"Ibu, sempurnakanlah pembangunanku. Belajarlah sehingga ibu mengetahui apa, mengapa dan bagaimana".
Banyak yang yang boleh dilakukan oleh seseorang ibu bagi menyempurnakan pembangunan anaknya. Ibu bapa harus tahu apa, mengapa dan bagaimana.
Persoalan 'apa' adalah perkara yang amat penting. Ibu bapa perlu mengetahui 'apa' yang hendak ditingkatkan. Selepas itu barulah boleh memikirkan 'mengapa' dan 'bagaimana'. Jika persoalan 'apa' tidak dihuraikan atau difahami dengan betul, ibu bapa tidak akan dapat melakarkan tindakan-tindakan atau cara-cara tentang bagaimana anak itu perlu dibesarkan.
Mereka juga tidak akan mengetahui dalil-dalil tentang mengapa sesuatu tindakan atau cara perlu dilaksanakan. "Apa' mesti diselesaikan dahulu. Oleh itu sekiranya anda mempunyai anak berusia dua bulan, pasangan suami isteri perlu memahami perkara-perkara berikut:
- Anak dilahirkan sebagai anak manusia dan kemampuan yang perlu diperoleh adalah kemampuan manusia.
- Dari waktu lahir, kita perlu tahu bahawa kemampuan manusia wujud dalam bentuk kemampuan reflek seperti daya hisapan, genggaman, koordinasi, terkejut, reflek cahaya dan sebagainya. Kemampuan-kemampuan ini perlu dijaga dan ditingkat sejak awal.
- Seterusnya ibu bapa perlu memahami tahap-tahap pembangunan menyusul.
- Akhirnya ibu bapa perlu mengetahui kemampuan-kemampuan manusia yang tertinggi yang boleh diperoleh oleh anak. Inilah persoalan yang terpenting bagi membantu ibu bapa.
Bagi, menentukan apa yang perlu dipertingkatkan, carilah ilmu atau info yang berkaitan pembangunan anak-anak serta dikaitkan bersama-sama kurniaan yang telah diberikan oleh Allah s.w.t kepada anak-anak kita, agar kita dapat melahirkan kemampuan-kemampuan tertinggi antaranya:
- Anak perlu hidup dan selamat sehingga ia boleh menjaga dirinya bagi menyempurnakan fardu ain dan fardu kifayah dengan terbaik.
- Ia perlu memperoleh tahap kesihatan sehingga ia jadi manusia yang sihat dan jika uzur akan cepat sembuh.
- Daya pendengaran perlu diperkaya sehingga ia memahami berbagai bahasa dan mengenal bunyi-bunyi.
- Daya penglihatan perlu dipertingkatkan sehingga boleh membaca bahasa-bahasa dan mengenal simbol-simbol.
- Daya sentuhan perlu dipertingkatkan sehingga mampu mengenal benda-benda melalui sentuhan tanpa melihat.
- Gerak-gerinya diperhebat sehingga ia boleh melakukan gerak-geri manusia dengan tepat dan halus.
- Daya fikirnya dipertingkat sehingga ia mampu mengatasi masalah dengan penuh adab dan berkesan.
- Daya firasatnya disempurnakan sehingga ia menjadi orang yang berimaginasi, kreatif dan berwawasan.
- Anak juga bukan sahaja mempunyai adab dan harga diri, tetapi menghargai benda dan orang disekelilingnya dan tentu sekali taat kepada ibu bapa dan Allah s.w.t.
- Anak mempunyai daya emosi yang amat positif dan boleh mengatasi nafsunya dengan menggunakan akal dan imannya.
- Anak mempunyai maruah diri dan jati diri yang tinggi dan boleh menjadi pemimpin dan juga boleh dipimpin.
No comments:
Post a Comment