KEPAKARAN Kak Engku adalah membantu Mama semua untuk mendalami dan mempratikkan ilmu Kehamilan, Berpantang, Penyusuan Dan Penjagaan Bayi secara online agar Mama lebih bersedia, sentiasa ceria dan teruja sebelum dan selepas kelahiran. Di samping menyediakan khidmat nasihat berkaitan barangan keperluan berpantang dan set bersalin yang pratikal digunakan dengan harga yang Murah serta Kualiti yang dijamin Tulin.

30 August 2010

Emosi Di Hujung Kehamilan

Sepanjang kehamilan, bukan sahaja berlaku perubahan pada fizikal ibu hamil sebaliknya keseluruhan kehidupan ibu hamil berubah termasuk emosinya. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh perubahan hormon dalam tubuh. Perubahan tersebut membuatkan emosi ibu kadangkala terganggu. Ada masanya ibu berasa gembira, tenang dan bahagia. tetapi, ada juga ketikanya ibu akan berasa sedih dan mengalami tekanan perasaan tanpa diketahui puncanya.

Perasaan ini timbul kerana ibu hamil tidak boleh menerima atau memahami perubahan-perubahan yang berlaku. Misalnya, kebanyakkan ibu hamil terkejut dengan perubahan fizikal mereka. Mungkin dahulu mereka mempunyai bentuk tubuh yang menarik tetapi kini tidak lagi.

Dalam menjalani kehidupan sebagai ibu hamil, soal seks bersama suami menjadi sensitif. Mereka lebih sensitif. Biasanya mereka mempunyai keinginan yang lebih pada perhubungan seks, sementara ada yang tidak mahu langsung melakukan hubungan seks. Keadaan ini boleh mengelirukan suami.

Selain itu, ketika hampir hari bersalin ibu mudah bermimpi atau membayangkan tentang masa depannya, sama ada perkara buruk atau baik. Mereka akan membayangkan wajah bayi yang akan dilahirkan, atau memikirkan apa yang bakal berlaku sekiranya proses kelahiran tidak berjya dan menyebabkan dirinya menemui ajal.

Siapa yang mahu menjaga anaknya ini? Dan banyak lagi persoalan yang bakal timbul. Membayangkan satu-satu perkara itu tidak menjadi salah. Tetapi ingat, jangan terlalu emosi sehingga membuat anda hilang pertimbangan dan kurang keyakinan diri.

Mengatasi Emosi Tidak Tentu

Cara terbaik untuk menghilangkan sebarang masalah berkaitan emosi ini adalah dengan mendapatkan sebanyak mungkin maklumat berkenaan kehamilan. Oleh yang demikian, anda tidak lagi berasa terkejut dengan perubahan demi perubahan yang berlaku sepanjang kehamilan.

Selain itu, berbincanglah dengan suami tentang perasaan yang menghantui anda kini. Misalnya, rasa risau, duka, tidak berkeyakinan, takut dan sebagainya. Kongsi apa juga perasaan anda agar komunikasi anda dan suami tidak terbatas.

Bagaimana untuk memastikan bayi dalam keadaan selamat? Ketahuilah bahawa kemungkinan bayi lahir cacat adalah kecil. Kebanyakan kecacatan berlaku pada minggu-minggu pertama dan berakhir dengan keguguran pada peringkat awal.

Pada minggu ke 13, janin sudah membentuk dengan lengkap dan tidak banyak kesilapan yang boleh berlaku. Sekiranya sentiasa berhati-hati dan menjaga kesihatan, anda akan dapat mengurangkan lagi risiko ke atas bayi anda.

24 August 2010

Kenali Plasenta

Plasenta atau uri merupakan unit penting yang menghubungkan sistem ibu dengan bayi dalam kandungan. Dalam perubatan ia lebih dikenali sebagai Feto Placenta Unit. Plasenta terbentuk daripada proses persenyawaan yang berlaku pada telur dan sperma. Sebahagiannya membentuk janin dan sebahagian lagi membentuk unit plasenta. Ia bertanggungjawab membekalkan nutrien penting bagi bayi, tempat berlakunya pertukaran gas oksigen - karbon dioksida, vitamin, glukosa dalam darah dan hormon-hormon yang diperlukan oleh bayi semasa dalam kandungan.

Plasenta boleh menyalurkan penyakit-penyakit yang dihadapi oleh ibu seperti HIV, siflis, hepatitis dan jangkitan kuman semasa pemindahan kepada bayi. Dengan kata lain, peranan plasenta ialah mengambil alih fungsi sistem organ bayi sebelum ia mencapai kematangan. Bagaimanapun selepas bayi matang (37 minggu) plasenta sudah tidak diperlukan lagi kerana sisitem badan bayi sudah boleh berfungsi sendiri tetapi jika melebihi tarikh bersalin iaitu 10 hari, uri masih boleh berfungsi untuk bayi.

Posisi Plasenta

Pada peringkat awal kehamilan, 90% plasenta berada di segmen bawah rahim dan selepas 7 bulan, 90% plasenta akan berpindah ke segmen atas rahim. Dianggarkan beratnya adalah 1/6 daripada berat bayi semasa dilahirkan ataupun lebih kurang 500 gram.

Bagaimana Plasenta Dikeluarkan?

Plasenta akan dikeluarkan selepas bayi selamat dilahirkan. Biasanya dalam masa 1/2 jam selepas kelahiran bayi, plasenta dapat dikeluarkan, jika tidak, bermakna plasenta mengalami masalah. Terdapat 2 cara plasenta dikeluarkan apabila bersalin normal.

1. Kaedah Pasif

Plasenta dibiarkan lekang secara semulajadi dan keluar sendiri tetapi pakar perubatan jarang menggunakan cara ini kerana ia lambat, senang melekat, boleh menyebabkan pendarahan dan rahim lambat mengecut.


2. Kaedah Aktif

Doktor akan menarik tali pusat dan menolak rahim daripada atas perut serta menarik keluar plasenta secara terkawal, CCT (Control Cord Transaction).

Tanda-Tanda Plasenta Sudah Lekang
  • Berlaku pendarahan secara tiba-tiba tetapi sekejap.
  • Tali pusat bayi semakin panjang.
  • Ibu akan berasa seperti kontraksi sekali lagi.
  • Bonjolan rahim / batu meriyam akan ketara.
Apabila doktor mendapat tanda-tanda tersebut telah ada ia akan bertindak mengeluarkan plasenta dengan segera.

Bersalin secara pembedahan caesarean, doktor akan menggunakan cara MRP (manual remover of plasenta) yakni tangan digunakan untuk mengeluarkan plasenta daripada perut yang telah dibedah.


Plasenta Tidak Normal

Ada beberapa kriteria plasenta tidak normal yang boleh mengundang bahaya kepada ibu iaitu:

1. Uri Melekat (Retained Placenta)

Tanda dan Risiko.
  • Ketiadaan tanda-tanda plasenta sudah lekang selepas 30 minit menunggu.
  • Pengalaman lepas, ibu pernah mengalami masalah plasenta melekat.
  • Pernah menjalani pembedahan caesarean sebelum ini.
  • Pernah menjalani D&C.
  • Mempunyai anak ramai.
  • Kandungan kembar.
  • Kehamilan lewat usia.
Cara Menangani

Ibu perlu dibius. Seterusnya doktor akan cuba membuat MRP dengan memasukkan seluruh tapak tangan ke dalam rahim dan hujungnya akan digunakan untuk mengikis permukaan uri yang melekat di dinding rahim. Doktor akan mengeluarkan plasenta sepenuhnya atau sedikit demi sedikit (serpihan). Bagaimanapun terdapat risiko dengan cara ini iaitu:
  • Uri tidak dapat dikeluarkan sebab tertanam di dalam lapisan otot dinding rahim. Ia dikenali sebagai acretal / percreta. Boleh menyebabkan pendarahan yang banyak. Doktor akan memberikan ubat methtrexate untuk mengecutkan sel-sel plasenta supaya ia keluar sendiri melalui pembedahan histeraktomi (buang rahim) terutama kepada pesakit yang sudah cukup bilangan anak atau lewat usia.
  • Serpihan uri tidak lengkap. Mungkin doktor akan melakukan D&C untuk mencuci hingga rahim bersih.
  • Berlakunya jangkitan.
  • Luka pada dinding rahim (perfoction) tetapi jarang berlaku.

2. Uri Di Bawah (placenta previa)

Lokasi plasenta di bawah ini boleh disahkan selepas usia kandungan 8 bulan melalui pemeriksaan ultrasound. Tanda-tanda masalah ini ialah:
  • Pendarahan yang tidak sakit pada trimester pertama kehamilan.
  • Kedudukan bayi yang tidak normal seperti melintang atau menyongsang.
Jenis-Jenis Plasenta Previa

a. Minor

Tidak menutupi keseluruhan rahim. Wanita ini mempunyai peluang untuk bersalin normal. Tetapi jika berlaku pendarahan, pembedahan caesarean perlu dilakukan.

b. Major

Uri menutupi keseluruhan rahim. Pembedahan caesarean perlu dilakukan. Antara risikonya termasuk pendarahn yang banyak, kelahiran kecemasan dan kelahiran pramatang.


3. Uri Lekang (abraptio plasenta)

Plasenta lekang daripada tempatnya sebelum bayi dilahirkan. Biasanya berlaku semasa trimester ketiga kehamilan atau sewaktu kontraksi. Antara tanda-tandanya:
  • Pendarahan yang banyak berbanding darah biasa diiringi dengan kesakitan.
  • Denyutan nadi anak semakin menurun kerana dia cemas.
  • Kes-kes ekstrem, degupan jantung anak tidak dapat dikesan menyebabkan dia lemas.
Kadangkala masalah ini berlaku pada ibu yang mempunyai darah tinggi, bersalin kembar, kembar air (air ketuban banyak) dan ibu yang mengamalkan urutan untuk membetulkan kedudukan plasenta atau bayi.

Jika doktor mendapati bayi masih hidup dan pintu rahim masih terbuka, pembedahan caesarean akan dijalankan. Jika pintu rahim sudah terbuka dan bayi masih stabil, doktor akan membenarkan ibu bersalin normal. Kalau bayi sudah meninggal pun, ibu tetap perlu bersalin normal.


4. Serpihan Plasenta Tertinggal (retained placenta tissue)

Boleh berlaku sejurus kelahiran bayi atau selepas ibu pulang ke rumah. Antara tanda-tandanya:
  • Darah nifas yang banyak dan tidak berkurangan, diiringi dengan ketulan darah yang banyak.
  • Rengat yang berterusan dan teramat sakit.
  • darah nifas yang berbau menunjukkan jangkitan sudah berlaku.
Doktor akan mengesahkan terdapat serpihan plasenta tertinggal melalui pemeriksaan ultrasound. D&C akan dijalankan bagi membersihkan rahim dan kikisan serpihan plasenta akan dihantar ke makmal untuk mengesahkannya.

Apakah semua kes serpihan plasenta perlu menjalani D&C?

Hal ini bergantung pada serpihan yang tinggal. Jika tidak banyak pendarahan, doktor akan memberi antibiotik dan serpihan akan keluar bersama darah nifas.

Apakah masalah serpihan plasenta tertinggal boleh dielakkan?

Hal ini merupakan satu kontroversi di kalangan pakar perubatan. Doktor dapat mengeluarkan plasenta sepenuhnya tetapi masalah selaput plasenta masih tertinggal masih boleh berlaku.

Masalah plasenta succencuriate lobe yakni tertinggal serpihan daging tambahan plasenta yang tidak diketahui oleh doktor boleh membawa kepada pendarahan yang banyak selepas pulang ke rumah. Bagaimanapun masalah ini jarang berlaku.

20 August 2010

Perjalanan Jauh Ketika Hamil

Ketika kandungan memasukki minggu 30, anda tidak digalakan berjalan jauh. Terutama jika perjalanan itu mengambil masa berjam-jam untuk sampai dan jalan yang digunakan tidak rata. Untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, maka sebaik-baiknya anda membuat perancangan dan memulakan perjalanan, pastikan anda meneliti beberapa perkara seperti di bawah:
  • Perjalanan menggunakan kereta adalah yang terbaik untuk anda kerana boleh berhenti di mana saja dan pada bila-bila masa. Tidak kira sama ada di tepi jalan atau di kawasan rehat lebuh raya, anda ini perlu berehat dan berjalan seketika supaya darah tidak membeku. Hal ini kerana ibu hamil mempunyai komposisi darah yang berlainan berbanding sewaktu hamil dan boleh mengakibatkan pembekuan darah dalam saluran vena. Keadaan ini boleh mendatangkan bahaya sekiranya darah beku ini menyumbat saluran paru-paru dan mengurangkan paras oksigen dalam badan sehingga membahayakan nyawa ibu secara tidak langsung janin dalam kandungan.
  • Kenderaan awam seboleh-bolehnya dielakkan, khususnya bas dan kereta api. Hal ini kerana, tempat duduk di dalamnya agak sempit. Jadi, ada tidak boleh bergerak secara bebas. kaki juga sentiasa terjuntai dan tidak dapat diluruskan. Keadaan ini bertambah kurang selesa apabila kebanyakan bas hanya berhenti sekali sahaja dalam sepanjang perjalanan untuk makan dan berehat. Jumlah ini tidak mencukupi untuk ibu hamil khususnya di minggu ke 30. Jadi, jika boleh elakkan menggunakan kenderaan awam untuk sebarang perjalanan.
  • Menaiki pesawat ke destinasi pilihan ketika usia kandungan melebihi minggu ke 28 adalah tidak digalakkan. Hal ini disebabkan bayi dalam kandungan di usia ini boleh keluar pada bila-bila masa. Jadi, untuk memastikan anda dan anak selamat, adalah lebih baik tidak menaiki pesawat. Hal ini bukan sahaja disebabkan oleh kemungkinan terjadi kes bersalin dalam pesawat, tetapi disebabkan masalah tekanan udara dalam kabin yang boleh menyebabkan darah dalam saluran vena beku. Oleh yang demikian, setiap kali merancang ingin berjalan jauh, pastikan beberapa perkara yang melibatkan keselamatan dan kesihatan diperhatikan dengan serius. Jika boleh, minta nasihat daripada doktor tentang hasrat anda itu dan cuba cari penyelesaiannya.

Sakit Belakang

Sakit belakang khususnya pada bahagian pinggang adalah perkara biasa yang akan berlaku kepada ibu hamil yang memasukki trimester ketiga kehamilan. Keadaan ini disebabkan oleh kelonggaran ligamen atau otot yang mengikat tulang dan sendi. Ia turut terjadi akibat posisi yang kurang baik akibat perut yang semakin membesar. Biasanya sakit ini tidak ada ubatnya. Dan masalah ini akan berakhir selepas bersalin.

Panduan mengurangkan rasa sakit belakang.
  • Jangan berdiri terlalu lama. Jika anda tidak dapat mengelakkan perkara ini, pastikan anda mempunyai masa dan ruang untuk merehatkan kaki buat seketika. Caranya adalah dengan mengangkat sebelah kaki atau kedua-duanya ke tempat yang lebih tinggi seperti 10 - 15sm untuk beberapa saat.
  • Elakkan tidur dalam pelbagai posisi. sebaiknya tidur dalam keadaan satu posisi sambil letakkan bantal di bawah kedua-dua lutut. hal ini dapat mengurangkan tekanan pada tulang belakang.
  • Jangan mengangkat barang yang berlebihan. Hal ini kerana, cara mengangkat sama ada memutarkan pinggang atau membongkok ke hadapan untuk mengambil sesuatu boleh memburukan lagi masalah sakit pinggang. Jadi mintalah bantuan orang lain untuk mengangkat sesuatu benda.
  • Pakai kasut yang bertumit rendah atau langsung tidak bertumit.
  • Senaman juga dapat membantu mengurangkan ketegangan pada pinggang. Antara senaman yang digalakkan adalah seperti: 1. Dapatkan posisi seperti mahu merangkak. Pastikan kedudukan kedua belah tangan dan kaki selari. 2. Tundukan kepala dan mula bongkokkan badan untuk beberapa saat. Ulangi langkah ini untuk beberapa kali sehingga sakit belakng mulai reda.

Air Ketuban

Apabila ibu hamil mengeluarkan cecair yang dikenali sebagai air ketuban, ia bermakna saat melahirkan telah tiba. Sepanjang kehamilan, kuantiti air ketuban akan meningkat. Apabila usia bayi mencecah 34 minggu, dianggarkan bahawa air ketuban mencapai 800ml. Kemudian jumlahnya semakin berkurangan minggu berikutnya. Apabila usia kehamilan memasukki 40 minggu, kuantiti air menurun kepada 600ml.

Air ketuban ini kebanyakannya dari air kencing bayi itu sendiri. Air ini kemudian diminum atau ditelan oleh bayi. Air kencing yang ada dalam perut bayi tadi masuk ke dalam pengaliran darah dan dibawa ke buah pinggang. Seterusnya mengalir masuk ke pundi kencing sebelum keluar sebagai air kencing.

Masalah Berkaitan Air Ketuban

A. Polyhydramnios
Adalah masalah air ketuban yang berlebihan. Antara penyebabnya adalah:

1. Kandungan kembar dua, tiga dan seterusnya.

2. Bayi atau uri yang lebih besar. Lebih-lebih lagi jika ibu menghadapi kencing manis.

3. Bayi yang dikandung mengalami masalah:
- Spina bifida
- Anencephaly (dilahirkan tanpa tempurung kepala)
- Esophageal atresia (bayi yang tidak boleh menelan masuk air ketuban)
- Bayi kerdil (achondroplasia)

Ibu hamil yang mengalami masalah ini akan merasa kurang selesa kerana kandungan besar dan berat. Ibu sukar bernafas. Bayi pula boleh lahir sebagai bayi pramatang.

B. Oligohydramnios
Adalah keadaan yakni air ketuban didapati kurang daripada jumlah yang sepatutnya. Kemungkinan berlaku sekiranya:

1. Selaput ketuban pecah dan air keluar walaupun belum ada tanda-tanda untuk bersalin.

2. Bayi mengalami masalah tumbesaran atau (intra uterine growth restriction)

3. Bayi mengalami masalah buah pinggang (renal agenesis)

4. Kandungan berada di luar rahim atau abdominal pregnancy.


Air Ketuban Pecah

Pecahnya air ketuban berlaku pada tahap pertama daripada tiga tahap bersalin. Ketika itu pintu rahim sedang membuka. Bayi terdorong menonjol ke lubang rongga pinggul, memberi tekanan pada pundi kencing dan saluran baung air besar. Ketika serviks tertarik sepenuhnya, ada satu dorongan besar menolak.

Air ketuban akan pecah pada saat ini. Serviks terbuka selebar 10sm dalam diameter pada bukaan penuh. Ketika serviks memendek dan meregang, jalan lahir melengkung dengan vagina terbentuk untuk memudahkan bayi keluar.

16 August 2010

Komplikasi Dan Kehamilan

Bukan semua wanita hamil dapat melakukan proses kelahiran secara normal, banyak kes yang memaksa ibu hamil ini melakukan beberapa kaedah kelahiran dengan bantuan. Bersyukurlah pada tahap pencapaian kualiti kesihatan di negara kita. Pencapaian ini telah berjaya mengurangkan kadar kematian ibu dan bayi sewaktu melahirkan akibat komplikasi.

Bukan semua ibu bertuah dapat melahirkan anak secara normal. Ramai yang mengalami masalah seperti bayi songsang, tulang pelviks tidak terbuka, masalah penyakit seperti darah tinggi, kencing manis atau kelahiran lewat yang boleh menyebabkan bayi lemas dalam kandungan.

Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan untuk mempermudahkan dan mempercepatkan proses kelahiran. Antaranya adalah seperti berikut:

Episotomi

Guntingan kecil (perinium) pada kulit antara vagina dengan anus dilakukan sekiranya berlaku komplikasi seperti bayi songsang, tidak cukup bulan, dalam bahaya atau bayi mempunyai kepala yang besar. Biasanya dilakukan terhadap ibu yang bersalin anak sulung juga. Sebelum melakukan potongan kecil ini, anda akan disuntik dengan ubat bius. Potongan berbentuk melengkung dari bibir vagina ke bawah. Guntingan ini akan dijahit dengan teliti.

Akibat kaedah ini, anda mungkin akan berasa kurang selesa untuk beberapa minggu sehingga luka guntingan itu betul-betul sembuh. Rasa sakit mungkin akan lebih terasa sekiranya luka itu dijangkiti kuman. Masalah sembelit turut akan menyebabkan anda berasa lebih sakit sewaktu membuang air besar. Sekiranya, kesakitan anda berlarutan untuk beberapa minggu, dapatkan nasihat dan rawatan doktor.

Kelahiran Dibantu

Kadangkala bayi sukar atau lambat dikeluarkan. Oleh yang demikian, bantuan perlu diberi untuk mengeluarkan bayi dengan segera agar tidak lemas menggunakan forsep atau penyedutan (vakum). Kaedah ini diperlukan apabila anda tidak dapat menolak bayi keluar kerana kepalanya agak besar.

Atau anda dan bayi berada dalam peringkat bahaya semasa proses kelahiran berjalan. Mungkin kaedah ini digunakan apabila bayi anda songsang atau tidak cukup bulan untuk mengelakkan kepala bayi tertekan ketika melalui saluran keluar. Kaedah forsep dimulakan dengan memberi ibu hamil satu suntikan bius pada lantai pelvik dan satu episitomi.

Doktor akan meletakkan forsep pada kedua-dua belah kepala bayi dengan perlahan menariknya keluar. Anda boleh membantu dengan meneran. Bahagian badan lain dilahirkan secara normal. Selain membantu mengeluarkan, forsep dapat melindungi kepala bayi.

Vakum pula dilakukan dengan menggunakan satu cawan logam yang bersambung pada sebuah vakum. Muka cawan itu tadi akan dimasukkan ke dalam faraj dan diletakkan pada atas kepala bayi. Bayi akan disedut dan dibawa keluar melalui saluran keluar sambil dibantu dengan tenaga anda.

Induksi

Kaedah ini dilakukan sekiranya bayi dalam kandungan masih tidak menunjukkan tanda-tanda ingin keluar walaupun seminggu lewat daripada tarikh jangkaan. Dalam masa yang sama, bayi dilihat dalam keadaan bahaya dan uri mulai gagal berfungsi.

Begitulah keadaannya sekiranya anda mengalami masalah darah tinggi atau masalah lain yang boleh mendatangkan bahaya kepada anda dan bayi. Biasanya, induksi akan dirancang terlebih dahulu dan meminta anda datang ke hospital mengikut masa yang ditetapkan. Terdapat 3 cara kelahiran secara induksi ini iaitu:

1. Memasukkan sejenis ubat misalnya Prostin yang mengandungi hormon yang melembutkan serviks sepenuhnya.

2. Memecahkan air ketuban jika proses kelahiran masih tertunda kepada 8 hingga 12 jam. Doktor akan membuat satu lubang kecil pada selaput air ketuban. Kontraksi biasanya akan bermula tidak lama kemudian.

3. Drip akan digunakan untuk menyalurkan hormon yang oleh membantu dalam proses pengecutan rahim. Biasanya drip ini diletakkan pada tangan sambil larutan hormon dimasukkan dengan cara teratur. Kesannya, akan mengalami kontraksi dengan lebih cepat dan kerap.

Pembedahan Caesarean

Melaui kaedah ini, bayi dikeluarkan melalui abdomen atau perut. Pemilihan kaedah ini selalunya dibuat awal atas sebab beberapa kesulitan yang mungkin akan berlaku jika kelahiran dibuat secara normal. Jadi, masa dan tarikh boleh ditetapkan lebih awal.

Tetapi pemilihan kaedah ini turut dilakukan secara spontan akibat beberapa komplikasi seperti bukaan serviks tidak mencapai tahap yang sepatutnya, bayi songsang, tidak cukup bulan dan sebagainya. Sebelum proses pembedahan dilakukan, anda akan diberi satu suntikan epidual bagi memastikan anda sedar tetapi tidak berasa sakit ketika dibedah.

Ubat bius biasa turut akan disediakan sebagai persediaan. Drip diletakkan pada lengan dan sambil itu satu tiup panjang dimasukkan ke dalam pundi kencing bagi memudahkan anda kencing tanpa beralih tempat. Kemudian ari-ari anda akan dicukur untuk memudahkan potongan dilakukan. Potongan dilakukan secara mendatar.

Dalam masa yang sama, cecair ketuban disalurkan keluar dan bayi diangkat keluar. Ada kalanya forsep digunakan untuk membawa bayi keluar. Anda boleh mendukung bayi ini semasa uri dikeluarkan. Masa yang diambil untuk proses ini lebih kurang 20 minit. Kemudian proses menjahit semula bukaan ini dilakukan.

Kelegaan Ketika Sakit Bersalin

Setiap proses kelahiran, rasa sakit ketika kontraksi tidak dapat dielakkan. Bantuan perubatan dapat mengurangkan kesakitan yang ditanggung oleh bakal ibu. Walaupun kesakitan ini digeruni dan diibaratkan sebagai bebanan, tetapi keadaan itu penting kerana setiap peringkat kesakitan itu menunjukkan bahawa masa untuk kelahiran sudah semakin hampir.

Sekiranya anda tidak mampu untuk mengalami kesakitan setiap kontraksi, bolehlah cuba kaedah bantu diri sendiri. Jika anda masih tidak mampu menahan kesakitan, mintalah bantuan kepada doktor. Biasanya doktor akan memberi beberapa alternatif.

Epidural

Epidural adalah sejenis ubat bius yang melegakan rasa sakit dengan menjadikan saraf di bahagian bawah badan berasa kebas seketika. Kaedah ini berkesan untuk melegakan kesakitan terutama pada bahagian pinggang belakang. Cara pengambilannya adalah dengan menyuntik cecair epidural ke pinggang belakang melalui satu tiup.

Apabila ubat bius ini mulai berkesan, anda tidak akan berasa sakit dan masih sedar sepenuhnya. Namum, bagi sesetengah wanita, mereka akan berasa pening atau sakit kepala dan boleh berlanjutan untuk beberapa jam. Yang penting, ubat bius ini tidak memberi kesan terhadap bayi yang anda kandungkan.

Pengambilan ubat bius ini perlu dibuat secara berhati-hati. Jangan sampai kelahiran peringkat kedua, kesan bius tadi masih tidak hilang. Akibatnya anda tidak mampu untuk menolak keluar bayi dan doktor terpaksa membuat episotomi atau kelahiran forsep.

Etonoks (Gas Dan Udara)

Campuran oksigen dan nitrus oksida dapat melegakan rasa sakit walaupun tidak sepenuhnya seperti epiural. Jadi, kesan kesakitan kontraksi masih lagi terasa. Ia sangat berguna untuk kelahiran peringkat pertama. Prosedur etonoks ini bermula dengan menyedut gas tersebut melalui topeng yang dipegang dengan tangan. Topeng ini pula disambung ke selinder yang mempunyai campuran dua gas tadi.

Gas ini memerlukan masa setengah minit untuk sampai ke kemuncak. Oleh yang demikian, anda perlu menyedut gas ini untuk beberapa ketika sehingga doktor menyuruh berhenti. Tetapi, ada kalanya penggunaan gas ini boleh membuatkan anda berasa ingin pitam. Jika berlaku keadaan itu, cepat-cepat beritahu doktor.

Petidina

Ubat ini biasanya diambil seawal kelahiran peringkat pertama. Ia perlu diambil oleh ibu hamil yang tidak dapat mengawal perasaan seperti cemas atau sukar untuk merehatkan diri. Ubat ini akan diberikan melalui suntikan pada punggung atau paha. Petidina ini akan bertindak 20 minit kemudian dan berfungsi sehingga 2 atau 3 jam.

Kesan daripada pengambilan ubat ini berbeza bagi setiap wanita. Sesetengah akan berasa tenang, selesa berehat dan sedikit mengantuk tetapi masih dalam keadaan sedar. Sesetengah wanita lain akan mengadu tidak dapat mengawal diri dan rasa mabuk. Badan anda berasa tidak sihat dan tidak mahu bergerak banyak.

Sekiranya ubat ini diberikan hampir kepada kelahiran peringkat kedua, bayi mungkin akan mengalami sesak nafas dan mengantuk. Walau bagaimanapun, keadaan tersebut tidak mendatangkan masalah kerana kesan tersebut akan hilang setelah beberapa ketika anak dikeluarkan.

Tens

Kaedah ini dapat mengurangkan rasa sakit dan merangsangkan sistem kelegaan sakit semulajadi badan melalui impuls kecil arus elektrik pada bahagian belakang anda. Cara penggunaan tens ini adalah dengan meletakkan empat pad yang mengandungi rod elektrod pada sepanjang tulang belakang yang menampung perut.

Pad ini disambung oleh wayar ke suatu kawalan yang dipegang dengan tangan. Anda boleh mengawal kekuatan arus elektrik yang disalurkan. Kaedah ini dapat mengurangkan kesakitan untuk sesetengah wanita hamil terutama jika digunakan pada kelahiran tahap pertama. Namum, bagi sesetengah wanita mengganggap kaedah ini tidak membantu kerana rasa sakit tetap ada.


Info Minggu 38 Kehamilan

Bayi Anda
Lemak mula terbina dalam badan bayi. Kulit bayi kini sudah menjadi sedikit merah jambu. Rambut mulai memancang sehingga mencecah ukuran 5sm. Begitu juga dengan kukunya. Pada usia ini, bayi anda mempunyai berat badan lebih kurang 2.9 kg dan panjangnya pula 48sm.


Tubuh Anda
Sentiasa peka dengan perubahan diri. Pastikan tanda-tanda ingin bersalin. Jika ada tanda-tanda ini cepat-cepat pergi ke hospital. Jangan terlalu banyak membuat kerja-kerja rumah takut nanti tenaga anda hilang. Kumpulkan tenaga untuk beberapa hari ini supaya tenaga yang disimpan itu dapat digunakan sepenuhya ketika di bilik bersalin.

10 August 2010

Teknik Kurangkan Sakit Ketika Bersalin

Proses melahirkan bermula dengan kontraksi. Kontraksi yang berlaku menyebabkan anda berasa tidak selesa. Bagi mengurangkan ketidakselesaan, terdapat pelbagai cara yang boleh anda gunakan.

TANPA BANTUAN UBAT

Berkedudukan Tegak

Semasa kontraksi awal, sokong diri pada permukaan yang berhampiran. Contohnya dinding, kerusi atau katil hospital. Berlutut jika perlu.

Duduk Ke Hadapan

Duduk berhadapan belakang kerusi dan bersandar di atas dengan menggunakan kusyen atau bantal. Rehatkan kepala pada lengan yang disilangkan.

Melutut Ke Hadapan

Melutut dalam keadaan kaki anda terpisah dan rehat ke hadapan di atas himpunan bantal. Cuba berasa dalam keadaan seselesa mungkin.

Posisi Merangkak

Melutut dalam keadaan tangan dan lutut di lantai. Condongkan pelvik anda ke hadapan dan ke belakang. Namum, jangan lengkungkan badan anda.

Meniup

Jangan meneran jika jururawat mendapati rahim anda belum terbuka sepenuhnya. Sebut huf...huf...huf... seperti meniup untuk mengurangkan rasa sakit kontraksi. Berlutut dan bersandar ke hadapan, rehatkan kepala atas tangan dan arahkan punggung ke atas.


MENGGUNAKAN UBAT

Suntikan Narkotik

Kebiasaanya suntikan ini dilakukan di bahagian punggung. Suntikan pethidine yang digabungkan bersama maxalon (ubat lawan muntah) diberi ketika tahap pertama proses bersalin. Kelebihan penggunaan suntikan ini ialah ibu boleh beristirehat ataupun tidur. Ini kerana suntikan ini merupakan sedatif dan membuat rasa mengantuk. Suntikan ini paling bagus diberi jika anda terlalu cemas. Namum, anda boleh mengalami kesan sampingan jika menerima suntikan satu hingga empat jam sebelum melahirkan. Anda dan bayi akan mengantuk dan mengalami masalah pernafasan. Akibat terlalu mengantuk juga, anda mungkin gagal meneran dengan baik. Walau bagaimanapun, jika bayi mengantuk selepas dikeluarkan, antidot narcan akan digunakan untuk mengatasinya.

Epidural

Suntikan yang dilakukan di bahagian tulang belakang ini baik jika anda tidak tahan sakit, melahirkan anak pertama, proses kelahiran mengambil masa yang panjang, mengalami tekanan darah tinggi dan pernah melahirkan kembar secara pembedahan. Suntikan ini diberi oleh doktor pakar bius setelah kontraksi yang dialami semakin kuat. Dengan menggunakannya, anda dapat bertenang dan tidak stres. Namum, akibat terlalu selesa, anda mungkin sukar untuk meneran dengan baik dan boleh meningkatkan risiko penggunaan vakum dan forsep untuk mengeluarkan bayi.

Etanox

Kaedah menahan sakit ini menggunakan topeng yang disalurkan dengan campuran gas nitrus oksida dan oksigen. Anda perlu menghidu gas menggunakan topeng ketika awal hingga lewat tahap pertama proses bersalin. Jika anda tidak menyedut dengan betul, rasa sakit tidak dapat dihilangkan. Sebetulnya, topeng mesti dipekapkan ke bahagian muka sehingga tiada ruang rongga. Hidu gas sedalam-dalamnya dan kemudian tarik dan hembus nafas seperti biasa. Jika dilakukan dengan betul, kesannya dapat dirasai selepas 15 saat. Setiap kali kontraksi berlaku, lakukan langkah yang sama. Oleh kerana kesannya akan hilang dalam tempoh 1 mint selepas dihidu, jadi anda perlu kerap menghidu topeng entonox.

Terapi Alternatif

  • Aromaterapi berupaya mengurangkan kesakitan. Urut tubuh menggunakan minyak aromaterapi dapat membantu.
  • Hemeopati dapat mengelakkan komplikasi kelahiran. Dapatkan nasihat doktor hemeopati untuk mendapatkan ubat yang bersesuaian.

Overdue

Di penghujung kehamilan, anda tentu ternanti-nanti saat kelahiran bayi. Namum, ada segelintirnya terpaksa menunggu lama untuk melalui saat itu kerana perlu bersalin lewat daripada tarikh jangkaan bersalin.

Bagi mengatasi masalah ini, kebanyakkan doktor akan mengambil keputusan untuk memberi ubat cetusan (induce) anda bagi memulakan proses sakit bersalin. Biasanya ia akan dilakukan jika tarikh jangkaan bersalin anda melebihi 7 hari ataupun bayi anda perlu dikeluarkan segera bagi mengelakkan masalah yang tidak diingini. Sehubungan itu, bayi yang terlebih hari baiasanya akan menyebabkan:
  • Proses bersalin menjadi sukar. Bayi yang melebihi tarikh jangkaan berrsalin cenderung bersaiz besar. Malah tulang tengkorak turut keras. Ini akan menyebabkan anda mengalami masalah ketika proses bersalin.
  • Uri tidak berfungsi. Uri amat penting dalam menjamin keselamatan bayi kerana ia membekalkan oksigen dan makanan. Selepas 40 minggu kehamilan, uri kurang menjalankan tugasnya malah kadang kala tidak berfungsi langsung.
Faktor Sebabkan Overdue
  • Sejarah keluarga. Sesetengah wanita mempunyai genetik untuk melalui kehamilan panjang. Jika ibu, nenek ataupun ahli keluarga terdekat yang lain pernah mengalami overdue lebih daripada dua minggu tanpa apa-apa masalah, maklumkan kepada doktor agar dia dapat melambatkan tempoh anda diberi ubat cetusan (induce).
  • Saiz kepala. Jika bayi anda mempunyai kepala yang besar berbanding saiz pelvik, ia mungkin tersekat. Apabila keadaan ini berlaku ia akan menyebabkan tubuh anda tidak menghasilkan hormon oksitosin yang dapat memulakan proses kelahiran.
  • Tiada kontraksi. Ada kalanya kehamilan boleh melebihi tarikh jangkaan apabila rahim anda tidak mengecut seperti yang sepatutnya berlaku.
Keperluan Induce

Induce dilakukan kerana kebanyakan doktor khuatir dengan risiko kematian bayi yang tidak dijangka ketika dia masih berada dalam kandungan. Walau bagaimanapun, kadarnya sangat kecil iaitu 3:3000 (42 minggu) dan 6:3000 (43 minggu).

06 August 2010

Menyusukan Bayi Selepas Pembedahan (Ceasarean)

Menyusukan anak selepas menjalani penbedahan ceasarean merupakan satu cabaran kepada wanita yang baru bergelar ibu apatah lagi jika itu adalah pengalaman pertamanya. Ramai ibu yang mengganggap tugas menyusukan anak adalah yang paling sukar jika mereka dibedah. Sebenarnya tanggapan itu tidak benar kerana yang paling penting ibu mendapatkan pengetahuan ataupun maklumat yang tepat mengenai hal tersebut.

Jika ibu sudah faham maka, masalah tersebut akan menjadi kecil. Tidak dinafikan ada ibu-ibu yang berjaya menyusukan anak sepenuhnya selepas kelahiran secara pembedahan ceasarean. Faktor komplikasi yang sering berlaku pada mereka yang melahirkan anak secara pembedahan ceasarean adalah penangguhan untuk menyusukan anak sebaik melahirkannya. Biasanya dengan penggunaan ubat bius epidural, ibu boleh memangku anak dan menyusukan lebih cepat berbanding dengan ibu yang disuntik ubat bius seluruh badan (general anesthesia).

Ibu yang melahirkan menerusi pembedahan ceasarean boleh menyusukan bayinya dalam tempoh masa yang sama dengan ibu yang melahirkan bayi secara normal. Ini membuktikan bahawa sebaik sahaja ibu pulih daripada kesakitan pembedahan, penyusuan anak akan menjadi satu pengalaman yang indah mengikut kemahuan anda.

Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, anda boleh berbincang dengan doktor tentang pilihan ubat bius sebelum melahirkan anak dan ubat penahan sakit selepas melahirkan anak. Terdapat banyak ubat-ubat yang sesuai dengan penyusuan dan biasanya digunakan oleh ibu-ibu yang bersalin secara pembedahan ceasarean dan menyusukan anak. Doktor dan jururawat mungkin boleh membantu mengekalkan keselesaan selepas pembedahan.

Tanyalah tentang khidmat konsultan laktasi yang diiktiraf bagi membantu anda di hospital. Anda pun boleh berhubung dengannya sebelum melahirkan bayi atau menghadiri kelas penyusuan pranatal.


Posisi Menyusukan Selepas Pembedahan

Ramai ibu dapat menyusukan anak dengan baik selepas pembedahan dan hanya segelintir sahaja yang menghadapi masalah. Anda boleh meluaskan lagi pengalaman tersebut dengan mendapatkan banyak maklumat lebih awal sama ada bertanya kepada orang lain atau membaca buku dan majalah yang berkaitan.

  • Cari posisi yang betul. Gunakan posisi yang boleh mengelakkan sebarang bebanan pada bahagian abdomen (perut) serta memberikan keselesaan kepada anda.
  • Pegang bayi secara mendakapnya antara posisi yang selesa kepada kebanyakkan ibu bersalin secara pembedahan. Anda boleh menggunakan posisi ini di katil hospital dengan menaikkan kedudukan katil ke atas menggunakan kerusi yang lebar.
  • Letakkan bantal di bahagian sisi yang anda hendak menyusukan bayi bagi menyokong lengan yang memangku anak anda. Bayi akan termasuk di bawah lengan anda.
  • Pegang bayi dengan kedudukan rendah menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, di belakang telinga bayi. Tapak tangan anda hendaklah menyokong leher dan bahagian belakang badan bayi sementara lengan anda menyokong keseluruhan badan bayi. Sementara siku anda mendakap punggung bayi ke bahagian sisi anda.
  • Bayi anda patut berkedudukan yang membolehkan wajahnya menghadap terus ke payudara anda hidung sebaris dengan puting payudara. Bayi perlu berkedudukan lurus iaitu bahu, telinga dan punggung tegak ke hadapan. Tangan berikutnya akan menyokong payudara dengan 4 jari berada di bawah payudara dan ibu jari di bahagian atas. Berhati-hati bagi memastikan belakang tangan tidak menutup aerola ketika bayi sedang melekapkan mulutnya dengan selesa.
  • Posisi cross cradle mungkin dapat memberikan keselesaan, gunakan bantal untuk melindungi bahagian perut yang dibedah dan menyokong lengan anda ketika memegang bayi.
  • Pegang bayi dengan kedudukan tangan yang sama seperti pegangan menyambut bola tetapi di sebalik anda memegang bayi di bawah lengan dan menyusukan pada bahagian yang sama, cuba bawa bayi ke sisi dada, jadi bila anda memegang bayi dengan tangan kanan anda boleh menyusukan daripada payudara sebelah kiri. Tangan kiri akan menyokong payudara sebelah kiri dengan 4 jari menghala bahagian bawah lengan. Posisi mengiring biasanya kurang selesa sehingga bahagian yang dibedah sembuh. Jadi, sebelum mencuba sebarang posisi cuba pastikan badan anda tidak sakit.

03 August 2010

Cara Penyusuan Yang Betul

Menyusukan bayi tidak semudah yang kita sangkakan. Malah kita tidak akan berjaya hanya dengan sekali melakukannya. Jadi jangan mudah putus asa selepas anda mempelajari teknik penyusuan yang betul.

Sebelum Menyusukan Bayi


Lembutkan payudara dengan meletakkan kain tuala yang hanya pada payudara selama beberapa minit atau berdiri di bawah air pancuran (suam).

Urut Payudara

Dengan perlahan menggunakan tangan. Cuba picit keluar sedikit susu untuk mengurangkan bengkak. Gerakkan jari anda ke bawah ke arah aerola.

Mencari Puting

Bagi menyusukan bayi baru pastikan anda duduk selesa dan letakkan bayi pada kedudukan yang betul. Bayi akan mempunyai refleks naluri yang menyebabkannya mencari puting payudara untuk memperoleh makanan. Ini merupakan refleks berakar. Hingga kira-kira hari ke 10 hidupnya, rangsanglah refleks ini dengan mengusap pipinya. Bayi akan berpaling ke arah payudara dan mencari puting anda.

Melekap

Sebaik sahaja melekap pada payudara, bayi menghisap payudara dengan menggunakan rahangnya dengan cara menekan takungan susu pada dasar aerola. Sekiranya bayi hanya menghisap puting, anda akan berasa sakit dan dia pula tidak memperoleh susu.

Selepas Bayi Sendawa Atau Tidur

Dia mungkin cukup lapar hingga mengeringkan susu dari payudara pertama. Bila bayi telah kenyang, dia mungkin akan tertidur dan puting akan keluar dari mulutnya. Untuk giliran menyusu seterusnya, tawarkannya payudara yang satu lagi.

Memicit Keluar Susu Dengan Tangan

Sokong payudara dengan sebelah tangan dan mula mengurut ke bawah dari bahagian atas payudara. Gunakan seluruh tangan anda untuk mengurut payudara. Urutkan semua kawasan di sekeliling payudara termasuk di sebelah bawah.

Lengkapkan sekurang-kurang 10 putaran. Ini membantu pengaliran susu melaui saluran. Tekan ibu jari dan jari telunjuk bersama-sama dan pada masa yang sama tekan ke belakang. Susu sepatutnya terpancut keluar melalui puting. Lakukan selama 2 minit.

Memerah Susu Menggunakan Pam

Sterilkan semua peralatan dan cuci tangan anda. Pasang pam dengan lengkap. Lembutkan payudara dengan air suam dan urutnya sama seperti urutan apabila anda hendak memerah susu menggunakan tangan. pastikan anda memasang pam dengan betul dan mula mengepam susu daripada payudara. Tutup susu yang telah diperah dengan ketat dan masukkan ke dalam peti ais atau sejukkan dan didinginbekukan sehingga diperlukan.

Menyimpan Susu

Tuang susu ke dalam botol dengan menggunakan satu corong. Anda boleh mendapat kira-kira 60ml susu pada minggu awal. Pastikan anda menggunakan peralatan yang sudah disterilkan. Tutup botol dengan ketat dan masukkan ke dalam peti sejuk atau sejukkan dan dinginbekukan. Cairkan selama 4 jam pada suhu bilik. Jangan biarkan puting tercelup ke dalam susu. Jika anda hendak mendinginbekukan susu, jangan sertakan puting susu.

01 August 2010

Kerap Keguguran

Masalah kehamilan terancam (threated miscarriage) kerap dikesan pada 20 minggu pertama kehamilan. Selalunya ia ditandai dengan pendarahan yang serius atau kekejangan pada abdomen dengan atau tanpa pendarahan. Ketua Jabatan Obstetrik Dan Ginekologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohd Hashim Omar, berkata umumnya kehamilan terancam adalah keadaan yang biasa. Lebih 30% wanita hamil mengalami pendarahan dalam tempoh 20 minggu kehamilan, iaitu antara seorang daripada 4 wanita hamil.

Bagaimanapun, untuk sebahagian besar daripada kumpulan ini akan meneruskan kehamilan seperti biasa dan pendarahan juga akan berhenti. Namum, untuk sebahagian kecil lagi, ia kemudian akan membawa kepada keguguran janin. Lebih teruk, ada kala keguguran itu dialami sebelum kehamilan mencecah 12 minggu.

Umumnya, jika servik kekal tertutup ketika terjadinya simptom kehamilan terancam, peluang untuk fetus terus bertahan sangat tinggi berbanding jika serviks terbuka. Keguguran pada 3 bulan pertama kehamilan selalunya disebabkan oleh fetus yang abnormal. Ia terjadi apabila berlaku masalah pada gen. Separuh daripada keguguran disebabkan masalah keabnormalan ini. Risiko berhadapan dengan keabnormalan fetus meningkat seiring dengan usia si ibu. Sementara keguguran pada bulan keempat dan keenam kehamilan selalunya berpunca daripada masalah kesihatan ibu.

Antara 40 ke 60 peratus punca keguguran boleh dikenalpasti manakala selebihnya tidak dapat dipastikan. Punca paling kerap keguguran yang dapat dikenal pasti adalah faktor genetik dan kebiasaannya berlaku dalam 3 bulan pertama kehamilan.

Semasa kehamilan, janin akan terbentuk dan mengandungi gen-gen daripada sperma dan telur. Namum, ada kala kromosom embrio mungkin mengalami masalah seperti kehilangan maklumat gen akibat proses pindah silang yang berlaku sewaktu kehamilan. Keguguran akibat keabnormalan kromosom mungkin berlaku secara kebetulan. Keguguran sedemikian tidak akan berulang.

Punca yang tidak dapat dikenal pasti selalunya berkait dengan sistem imun ibu dan kesihatan rahimnya - atas sebab-sebab tertentu, janin tidak dapat melekat pada lapisan dalam rahim dengan sempurna. Umumnya kehamilan terancam ditandai dengan rasa kejang pada bahagian perut dengan atau tanpa pendarahan. Simptom lain adalah berlakunya pendarahan pada vagina ketika kehamilan berusia 20 minggu.

Warna darah mungkin merah terang mungkin merah jambu terang atau warna gelap. Sementara pendarahan itu boleh berlaku sama ada sedikit atau banyak. Rasa sakit atau kekejangan itu berlaku pada bahagian bawah abdomen. Ia mungkin terjadi pada sebelah abdomen saja atau kedua-duanya atau di bahagian tengah. Kesakitan itu boleh menjalar ke bahagian belakang badan, punggung atau bahagian alat sulit.

Umumnya tidak dapat dipastikan dengan jelas faktor berlakunya pendarahan ketika kehamilan. Bagaimanapun, sebahagian daripada sebab-sebab adalah seperti berikut:
  • Fibroid
  • Jangkitan
  • Radang pada servikal ketika hubungan intim
  • Kehamilan luar rahim
  • Komplikasi plasenta
Anda Perlu Segera Mendapatkan Rawatan Jika:
  • Pendarahan banyak
  • Pendarahan disertai darah beku atau tisu
  • Kekejangan yang serius (seperti ketika datang haid)
  • Kekejangan atau pendarahan yang disertai dengan demam.
  • Pendarahan atau kekejangan yang berlaku pada wanita yang memiliki sejarah masalah kehamilan luar rahim.
  • Muntah yang sangat teruk.
Elak Keguguran
  • Selain mengekalkan endometrium yang sihat, hormon semulajadi tubuh - progesteron juga mempunyai kesan imun yang sangat penting dalam tubuh. Hormon ini juga mengeluarkan protein yang dirujuk oleh ahli sains sebagai faktor penghalang cetusan progesteron (PIBF progesterone induced blocking factor) satu daripada protein yang penting bagi perkembangan sistem imun ibu.
  • PIBF sebenarnya penghubung antara endoktrin tubuh dan sistem imun. Ini menghasilkan molekul yang dikenali sebagai sitokin iaitu penghantar sistem imun sama seperti hormon yang sebagai penghantar bagi sistem endokrin manusia dengan melepaskan sitokin penting yang dipanggil Th2, PIBF boleh membantu memastikan kehamilan sihat.
  • Di pasaran, terhasil satu ubat dikenali sebagai Duphaston yang mirip progesteron. Ia menghasilkan tindakbalas imunologi yang sama seperti hormon semulajadi. Secara ringkas bermaksud, Duphaston berkesan meingkatkan pengeluaran PIBF kerana struktur molekulnya agak sama dengan hormon semulajadi progesteron tubuh.
Sumber : Berita Harian (1 August 2010)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Borang Pesanan

Nama:
Email:
No. Tel:
Alamat Penghantaran:
Produk:
Kuantiti:
Harga Anda:
Brg Nak Bila?:

Isikan Je Harga Yang Anda Inginkan, Asalkan Harga Tu LOGIK, Pasti Kak Engku Setuju. Kat Engku Akan Memberi Respon Secepat Yang Mungkin....Insya Allah.


Click here to create your own form.

Mesej & Cadangan

Nama:
Email:
Mesej:

Kak Engku Mengalu-alukan Sebarang Cadangan & Soalan.


Put a website form like this on your site.