"Untuk Respon Pantas, WASAP Je Kak Engku"

019 2077 643 (Nak Tanya Soalan)
019 366 7525 (Nak Order Barang)
KEPAKARAN Kak Engku adalah membantu Mama semua untuk mendalami dan mempratikkan ilmu Kehamilan, Berpantang, Penyusuan Dan Penjagaan Bayi secara online agar Mama lebih bersedia, sentiasa ceria dan teruja sebelum dan selepas kelahiran. Di samping menyediakan khidmat nasihat berkaitan barangan keperluan berpantang dan set bersalin yang pratikal digunakan dengan harga yang Murah dan Semestinya ORI.

08 June 2010

Vaginitis Menyebabkan Kelahiran Pramatang

Masalah ginekologi selalunya berkait rapat dengan permasalahan pada sistem reproduktif wanita. Penyebabnya termasuklah jangkitan, kecederaan atau perubahan hormon. Salah satu sebab masalah ginekologi yang sering menghantui majoriti wanita ialah Vaginitis.


Apakah Itu Vaginitis


Vaginitis adalah jangkitan atau inflamasi (radang) pada vagina (kemaluan wanita atau faraj). Vaginitis dibahagikan kepada 2 kategori, jangkitan (infeksi) dan bukan jangkitan (non infeksi).

Vaginitis infeksi disebabkan oleh organisma seperti bakteria (Chlamydiae dan Gonococci), fungus (Candida) terutamanya di kalangan wanita yang menghidap diabetes, mengandung atau mengambil antibiotik. Tidak terkecuali, Protozoa (Trichomonas Vaginalis) atau virus (Human papillomavirus dan Herpesvirus).

Manakala vaginitis non infeksi pula berlaku akibat rangsangan bahan-bahan yang terkandung dalam krim, semburan, sabun atau pakaian yang bersentuhan dengan kawasan sekeliling vulva vagina (bahagian luar vagina).

Perubahan hormon sepanjang kehamilan dan menopaus turut menimbulkan masalah keradangan pada vagina.


Tanda-Tanda Vaginitis


Tanda-tanda yang biasa berlaku apabila seseorang itu diserang vaginitis ialah:
  • Cairan vagina berubah menjadi lebih kental, keputihan yang bertukar menjadi kehijauan dan mengeluarkan bau busuk.
  • Vagina vulva terasa gatal dan panas seperti terbakar.
  • Rasa perit ketika baung air kecil dan juga ketika melakukan hubungan seks.
  • Panas pada pangkal paha.
  • Saluran vagina membengkak
Biarpun begitu, bukan semua wanita pernah mengalami tanda-tanda tersebut. Kadang kala vaginitis dikesan setelah pemeriksaan ginekologi seperti pap smear dijalankan.


Rawatan

Vaginitis memerlukan rawatan spesifik bergantung kepada penyebabnya. Vaginitis infeksi dapat dirawat menerusi aplikasi antibiotik, anti fungus atau anti virus. Sementara vaginitis non infeksi boleh dirawat dengan mencari punca berlakunya jangkitan. Contihnya jika vaginitis disebabkan oleh sabun atau losyen pencuci vagina, maka hentikan penggunaannya. Vaginitis yang berlaku kerana perubahan hormon boleh dipulihkan melalui terapi penggantian hormon.


Kesan Vaginitis Pada Wanita Hamil

Walaupun vaginitis akibat jangkitan bakteria boleh disembuhkan, tetapi ia tetap menjadi penyebab utama kematian bayi. Kajian Dr. Sharon Hilier dari University Pittsburgh, Amerika Syarikat menunjukkan bahawa wanita yang menghidap vaginitis (disebabkan oleh bakteria) berdepan risiko kelahiran pramatang sehingga 40 peratus. Berat bayi juga lebih rendah daripada normal. Risiko kematian bayi pramatang pada bulan-bulan pertama adalah 40 kali lebih tinggi, berbanding bayi yang dilahirkan cukup bulan. Bayi pramatang turut berkemungkinan besar mengalami kecacatan mental, kesukaran belajar dan buta.

Tidak dapat dipastikan apakah kaitan kelahiran pramatang dengan vaginitis. Namum, para pengkaji yakin bahawa bakteria yang memasukki cairan atau selaput amnion yang mengelilingi janin menjadi puncanya.

Kajian sama juga mendapati hampir 16 peratus wanita hamil mengalami infeksi vagina. Rata-rata wanita ini melahirkan bayi pada usia kehamilan 7 bulan dengan berat bayi hanya 2 kilogram. 6 peratus daripadanya pula melahirkan bayi yang lebih kecil daripada saiz normal.


Tip Mudah Cegah Vaginitis
  • Ganti pakaian dengan kerap terutamanya pakaian dalam. Pilih seluar dalam yang diperbuat daripada kain kapas. Elakkan memakai seluar dalam daripada material nilon kerana ia boleh merangsang pembiakan bakteria.
  • Jangan pakai seluar panjang terlalu ketat yang menimbulkan rasa panas dan lembap.
  • Jagalah kebersihan alat sulit anda. Cuci vagina sebelum dan selepas melakukan hubungan intim.
  • Untuk mencegah pembiakan bakteria, pastikan bahagian luar vagina (vulva) kering dan dicuci setiap hari.
  • Pengambilan makanan yang seimbang amat penting. Kurangkan makan makanan yang tinggi kandungan gula dan tepungnya.
  • Obesiti juga dapat meningkatkan jangkitan vaginitis kerana kegemukan membuatkan kedua-dua belah paha tertutup rapat. Jadi, kawasan sekeliling vagina menjadi lembap dan menghalang pengaliran udara.
  • Pastikan anda cukup rehat dan kawal diri agar tidak stres.

Info

Vaginitis boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja. Sekiranya mengidap vaginitis, anda dinasihatkan menjalani ujian darah bagi mengesan diabetes. Lakukan juga pap smear kerana ujian itu mungkin boleh mendedahkan masalah lain yang lebih serius.

No comments:

Post a Comment