"Untuk Respon Pantas, WASAP Je Kak Engku"

019 2077 643 (Nak Tanya Soalan)
019 366 7525 (Nak Order Barang)
KEPAKARAN Kak Engku adalah membantu Mama semua untuk mendalami dan mempratikkan ilmu Kehamilan, Berpantang, Penyusuan Dan Penjagaan Bayi secara online agar Mama lebih bersedia, sentiasa ceria dan teruja sebelum dan selepas kelahiran. Di samping menyediakan khidmat nasihat berkaitan barangan keperluan berpantang dan set bersalin yang pratikal digunakan dengan harga yang Murah dan Semestinya ORI.

27 June 2010

Perancangan Kewangan Menyambut Cahaya Mata

Sama ada anda baru mendirikan rumahtangga ataupun telah lama berkahwin, kehadiran seorang cahaya mata pastinya sangat mengujakan. Berita tersebut sudah semestinya menggembirakan anda berdua, tetapi pada masa yang sama pelbagai persoalan turut bermain di fikiran. Kehidupan anda yang dahulunya dilalui berdua bakal melalui perubahan yang ketara.

Ketika menanti kehadiran si kecil, kebanyakan pasangan mengabaikan aspek perbelanjaan yang bakal mengiringi cahaya mata mereka. Hal-hal yang dahulunya tidak penting kini mula menjadi keutamaan, contohnya perbelanjaan untuk lampin, susu dan juga simpanan untuk pendidikan tinggi. Sekiranya anda mula membuat bajet dan pelan kewangan keluarga, besar kemungkinan tidak wujud banyak masalah berhubung pelbagai keperluan untuk anak yang bakal menyusul kelak.

Di akhir artikel ini, anda akan dapat mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil untuk merancang kewangan bedasarkan keperluan terkini keluarga dengan mengambil kira kehadiran si kecil nanti.


Langkah 1 (Ketahui Kedudukan Kewangan Anda)

Setiap pasangan ibubapa pasti bersetuju bahawa keperluan si kecil mengatasi segala aspek lain. Akan tetapi, jangan abaikan komitmen yang sedia ada seperti pembiayaan rumah, kereta dan sebagainya kerana ia juga sebahagian daripada tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Apabila berbincang tentang perbelanjaan keluarga, anda perlu ingat bahawa perbelanjaan akan datang bukan sahaja untuk keperluan bayi seperti baju dan lampin, tetapi juga keperluan ibu sebelum dan selepas bersalin.


Langkah 2 (Buat Senarai Semak)

Senarai semak banyak membantu ketika membuat perancangan kewangan. Anda dan pasangan seharusnya menyenaraikan barangan atau perkhidmatan yang anda rasa perlu mengikut kategori, seperti peralatan untuk perjalanan jauh, perabot bayi, perkakas mandian, pemakanan bayi dan lain-lain. Dengan menyenaraikannya mengikut kategori, anda dapat mengenal pasti sekiranya terdapat barang keperluan lain yang masih belum disenaraikan. Jangan lupa untuk memasukkan satu kategori bagi keperluan kecemasan, contohnya apabila isteri terpaksa menjalani pembedahan bagi melahirkan anak atau lain-lain keperluan perubatan yang mungkin terlibat.


Langkah 3 (Buat Perbandingan Harga)

Ketika membeli belah berdasarkan senarai semak anda, jangan terlalu gopoh dengan terus membeli barang pertama yang anda lihat. Luangkan sedikit masa untuk membandingkan harga jenama-jenama yang berbeza dan pastikan anda mencatat harga barangan tersebut dalam senarai semak anda. Jangan terpengaruh dengan jenama terkenal. Selalunya anda boleh membeli barang yang sama kualitinya setanding dengan barangan berjenama, tetapi pada harga yang lebih rendah. Di samping itu, jangan malu untuk bertanya kepada jurujual tentang kegunaan barangan bayi yang dibeli. Kadangkala, barangan yang anda rasa perlu dibeli sebaik sahaja bayi dilahirkan sebenarnya hanya diperlukan apabila bayi anda lebih besar kelak.


Langkah 4 (Beli Apa Yang Perlu Sahaja)

Setelah selesai membandingkan harga dan barangan yang diperlukan, lihat kembali senarai semak anda. Bezakan antara barangan yang betul-betul mustahak untuk menyambut ketibaan bayi dan apa pula barangan yang boleh ditangguhkan pembeliannya pada kemudian hari. Pada masa yang sama, keluarkan senarai barang yang tidak perlu daripada senarai semak dan tandakan barangan yang boleh ditangguhkan (KIV).


Langkah 5 (Bertukar Barangan Bayi)

Banyak barangan bayi yang boleh kita gunakan semula, antaranya katil bayi, bauian, kereta tolak, walker dan sebagainya. Barangan ini selalunya boleh kita pinjam atau bertukar-tukar guna bersama ahli keluarga dan sahabat handai. Oleh kerana kebanyakan barangan ini hanya digunakan hanya seketika atau pada umur tertentu si kecil, maka adalah lebih praktikal dan menjimatkan jika kita bertukar-tukar menggunakannya secara bergilir-gilir. Dengan cara ini anda dapat menjimatkan perbelanjaan di samping mengelakkan pembaziran daripada berlaku.


Langkah 6 (Buat Senarai Permintaan - Wish List)

Selalunya, ahli keluarga dan sahabat andai gemar membelikan hadiah untuk si kecil. Ada kalanya, disebabkan terlalu banyak barangan bayi yang terdapat di pasaran, mereka kurang kurang pasti apa yang harus dibeli dan akhirnya membeli barangan seperti permainan atau lain-lain yang tidak begitu diperlukan. Oleh itu, buatlah satu senarai permintaan (wish list) untuk barangan yang anda mahu, bersama dengan harga dan tempat pembelian. Kemudian, sebarkan senarai tersebut melalui emel, blog-blog ataupun rangkaian-rangkaian sosial yang lain agar sahabat handai anda boleh menghadiahkan barangan tersebut kepada anda.

Pada peringkat ini, anda mungkin sudah mengetahui cara-cara berhadapan dengan isu-isu kewangan yang bakal dihadapi. Jangan lupa tentang perbelanjaan akan datang yang perlu ditanggung seperti pemeriksaan bulanan bayi, pusat asuhan atau penjagaan bayi. Anda juga sepatutnya mula memikirkan tentang pilihan pelaburan bagi simpanan pendidikan anak anda. Dengan memulakan simpanan pendidikan, anda bukan sahaja menjamin masa depan si kecil, malahan masa depan sendiri juga.

Dengan mengaplikasikan langkah-langkah di atas, adalah diharapkan anda dapat melalui pengalaman indah sebagai ibu dan bapa tanpa risau tentang permasalahan kewangan yang mungkin menimpa. Menimang cahaya mata sudah semestinya satu pengalaman yang sangat manis. Rancang kewangan dari sekarang agar kelahiran si kecil memberikan lebih makna kepada kehidupan anda.

No comments:

Post a Comment