Jika dulu persoalan mengenai seks boleh dikatakan
'taboo' dan tidak elok dibincangkan secara terbuka kerana ramai menganggapnya
sesuatu yang memalukan. Tetapi kini ramai wanita semakin bersikap terbuka dan
tidak segan meluahkan perasaan terutama kepada pakar perubatan.
Menurut pakar runding Obsetrik dan Ginekologi Pusat
Perubatan Kelana Jaya, Dr. Dharmini Veerakumaran, kini semakin ramai
wanita yang tampil menceritakan masalah berkaitan seksual. Beliau yang juga
mengendalikan program kesuburan mendapati masalah kurangnya kekerapan melakukan
hubungan intim menyebabkan pasangan berkenaan sukar hamil.
"Ketika itu pesakit akan menjalani sesi
kaunseling dan amat memeranjatkan apabila mereka mendedahkan mengadakan
hubungan intim sekali dalam sebulan," katanya. Masalah kurangnya keinginan
melakukan intim bersama-sama pasangan semakin meningkat di kalangan wanita.
"Terdapat dua kategori besar yang menyumbang
kepada masalah berkenaan iaitu fizikal dan psikologi," katanya. Masalah
fizikal biasanya berkaitan dengan kesihatan seperti anemia atau kekurangan
darah. Dr. Dharmini berkata, apabila seorang mengalami anemia, badan mereka
mudah menjadi letih dan lemah."Secara tidak langsung, ini akan menjejaskan
keinginan untuk berhubungan intim dengan pasangan," katanya. Selain itu,
jelas Dr. Dharmini, penyakit kronik seperti diabetes dan jantung juga bukan
saja menyebabkan mati pucuk bagi lelaki tetapi juga pada wanita.
Penyakit berkenaan akan menyebabkan gangguan kepada
saraf di hujung anggota badan seperti hujung kaki dan juga kemaluan. "Biasanya
hujung anggota akan menjadi kebas dan tidak lagi dapat menerima
rangsangan," katanya. Selain itu trauma sakit selepas bersalin atau post
baby coolness menyebabkan wanita kurang berminat untuk mengadakan hubungan
intim.
Sementara itu perubahan hormon semasa hamil dan
selepas bersalin menyebabkan wanita tiada perasaan untuk hubungan intim dengan
pasangan. Dr. Dharmini berkata, ubat-ubatan yang diambil seperti ubat sawan,
ubat anti psikotik juga menyebabkan pesakit seperti tidak mempunyai 'perasaan'
yang menjalinkan hubungan intim.
"Kajian menunjukkan kekurangan hormon tertentu
dalam badan seorang wanita juga boleh menyebabkan keinginan seksualnya
berkurangan. "Bagaimanapun ia masih lagi dalam kajian," katanya. Penyalahgunaan
dadah. Selain itu penggunaan najis dadah dan ketagihan alkohol juga menyumbang
kepada gangguan seksual wanita.
"Jangan salah sangka kerana penagih najis
dadah dan alkohol masih boleh melakukan hubungan intim tetapi tidak mempunyai
sebarang perasaan," katanya. Dr. Dharmini menambah, adalah tidak benar
mengatakan menopaus menyebabkan keinginan seksual wanita semakin menurun. Wanita
yang telah menopaus, mengambil terapi hormon, sentiasa menjaga kesihatan dan
melakukan senaman ringan secara berterusan dapat mengembalikan keinginan
seksual seperti wanita muda.
Sementara itu penyumbang yang kedua adalah
berkaitan dengan psikologi seperti stres, tekanan, penat bekerja, cemas,
ketakutan, mempunyai sejarah penderaan seksual atau pasangannya yang mempunyai
pasangan lain. Wanita bekerjaya yang sibuk dengan tugasan pejabat selain
terpaksa melayan kerenah anak dan membuat pelbagai kerja rumah akan menolak
permintaan pasangan.
"Biasanya pada usia menopaus, pasangan suami
isteri telah stabil dari segi kewangan selain kurang tanggungjawab terhadap
anak-anak. "Ini memberikan lebih masa untuk bersama-sama pasangan,"
katanya. Dr. Dharmini berkata, wanita yang mempunyai masalah berkenaan perlu
keluar daripada kepompong dan berbincang dengan keluarga, komuniti atau pakar
perubatan.
Jika masalah berkaitan dengan fizikal, pesakit
perlu berbincang dengan doktor bagi mengatasi masalah yang dihadapi. "Jika
disebabkan pengambilan ubatan akibat penyakit kronik, mungkin doktor boleh
menasihatkan agar menukar atau mengurangkan pengambilan ubat. "Mereka juga
boleh melakukan senaman ringan selain pasangan perlu menghadiri kaunseling bagi
membincangkan masalah yang dihadapi," katanya. Dr. Dharmini berkata, terdapat juga wanita mati
putik yang mengambil viagra dengan harapan meningkatkan fungsi seksual mereka. Menurutnya,
viagra hanya berfungsi untuk meningkatkan pengaliran darah di alat sulit lelaki
dan tidak berkesan kepada wanita. "Buat masa ini saintis masih menjalankan
penyelidikan mencari penawar bagi meningkatkan libido wanita tetapi masih
menemui jalan buntu," katanya.
Ditanya sama ada mati putik boleh diubati, Dr.
Dharmini berkata, masalah berkenaan boleh diubati apabila puncanya dapat
dikenalpasti. Apabila punca telah dikenalpasti, jelasnya, maka penyelesaian
akan menjadi lebih mudah. "Apa yang penting pesakit perlu datang jumpa
doktor mendapat rawatan," pesan Dr. Dharmini.
Menurut beliau, mati putik boleh berlaku pada
wanita tidak kira usia tetapi lebih kepada hubungan dengan pasangan. Biasanya
hubungan akan menjadi hambar selepas usia perkahwinan lima tahun dan mungkin
akan meningkat semula jika pasangan melakukan aktiviti bersama-sama seperti
bercuti.
No comments:
Post a Comment