SEORANG wanita yang baru saja melahirkan anak
menderita penyakit buasir sejak hamil dan semakin parah apabila
melahirkan anak secara normal. Wanita berkenaan menderita buasir kerana
kandungannya yang besar menekan usus dan menyebabkan sembelit. Selepas bersalin, buasirnya semakin parah. Doktor menasihatkannya
merendam buasir tadi di dalam air garam suam selama 10 hingga 15 minit
untuk mengecutkannya.
Bagaimanapun jika buasir tidak kecut, pembedahan dengan bius separuh badan dilakukan. Biasanya pembedahan menggunakan laser bagi mengurangkan kesakitan
dan darah. Terdapat juga pakar perubatan menggunakan dawai kokot atau stapler atau getah untuk mengikat buasir bagi menghalang perjalanan darah.
Teknik ini akan menyebabkan buasir tertanggal dengan sendiri dalam masa dua hingga empat minggu.
Penyakit buasir atau hemoroid adalah penyakit yang terjadi di
bahagian dubur. Ia berlaku apabila saluran darah mengembang dan bengkak
di sekitar dubur (rektum dan anus). Buasir boleh menyerang sesiapa saja, tidak kira usia dan jantina. Biasanya tanda awal berlaku sewaktu meneran terutama apabila
sembelit membuang air besar sehingga menyebabkan sel bengkak melapisi
saluran dubur.
Sembelit boleh berlaku akibat jangkitan kuman dalam
usus termasuk gastrik, mereka yang mengalami sembelit sejak kecil, diet
kurang fiber, kanser usus dan penyakit luar biasa usus besar. Biasanya pesakit buasir yang berusia lebih 40 tahun perlu menjalani
pemeriksaan usus besar untuk mengetahui keadaan di dalamnya.
Kebarangkalian mereka yang berusia antara 20 hingga 50 tahun lebih
terdedah kepada buasir tetapi terdapat juga kes bayi menderita buasir
kerana kelainan pada usus. Terdapat juga buasir yang bukan disebabkan oleh
masalah usus tetapi saluran darah di hujung usus besar tersumbat. Apabila sembelit, pesakit perlu meneran setiap kali membuang air besar menyebabkan darah sukar kembali ke jantung.
Salur darah akan tersumbat dan bengkak menyebabkan tisu elastik
darah longgar, nipis atau hilang hingga menyebabkan buasir yang parah. Terdapat empat peringkat buasir. Bagi peringkat pertama dan kedua pesakit boleh dirawat tanpa pembedahan. Pesakit perlu mengambil ubat pada dos yang betul untuk mengecutkan
buasir, menghentikan pendarahan dan melawaskan buang air besar.
Pada peringkat tiga, biasanya 10 peratus pendarahan akibat buasir
tidak boleh dihentikan dengan ubat. Biasanya buasir akan diikat dengan
gelang getah untuk menyekat saluran darah dan buasir akan tanggal dalam
masa dua minggu. Pada peringkat empat apabila keadaan semakin parah dengan pendarahan
dan nanah tetapi tisu elastik masih ada, pembedahan tidak perlu
dijalankan.
Bagaimanapun apabila keadaan semakin teruk kerana tisu elastik sudah hilang, pembedahan perlu dijalankan. Pesakit buasir perlu mengubah gaya hidup untuk sentiasa sihat. Pesakit perlu jaga pemakanan dengan kurangkan makanan di luar, lebihkan fiber, banyak minum air suam dan senaman. Seelok-eloknya hentikan merokok, minum arak dan kurangkan pedas dan gunakan tandas duduk. Jika masalah buasir berulang pesakit terus berjumpa doktor untuk rawatan susulan.
No comments:
Post a Comment