"Untuk Respon Pantas, WASAP Je Kak Engku"

019 2077 643 (Nak Tanya Soalan)
019 366 7525 (Nak Order Barang)
KEPAKARAN Kak Engku adalah membantu Mama semua untuk mendalami dan mempratikkan ilmu Kehamilan, Berpantang, Penyusuan Dan Penjagaan Bayi secara online agar Mama lebih bersedia, sentiasa ceria dan teruja sebelum dan selepas kelahiran. Di samping menyediakan khidmat nasihat berkaitan barangan keperluan berpantang dan set bersalin yang pratikal digunakan dengan harga yang Murah dan Semestinya ORI.

25 October 2010

Rubella Dan Kehamilan

Congenital Rubella Syndrome (CRS) yang menyebabkan kecacatan pada pendengaran, jantung dan mental bayi baru lahir adalah antara masalah yang sering berlaku sebelum vaksin rubella diperkenalkan.

Rubella atau juga dikenali sebagai German Measles ini adalah penyakit yang mudah berjangkit dan disebabkan oleh virus. Penyebaran virus ini berlaku melalui udara iaitu apabila orang yang dijangkiti batuk, bersin ataupun bercakap. Penyakit ini biasa menyerang orang dewasa dan kanak-kanak. Bagi kedua-dua kelompok itu, serangan tersebut mudah pulih. Akan tetapi, jika rubella menyerang ibu hamil, kesannya sangat buruk. Hal ini adalah kerana yang terlibat dan menanggung penderitaan ialah bayi dalam kandungan.

Serangan penyakit ini biasanya akan menunjukkan beberapa simptom. Kesemua gejala ini biasanya muncul selepas 12 hingga 23 hari dijangkiti. Simptom peringkat pertama serangan rubella ialah demam, pembengkakan dalam tempoh satu hingga lima hari selepas dijangkiti virus. Kemudian, itu barulah ruam mula kelihatan.

Ruam

Ruam biasanya akan hilang selepas beberapa hari. Lazimnya ruam akan mula kelihatan pada muka dan kemudian barulah merebak ke bahagian tubuh yang lain. Pembengkakan kelenjar dan sakit sendi akan dirasai untuk tempoh beberapa minggu.

Penyebaran virus mula berlaku setelah ruam muncul dengan banyaknya. Pun begitu, tidak dinafikan bahawa ada kalanya individu yang diserang penyakit ini langsung tidak menunjukkan sebarang tanda.

Sememangnya, kemungkinan bagi seseorang itu mendapat rubella sangat kecil. Akan tetapi, adalah penting untuk mengetahui adakah anda sudah mempunyai ketahanan badan terhadap penyakit itu ataupun tidak, demi untuk menyelamatkan bayi sekiranya anda hamil kelak.

Ketahuilah bahawa ibu yang dijangkiti rubella pada peringkat awal kehamilan berkemungkinan melahirkan bayi cacat sehingga 80%. Masalah kesihatan yang menyerang bayi yang dijangkiti rubella ini dikenali sebagai Congenital rubella syndrome (CRS). Kecacatan yang bakal dialami mereka adalah pada mata, pendengaran dan jantung. Selain itu, bayi tersebut mungkin akan terencat otak dan mengalami celebral palsy.

Jangkitan

Bayi yang dilahirkan dengan masalah ini lazimnya mengalami perkembangan yang lambat seperti lambat berjalan. Selain masalah kesihatan, jangkitan virus ini boleh mengakibatkan keguguran dan kematian semasa masih dalam kandungan. Pun begitu, jika jangkitan berlaku pada trimester kedua dan ketiga kehamilan, peratusan bayi yang mengalami kecacatan sangat kurang.

Diakui, ada sesetengah bayi yang dijangkiti mengalami masalah kesihatan hanya untuk tempoh yang singkat. Mereka mungkin lahir dengan berat badan yang kurang, ada masalah untuk menyusu, mengalami cirit-birit, pneumonia, meningitis ataupun anemia. Tanda lebam juga mungkin kelihatan pada muka dan badan bayi tersebut. Keadaan ini adalah akibat ketidaknormalan sementara pada darah. Selain itu, hati dan limpa bayi tersebut mungkin membesar.

Bagi kebanyakan bayi yang diserang rubella semasa masih dalam kandungan, mereka lazimnya tidak menunjukkan sebarang tanda yang ketara ketika dilahirkan. Akan tetapi, semua bayi ini perlu diberikan pemantauan rapi kerana masalah penglihatan, pendengaran, pembelajaran dan tingkah laku sukar dikesan pada peringkat awal. Kanak-kanak yang diserang CRS turut berpotensi untuk mendapat diabetes sama ada ketika masih kanak-kanak ataupun setelah dewasa.

Vaksin

Sebenarnya tidak ada ubat spesifik yang boleh digunakan untuk merawat masalah kesihatan yang wujud akibat serangan penyakit tersebut. Hal ini adalah kerana masalah kesihatan yang timbul itu pelbagai. Biasanya bayi ini akan dirawat berdasarkan sakit atau masalah kesihatan yang dialaminya ketika itu. Jika masalah yang dihidapi ialah ketidaknormalan pada darah dan hati, lazimnya masalah tersebut akan hilang begitu sahaja tanpa rawatan tertentu. Dan kecacatan lain seperti pada mata dan jantung biasanya boleh dirawat. Paling tidak pun pembedahan akan dilakukan. Pembedahan pada peringkat awal selalunya menjanjikan peratusan kejayaan yang tinggi.

Serangan rubella ini boleh dielakkan jika seseorang itu telah mendapatkan vaksin pencegahan sebelum hamil. Vaksin yang dikenali sebagai MMR (Measles-Mumps-Rubella Vacine) ini penting bukan sahaja pada seseorang wanita itu, tetapi juga pada bayi yang bakal dikandungi. Pun begitu, bagi wanita yang belum lagi mendapatkan suntikan vaksin tersebut tetapi telah hamil, mereka dinasihatkan agar menjauhkan diri daripada individu yang menghidapi rubella. Pengambilan vaksin rubella sangat TIDAK digalakan ketika hamil. Seseorang wanita itu perlu tunggu sehingga sekurang-kurangnya 4 minggu selepas mendapat suntikan vaksin rubella sebelum mengambil keputusan untuk hamil.

No comments:

Post a Comment