HBV, anda lzimnya akan dinasihatkan mengambil vaksin hepatitis B. Suntikan tersebut selamat bagi ibu hamil.

Jangkitan

Ibu hamil yang menghidap hepatitis B dan tidak mendapatkan rawatan sewajarnya berpotensi di antara 10 hingga 20 peratus untuk menyebarkannya kepada bayi dalam kandungan semas proses kelahirannya. Pun begitu, semua ini boleh dihindari sekiranya bayi tersebut menerima rawatan sewajarnya dalam tempoh 12 jam selepas dilahirkan.

Jangkitan HBV yang berlaku ketika trimester ketiga kehamilan berpotensi untuk merebak kepada bayi semasa proses kelahiran. Risikonya sangat tinggi iaitu sekitar 80 hingga 90 peratus. Keadaan ini jauh bezanya jika dibandingkan dengan mendapat jangkitan hepatitis B ketika 3 bulan pertama kehamilan iaitu hanya 6 peratus. Dan satu perkara yang melegakan ialah jangkitan HBV semasa hamil setakat ini tidak pernah dikaitkan dengan sebarang kecacatan pada bayi.

Untuk pengetahuan, bayi yang dijangkiti virus ini tidak akan menunjukkan simptom dalam tempoh yang singkat. Simptom-simptom yang akan mereka alami adalah lebih kurang sama seperti orang dewasa.

Penghidap hepatitis kronik mungkin menyebarkan virus HBV sepanjang hayatnya. Mereka juga berisiko untuk menghidapi penyakit hati yang kronik seperi barah yang akhirnya boleh membawa maut. Hakikatnya, sehingga hari ini, tiada ubat untuk menyembuhkan penyakit ini. Namum, ada beberapa ubat-ubatan yang dikatakan mampu mengawalnya daripada menjadi kronik.

Oleh kerana HBV disebarkan melalui darah dan cecair badan, berhati-hatilah kerana anda mungkin akan menjadi mangsa. Mengambil vaksin pencegahan adalah jalan yang terbaik.

Ibu Hamil Yang Menghidapi HBV Disarankan Agar:
  • Elakkan daripada mengambil minuman beralkohol.
  • Jangan dermakan organ badan.
  • Jangan berkongsi peralatan peribadi seperti berus gigi dan pisau pencukur.
  • Beritahu doktor sakit puan anda tentangnya supaya mereka boleh membuat persediaan rapi ketika menyambut kelahiran bayi anda nanti.
  • Pastikan bayi anda menerima vaksin hepatitis B sejurus selepas dilahirkan dan ketika berusia sebulan. Vaksin seterusnya ialah semasa berusia 6 bulan.
  • Sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. Memantau tahap kesihatan hati dari masa ke semasa.
  • Elakkan penggunaan ubat-ubatan hepatotoxic yang berpotensi untuk memburukkan lagi kesihatan hati anda.

No comments:

Post a Comment