APABILA ke pusat beli-belah dan kedai-kedai makan di serata tempat di negara ini, biasa anda saksikan ramai kanak-kanak dan anak muda yang berlebihan berat badan.
Jika tidak menjaga diet, jumlah mereka yang berlebihan berat badan dan obes akan terus meningkat bahkan menjadi epidemik.
Jadi, para ibu bapa dan penjaga, adakah anak-anak anda menghampiri tahap ini atau mereka sudahpun mencapai tahap tersebut?
Pastikan mereka sihatAmalan gaya hidup sihat haruslah bermula daripada kecil.
Ahli Majlis Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), Dr. Zawiah Hashim menegaskan penting bagi kanak-kanak mengambil kalori dan nutrien yang mencukupi untuk pertumbuhan dan perkembangan yang normal.
Namun, ini mesti diawasi dengan berhati-hati supaya kanak-kanak tidak mengambil terlalu banyak kalori.
Rumah adalah tempat terbaik untuk mencipta persekitaran yang lebih sihat untuk kanak-kanak.
"Ibu bapa tidak harus memandang rendah risiko kesihatan yang berkaitan dengan berlebihan berat badan. Kunci untuk anak-anak kekal pada berat badan yang sihat adalah dengan mengambil pendekatan "seluruh keluarga". Ahli keluarga biasanya mengamalkan cara makan yang sama, mengekalkan tahap aktiviti fizikal yang sama dan mempunyai sikap yang sama terhadap berlebihan berat badan. Oleh itu, ibu bapa mesti mengamalkan apa yang mereka ajar dan menjadikan tabiat makan secara sihat serta aktiviti fizikal sebagai satu urusan keluarga," jelas beliau.
Dr. Zawiah menyarankan supaya anak-anak dilibatkan dalam perancangan dan penyediaan hidangan sihat dengan membawa mereka membeli barangan runcit agar dapat belajar cara untuk membuat pilihan makanan yang sihat.
Ini juga memberi peluang kepada kanak-kanak mengenal pasti dan memilih makanan yang lebih berkhasiat di kantin sekolah.
"Apabila anda makan di luar bersama anak-anak, kerap kali mereka mahu memilih makanan yang mereka inginkan dan selalunya lebih menggemari makanan segera. Apa yang anda perlu lakukan sebagai ibu bapa adalah bertegas dan tidak tunduk dengan keinginan mereka. Ini untuk memastikan mereka mengamalkan tabiat makan secara sihat," tambah Dr. Zawiah.
Di samping itu, ibu bapa harus menetapkan garis panduan mengenai jumlah masa yang dihabiskan oleh anak anda dengan aktiviti sedentari seperti menonton televisyen atau menghadap komputer. Had masa anak anda di depan skrin tidak boleh melebihi dua jam sehari kerana kanak-kanak yang menghabiskan masa berjam-jam menonton televisyen lebih cenderung menjadi gemuk.
Anda juga disaran melakukan aktiviti bersama keluarga termasuk bersenam, berbasikal, berjalan kaki atau setidak-tidaknya membersihkan halaman rumah atau mencuci kereta agar anak anda kekal aktif selalu.
"Jadilah teladan yang terbaik untuk anak-anak anda dan bantulah mereka memupuk tabiat makan secara sihat di samping mengamalkan gaya hidup yang aktif," nasihat Dr. Zawiah.
No comments:
Post a Comment