"Untuk Respon Pantas, WASAP Je Kak Engku"

019 2077 643 (Nak Tanya Soalan)
019 366 7525 (Nak Order Barang)
KEPAKARAN Kak Engku adalah membantu Mama semua untuk mendalami dan mempratikkan ilmu Kehamilan, Berpantang, Penyusuan Dan Penjagaan Bayi secara online agar Mama lebih bersedia, sentiasa ceria dan teruja sebelum dan selepas kelahiran. Di samping menyediakan khidmat nasihat berkaitan barangan keperluan berpantang dan set bersalin yang pratikal digunakan dengan harga yang Murah dan Semestinya ORI.

07 October 2011

Risiko Ke Atas Bayi

Anak yang dikandung sudah tentu diharap membawa sinar kebahagiaan kepada keluarga. Jika musibah menimpa, si manja mungkin menemui ajal sebelum mengenal dunia mahupun mengalami kecacatan tanpa dipinta.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia, mendefinisikan bayi meninggal semasa dilahirkan adalah selepas tempoh 28 minggu di dalam kandungan. Manakala Malaysia menggangap bayi mati ketika berada dalam kandungan selepas minggu ke 22 sebelum dia sempat dilahirkan.

Jurnal perubatan utama dunia, The Lancet mencatatkan sekitar 2.6 juta bayi meninggal dunia semasa dilahirkan setiap tahun, menjadikan jumlah bayi mati semasa dilahirkan berjumlah 7,000 setiap hari! Daripada jumlah itu, 98% kematian bayi berasal dari negara-negara membangun.

3 petunjuk yang boleh anda gunakan untuk mengenal pasti bayi mati dalam kandungan ialah bayi tidak lagi bergerak untuk satu jangka masa panjang, rahim tidak membesar seperti yang sepatutnya dan tiada degupan jantung atau pergerakan bayi sewaktu ujian imbasan bunyi dilakukan.

Punca-punca yang sering dikaitkan kepada permasalahan ini termasuklah komplikasi penyakit yang dialami ibu seperti tekanan darah tinggi dan diabetes. Begitu juga dengan kecederaan di bahagian abdomen si ibu. Uri yang yang bermasalah turut boleh menjadi penyebabnya di mana ia terpisah daripada rahim terlalu awal atau berlakunya pendarahan daripada tali pusat dan uri.

Punca lain yang turut tersenarai ialah jangkitan yang dialami ibu atau bayi dalam kandungan seperti toxoplasmosis, rubella cytomegalovirus dan herpes. Tidak terkecuali kecacatan struktur bayi. Biasanya jika ia membabitkan paru-paru, jantung, otak dan buah pinggang. Sementara itu, masalah kromosom tidak normal merupakan sebab paling utama kematian bayi di peringkat awal kehamilan.

Kira-kira separuh daripada kematian bayi ini disebabkan komplikasi semasa ibu melahirkan! Jadi, sekiranya anda mengamalkan gaya hidup sihat sepanjang masa waima sebelum disahkan hamil sehinggalah menghampiri detik kelahiran, peratusan ini dapat dikurangkan. Panduan berkenaan perlu anda ikuti jika mahu mengurangkan risiko bayi lahir mati:
  1. Memastikan penyakit diabetes atau darah tinggi terkawal.
  2. Mendapatkan pelalian rubella sebelum merancang hamil.
  3. Mengelak daripada memakan daging mentah dan makanan mentah lain yang tidak dicuci sempurna.
  4. Mencuci tangan dengan kerap selepas melakukan sesuatu aktiviti.
  5. Tidak merokok atau menyalah guna dadah apatah lagi ketika hamil.
Terdapat beberapa faktor yang dapat memastikan keselamatan ibu dan bayi semasa kelahiran. Antaranya ialah melalui penjagaan kesihatan. Jika menghidap anemia, anda perlu diberi rawatan ketika hamil. Sama halnya jika anda menghidap penyakit tertentu. Ia perlu mendapat jagaan rapi sepanjang kehamilan mahupun ketika bersalin.

Penjagaan diri ketika hamil adalah penting dalam menetukan anda dan bayi selamat. Justeru, anda perlu mendapatkan pemeriksaan antenatal di klinik atau hospital pilihan. Jika didapati menghidap penyakit tertentu, anda akan diberikan rawatan sewajarnya agar tidak menimbulkan kecelakaan ketika bersalin.

Dalam pada itu, pilihan tempat kelahiran yang selamat turut penting. Ini bermaksud tempat itu perlu mempunyai kemudahan, peralatan dan kakitangan terlatih untuk mengatasi sebarang kecemasan.


Kecacatan Boleh Diatasi Dari Awal

Risiko kecacatan bayi dapat dielak dengan merancang kehamilan sebaik-baiknya. Oleh kerana itu, 3 bulan sebelum hamil anda perlu mengambil asid folik mencukupi. Amalan ini harus diteruskan di 3 bulan pertama kehamilan. Ketahuilah, kebanyakkan kecacatan yang melibatkan mana-mana organ janin berlaku semasa tumbesaran berada di trimester pertama kehamilan.

Ada sesetengah bayi mati semasa masih dalam kandungan dan selebihnya berjaya dilahirkan tetapi memerlukan rawatan bagi membaikpulih kecacatan itu. Menerusi perawatan yang betul, ada bayi dapat membesar dengan normal. Tidak kurang juga yang terpaksa berterusan menjalani pemeriksaan sepanjang hayat seperti keabnormalan jantung dan kecacatan pendengaran. Kecacatan dapat dibahagikan kepada 2 jenis:


Kecacatan Fizikal Atau Struktur

Keadaan ini merujuk kepada kehilangan sebahagian daripada bahagian tubuh atau terdapatnya kelainan struktur luaran seperti kecacatan jantung ataupun kecacatan kaki.


Kecacatan Genetik

Hal ini selalunya berpunca daripada kesilapan gen yang diwarisi, kehilangan atau pertambahan bilangan kromosom mahupun gabungan pelbagai faktor. Difahamkan, kebanyakan ibu hamil hanya mempersiapkan diri untuk menghadapi proses kelahiran tetapi tidak melakukan hal yang sama sebelum hamil. Seharusnya, persediaan sebelum mengandung turut sama perlu dititikberatkan agar dapat menghindarkan bayi dalam kandungan daripada mengalami sebarang keabnormalan.

Untuk itu, kesihatan diri perlu sentiasa diuatamakan. Dapatkan nasihat daripada doktor jika yang ada kemusykilan seperti yang ada melibatkan pendedahan diri anda mahupun suami terhadap bahan kimia di tempat kerja. Sama juga halnya dengan ubat-ubatan yang diambil sebelum atau semasa hamil. Soalan-soalan perlu dijawab oleh pakar kerana dikhuatiri tanpa maklumat yang betul, ia mungkin boleh membahayakan anda dan kandungan.

Sekiranya menghidap penyakit-penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, tiroid sawan dan sebagainya, dapatkan pandangan doktor sebelum merancang kehamilan. Sekiranya tidak mendapatkan pemantauan sewajarnya daripada doktor, ia boleh mengundangkan kecacatan kepada bayi.

Ujian saringan perlu dilakukan untuk mengetahui sama bayi menghidap sebarang penyakit keturunan. Namun, perlu anda tahu, tiada satu ujian tunggal yang dapat mencari kesemua keabnormalan kandungan. Antara ujian yang boleh anda jalani untuk mengesan kecacatan yang mungkin mengenai bayi ialah:


Ujian Saringan Pembawa

Ia dapat menentukan sama ada anda atau suami membawa gen rosak yang boleh mengakibatkan penyakit tertentu seperti hemofilia, Huntington's, distropi muskular duchenne dan lain-lain. Untuk itu, sampel darah ataupun air liur akan diambil. Ujian ini boleh dijalankan sebelum, semasa mahupun selepas melahirkan.

Ujian Imbasan Ultra Bunyi

Ujian ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang kehamilan. Melalui ujian ini, ia dengan jelas menunjukkan struktur dan organ bayi. Jika ia menampakkan sesuatu yang luar daripada kebiasaan, ujian ultra bunyi lanjutan akan dilakukan. Teknologi imbasan ultra bunyi 4D digunakan.

Ujian Darah Ibu

Ujian saringan darah ibu dijalankan untuk menentukan secara am sama ada bayi berisiko terhadap penyakit tertentu seperti kecacatan tiub neural, kecacatan dinding abdomen, sindrown down ataupun trisomi 18. Jika sebelum ini, anda pernah melahirkan bayi cacat, anda perlu menjalani ujian lebih khusus untuk mengesahkan keselamatan bayi yang dikandung.

Ujian Saringan Trimester Pertama

Ujian ini dilakukan sewaktu kandungan berusia di antara 10 hingga 14 minggu. Biasanya gabungan ujian ultra bunyi saringan nuchal translucency dan ujian darah dilakukan untuk mengandaikan sindrom down, trisomi 18 dan kecacatan jantung.
  1. Pemeriksaan terperinci ultra bunyi. Ekokardiogram bayi juga dijalankan untuk melihat jantungnya.
  2. Pensampelan vilus korionik (CVS). Ujian ini mengambil contoh tisu pada plasenta iaitu pada vilus yang mempunyai urutan genetik yang sama dengan janin.
  3. Amniocentesis - sel-sel bayi daripada cecair amniotik dikaji untuk menentukan keabnormalan genetik dan kromosom. Ujian alfafetoprotein juga dapat menentukan sama ada janin mempunyai kecacatan tiub neural.
  4. Pensampelan darah janin. Darah diambil daripada vena tali pusat untuk diuji. Lazim dilakukan apabila keputusan ultrabunyi, CVS atau amniosentesis tidak begitu menyakinkan.

5 comments:

  1. salam, ok boleh aje.

    ReplyDelete
  2. info yang cukup memberi maklumat kepada saya....bakal ibu...semoga bayi yg dikandung tiada sebarang penyakit merbahaya aminnnnnnnn

    ReplyDelete
  3. adik saya baru sahaja melahirkan anak melalui pembedahan dalam usia kandungan baru 34 minggu kerana turun darah. Bayinya dimasukkan dalam incubator namun fizikalnya sedikit membimbangkan iaitu kakinya terkangkang dgn agar ketara...apakah kemungkinan puncanya?

    ReplyDelete
  4. dlm usia kandungan/trimester berapakah selalunya terjadi bayi mati dlm kandungan?

    ReplyDelete